KHAMIS, 16 NOVEMBER - Penyelidik dan pakar dalam industri bioteknologi perlu meneruskan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang akan membawa kepada penemuan baharu dan boleh diterjemahkan kepada inovasi.
Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Mohd Azhar Yahaya berkata penemuan yang dibuat oleh para penyelidik dan pakar telah dimanfaatkan oleh industri untuk memacu ekonomi ke arah pembangunan mampan demi kepentingan manusia.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada komuniti saintifik kerana mengambil bahagian dalam proses membangunkan industri bioteknologi," katanya pada pelancaran Simposium Bioteknologi Kelima yang berlangsung selama dua hari bermula kelmarin.
Simposium yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Bioteknologi, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu bertemakan 'Bioteknologi untuk Pembangunan Mampan bagi Memenuhi Cabaran Global' menghimpunkan lebih 80 saintis, ahli akademik, pelajar, wakil industri dan profesional.
Mohd Azhar berkata, pengkorporatan institut penyelidikan di bawah Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) membantu institusi yang memberi tumpuan kepada R&D yang didorong oleh pasaran dan bebas membentuk rangkaian kerjasama dengan universiti tempatan dan antarabangsa, serta syarikat.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berharap melalui simposium itu, pelbagai perkongsian dan idea boleh dikongsi untuk membincangkan langkah-langkah dan menyediakan program lestari dari perspektif bioteknologi.

Turut hadir, Ketua Pustakawan UMS, Dayang Rukiah Awang Amit dan Pemangku Pengarah Institut Penyelidikan Bioteknologi, Dr. Zarina Amin. 

                     

RABU, 15 NOVEMBER – Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyampaikan sumbangan berjumlah RM 800 kepada pertubuhan Kinabalu Pink Ribbon sebagai tanda sokongan terhadap gerakan pertubuhan tersebut yang memperjuangkan aktiviti kesedaran terhadap kanser payu dara.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Pustakawan UMS, Dg Rukiah Ag Amit kepada Presiden Kinabalu Pink Ribbon, Annie Chin dalam satu majlis di Bilik Mesyuarat PAKMA, Perpustakaan UMS.

Menurut Dg Rukiah, sumbangan tersebut adalah hasil penganjuran pada 31 Oktober lalu, yang disertai seramai 130 peserta dalam kalangan kakitangan UMS.

“Kita merancang untuk mengadakan program seumpama kelak pada hari hujung minggu bagi menarik penyertaan lebih ramai orang awam yang bekerja dan pelajar UMS,” katanya.

Sementara itu, Annie Chin berharap agar program yang dianjurkan mampu memberikan kesedaran kepada golongan pelbagai lapisan umur akan kepentingan untuk membuat pemeriksaan kanser payu dara sebagai langkah pencegahan awal.

“Kebanyakan golongan wanita tidak segera membuat pemeriksaan lanjut walaupun setelah menyedari terdapat tanda-tanda awal penyakit tersebut, dan akhirnya mereka telah berada di Tahap 4 Kanser Payu Dara setelah membuat pemeriksaan susulan apabila badan merasa sakit.

“Justeru, amat penting kepada masyarakat luar untuk mengetahui tentang penyakit ini dan melakukan pemeriksaan payu dara, Mammogram, dan pemeriksaan tubuh badan,” katanya.

Ujar beliau, sehingga ini belum ada punca khusus dikesan yang mengakibatkan penyakit tersebut, dan mengaitkan faktor gaya hidup mampu mendorong kepada penyakit Kanser Payu Dara.

Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Ketua Pustakawan Kanan UMS, Anna Michael dan wakil urusetia program Pink Ribbon Walk, Lorita Gadol.

 

SELASA, 14 NOVEMBER – Seramai 20 pelajar Kolej Kediaman E, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan lawatan ke Wad Kanak-kanak di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas baru-baru ini.

Program anjuran Exco Kemasyarakatan, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) kolej kediaman itu antara lain bertujuan untuk menerapkan nilai rasa keprihatinan mahasiswa kepada golongan yang kurang bernasib baik sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta, kanak-kanak dan pihak hospital.

Pengarah Program, Siti Baizurah Awang Kechil berkata, program itu juga membolehkan para mahasiswa meningkatkan kemahiran insaniah dalam aspek komunikasi dan jalinan komuniti serta memupuk nilai kemanusiaan yang tinggi.

“Antara aktiviti yang diadakan adalah acara Indoor game bertempat di bilik permainan khusus hospital itu yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada pesakit kanak-kanak di wad ini.

