KHAMIS, 04 OGOS – Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan ‘Bengkel Praktis Relaksasi Menggunakan Kaedah Hypnotherapy’.

Bertempat di Bilik Seminar 5, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, lebih 50 peserta terdiri daripada kakitangan dan pelajar UMS, serta kakitangan dari jabatan kerajaan dan agensi luar hadir pada bengkel tersebut.

Menurut Ketua UPPsiKS, Dr. Ferlis Bullare, bengkel ini bertujuan untuk membantu peserta mengekalkan keseimbangan minda dan fizikal untuk mencapai kesejahteraan dalam diri.

Tambah beliau, tekanan sama ada di tempat kerja mahupun di rumah boleh mempengaruhi kesihatan mental yang merangkumi aspek psikologi, fizikal  dan minda jika dibiarkan berlanjutan.

“Keperluan terapi sebegini adalah kerana kita semua menghadapi pelbagai situasi di tempat kerja atau di rumah, dan hypnotherapy mampu membantu kita mengawal stress sekali gus meningkatkan produktiviti kerja,” katanya.

Beliau turut berharap  para peserta bengkel dapat mempelajari dan membuat latihan teknik relaksasi menggunakan kaedah hypnotheraphy ke atas diri sendiri demi manfaat kesihatan minda dan fizikal peserta.

Bengkel yang dikendalikan oleh pengamal bidang kaunseling dan perubatan Islam, Tuan Haji Mohd Maktar Imam  Haji Nor antara lain mengetengahkan pengetahuan asas tentang kaedah hypnotherapy dan juga mengaplikasikan teknik tersebut kepada peserta. -MA-

KHAMIS, 04 OGOS - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menerima pertambahan kehadiran pelancong selepas pelancaran EcoCampus Visitor Information Centre (EVIC) semalam.

Tinjauan media UMS hari ini mendapati terdapat tiga bas persiaran dan dua teksi yang dipenuhi pelancong sedang menikmati keindahan pemandangan di sekitar Dewan Canselor UMS.

Kesemua mereka mengambil gambar kenang-kenangan terutama di Menara Jam yang kelihatan unik dan menarik.

Ada juga yang mengambil gambar selfie berlatarkan ribuan anak tangga selain mengambil gambar Bangunan Canselori dari arah bawah.

Berdasarkan ras muka dan pertuturan, rata-rata mereka ialah pelancong dari negara China, Korea dan Jepun. -SS

RABU, 03 OGOS - Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini melancarkan EcoCampus Visitor Information Centre (EVIC), sebuah pusat sehenti yang menyediakan maklumat dan mempromosikan pakej-pakej pelancongan di UMS.

Serentak dengan pelancaran itu ialah pengenalan lima pakej pelancongan merangkumi pakej harian dan pakej bermalam berasaskan Green Tourism dan Nature Tourism iaitu, Pakej Lawatan Galeri & Muzium (Gallery & Museum Tour), Pakej Penghayatan Alam Semulajadi (Nature Delight Tour), Pakej Warisan Arkitektual (Architecture Heritage Tour), Pakej Penghayatan Senja (Sunset Tour) dan Kem Pendidikan Alam Semulajadi (Nature Education Camp) dengan kadar bayaran yang berpatutan.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, antara komponen penting yang ditempatkan di pusat ini adalah pusat galeri dan penerangan pelancongan, pembelian tiket berpusat dan pakej pelancongan serta kedai cenderahati.

“Pembinaan bangunannya pula menepati usaha penjenamaan EcoCampus yang menyaksikan tidak ada pembinaan sebuah bangunan baharu, tetapi hanya melibatkan pengubahsuaian ruang makmal di Fakulti Sains dan Sumber Alam ke UMS-EVIC,” katanya dalam ucapan aluan semasa majlis pelancaran.

Majlis itu juga memperlihatkan pelancaran Visit UMS 2016/2017 yang menjadikan UMS sebagai Universiti Awam yang pertama memperkenalkan program sedemikian di Borneo.

Dilaksanakan di bawah seliaan Pusat EcoCampus UMS, pelancaran tersebut disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Hadir sama, Pengarah Pusat EcoCampus UMS, Prof. Madya Dr. Justin Sentian dan Pegawai-pegawai Utama UMS. -SS

RABU, 03 OGOS - Bahagian Perhubungan Korporat (BPK) Universiti Malaysia Sabah telah mengadakan jerayawara berkaitan Taklimat Penulisan Rencana Penyelidikan Akhbar dan Pembikinan Video Penyelidikan khusus kepada kakitangan akademik dan kakitangan pengurusan fakulti.

Berlangsung di Mini Auditorium Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Penerbitan, Che Hasruddin Che Hasan antara lain menyentuh tentang format penulisan rencana yang sesuai untuk siaran di akhbar sebagai satu medium mengetengahkan penyelidikan serta kepakaran yang ada di UMS.

"Banyak penyelidikan yang dilaksanakan oleh pensyarah UMS hanya bersandarkan kepada kegunaan akademik dan ilmiah semata-mata dan tidak mendapat pendedahan kepada masyarakat umum.

“Justeru, melalui penulisan rencana berkaitan penyelidikan, kepakaran mahu pun ulasan isu-isu semasa oleh para kakitangan akademik, masyarakat sekurang-kurangnya mendapat pendedahan dan kesedaran,  sekali gus memperlihatkan manfaat universiti kepada masyarakat," katanya.

Menyentuh tentang video penyelidikan,  beliau berkata setiap fakulti boleh membuat video penyelidikan berkaitan bidang tujahan masing-masing sebagai satu kaedah memperkenalkan kelebihan fakulti serta bertujuan sebagai kegunaan pengajaran dan pembelajaran.

Taklimat sama turut diadakan di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan pada sebelah petang.

 

SELASA, 02 OGOS - Fakulti Pertanian Lestari (FPL), UMS Sandakan muncul sebagai penerima Anugerah Organisasi Paling Aktif menganjurkan kempen derma darah di Sandakan sepanjang tahun 2015.

Penganjur Kempen Derma Darah UMS Sandakan, Wilson Azahari berkata, penghargaan tersebut telah disampaikan Hospital Duchess Of Kent (HDOK) dalam satu Majlis Penghargaan kepada organisasi dan masyarakat awam sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia baru-baru ini.

Ketika dihubungi beliau berkata, FPL UMS Sandakan dipilih setelah menjadi oraganisasi yang paling banyak menganjurkan kempen derma darah iaitu sebanyak enam kali.

“Penghargaan atau pengiktirafan bukanlah menjadi keutamaan tetapi atas kesedaran dan sebagai tanda sokongan kepada pihak Tabung Darah HDOK Sandakan bagi menampung kekurangan darah yang sering berlaku terutamanya ketika menjelang musim-musim perayaan,” katanya.

Wilson berkata, ia secara tidak langsung dapat mempromosikan FPL, UMS kepada masyarakat sekitar Sandakan.

Majlis penyampaian anugerah disampaikan Pengarah HDOK, Dr. Francis Paul.

Selain daripada Anugerah Organisasi Paling Aktif, Dr. Francis Paul turut menyampaikan penghargaan kepada organisasi yang berjaya mendapatkan jumlah penderma terbanyak serta penderma darah paling aktif yang terdiri daripada masyarakat awam, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan kalangan staf HDOK sendiri.

FPL bakal mengadakan program Kempen Derma Darah seterusnya pada 28 Oktober 2016 sempena sambutan Ulang Tahun Fakulti Pertanian Lestari yang ke-10 pada 24-30 Oktober 2016. –SS

Sumber: Fakulti Pertanian Lestari

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.