“Melalui acara dan pengisian yang kami jalankan boleh dilihat senyuman dan keceriaan dalam kalangan mereka yang ada di sini,” katanya sambil mengharapkan para pesakit di wad kanak-kanak sentiasa positif dan kembali sembuh dengan segera.

Menurut Baizurah, keceriaan itu ditambah lagi dengan kehadiran para mahasiswa yang melawat wad tersebut dengan membawa buah tangan bersama.

Program lawatan dari pukul 9.00 pagi hingga 1.00 petang itu turut dihadiri Timbalan Pengetua Kolej Kediaman E, Mohd Hilmey Saili dan Felo Penyelaras, Safiah Masbaka.

 

 

ISNIN, 13 NOVEMBER – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad meminta agar golongan mahasiswa mengekalkan prinsip ‘3J’ - Jangan Hulur, Jangan ‘Kautim’ dan Jangan ‘Settle’ sebagai memastikan jati diri golongan mahasiswa terhindar daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Katanya, ia bagi memastikan golongan mahasiswa yang merupakan bakal pemimpin pada masa hadapan bangkit bagi memastikan negara bebas rasuah dan salah guna kuasa menjelang tahun 2050.

“Gejala rasuah dan salah guna kuasa ini hanya dapat dibanteras apabila golongan muda khususnya para mahasiswa sentiasa memegang kuat prinsip ‘3J’.

“Justeru, ini adalah tujuan utama penganjuran program ini iaitu memberi pengetahuan agar para belia menjadi matang dalam tindak tanduk serta teguh dengan prinsip 3J sekali gus membantu pihak SPRM untuk sama-sama memerangi segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Tan Sri Dzulkifli berkata demikian ketika menyampaikan ceramah eksekutif pada Majlis Perhimpunan Mahasiswa Anak Muda Memerangi Rasuah dan Salah Guna Kuasa (PEMARAH) 2.0 Borneo di Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Sabtu.

Program anjuran bersama SPRM dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMS itu menyaksikan penyertaan lebih 1,000 mahasiswa UMS dan pelajar sekolah dari sekitar Kota Kinabalu.

Kesemua mereka turut melaungkan ‘3J’ sebagai tanda sahutan terhadap saranan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Program sehari itu juga diisi dengan sesi ceramah TN50 dari Benreza Hezery Uzair, persembahan teater anti rasuah dan persembahan bermesej dari artis Felix AF, Velvet AF dan kumpulan Zero.

Hadir sama,  Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Shahril Yusof; Pengarah SPRM Sabah, Dato’ Sazali Salbi dan juga Presiden Sabah Big Bikers Asccociation (SBBA), Angus Wong.

 

 

ISNIN, 13 NOVEMBER – Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) menganjurkan Program Minggu Bahasa di Dewan Utama Kolej Kediaman Tun Mustapha, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Pengarah Program, Baharullah Haris berkata, seramai 16 pelajar tempatan dan antarabangsa yang mewakili setiap kolej kediaman di UMS menyertai beberapa pertandingan sebagai mengisi program tersebut.

“Antara yang dipertandingkan termasuklah pidato, public speaking serta permainan mini seperti tongue twist, brain challenge, roda impian, spell it right dan teka silang kata,” ujarnya.

Tambah beliau, program tersebut bertujuan meningkatkan keyakinan diri untuk bertutur dalam Bahasa Asing dan merapatkan hubungan antara pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa.

“Selain itu, program ini juga untuk meningkatkan tahap keyakinan diri peserta tempatan untuk bertutur dalam bahasa Inggeris dan peserta antarabangsa pula dapat belajar bertutur dalam bahasa Melayu sekali gus dapat merapatkan jurang komunikasi antara mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Pengetua Kolej Kediaman Tun Mustapha, Kolonel (PA) Dr. Mohamad Nizam Nazarudin berkata, Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang penting pada masa kini kerana ia merupakan bahasa komunikasi di peringkat antarabangsa.

“Justeru, setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Jawatankuasa JAKMAS KKTM atas kerjasama yang baik bersama Kelab Publisiti Tun Mustapha dan Majlis Sekretariat KKTM sehingga dapat menganjurkan program Minggu Bahasa ini dengan jayanya,” tambahnya.

Program yang menyaksikan kehadiran seramai 130 pelajar itu turut dihadiri Timbalan Pengetua KKTM, Herman Salah dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Dayangku Siti Afizah Abdul Latif.