SELASA, 24 OKTOBER - Kejadiaan bencana alam yang kerap berlaku di Malaysia sejak akhir ini dapat dikurangkan melalui penyelidikan multidisiplin untuk mengetahui punca, kesan dan mitigasinya.
Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, UMS melalui Pusat Kajian Bencana Alam sentiasa bersedia memberi khidmat nasihat kepada kerajaan dalam pengurusan bencana alam negara.
“Pengurusan UMS akan terus memperkasakan Pusat Kajian Bencana Alam dari segi tenaga pakar yang sesuai dan peruntukan kewangan penyelidikan yang mencukupi agar dapat melaksanakan tugas yang telah diamanahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Makan Malam Perasmian dan Penutupan Seminar Bencana Alam 2017 di Promenade Hotel Kota Kinabalu, semalam.
Tambah beliau, menerusi program tersebut, para penyelidik dapat berkongsi maklumat hasil penyelidikan yang terkini dalam pelbagai aspek berkaitan bencana di samping memberi peluang kepada para peserta untuk berbincang, bertukar maklumat, idea dan seterusnya membantu mewujudkan jaringan kerjasama dalam apa jua bidang yang berkaitan bencana alam.
“Adalah menjadi harapan pihak UMS dan kerajaan agar kekerapan menganjurkan program sebegini dapat memperkasakan lagi bidang penyelidikan dan kerjasama anatara pihak-pihak yang berkepentingan dalam menangani isu-isu bencana alam agar aspek kefahaman dan kesedaran pelbagai kejadian alam yang sering melanda rantau ini dapat dipertingkatkan,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Bencana Alam UMS, Profesor Dr. Felix Tongkul berharap penganjuran seminar saintifik itu dapat menyumbang idea dan ilmu yang bermanfaat kepada semua pihak berkepentingan kearah pengurusan bencana alam yang lebih menyeluruh dan efektif di Malaysia.
Pada program tersebut, seramai 38 peserta daripada pelbagai agensi, universiti awam dan institut penyelidikan telah mengambil bahagian, antaranya Universiti kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Geological Society Malaysia (GSM), Institut Geologi Malaysia (IGM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET).
Turut hadir, Presiden IGM, Datuk Mior Sallehhudin Mior Jadid; Presiden Persatuan Geologi Malaysia, Abd. Rasid Jaapar dan Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Profesor Dr. Baba Musta.



ISNIN, 23 OKTOBER - Gabungan kepakaran ahli-ahli akademik dari Universiti Malaysia Sabah dalam menyediakan kerangka modul, kurikulum dan silibus baharu Pusat Minda Lestari (PML) mampu memacu transformasi PML ke arah penyediaan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti.
JUMAAT, 20 OKTOBER – Bagi menjayakan agenda transformasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke arah Universiti-Industri 4.0, sokongan daripada pelbagai pihak dalam universiti amat diperlukan untuk merencanakan transformasi yang bakal dilaksanakan.
KHAMIS, 19 OKTOBER – Seramai 40 orang pelajar dari pelbagai fakulti telah menyertai program “Anda Pilih: Urus Masa atau Hura Hara” anjuran Bahagian Kaunseling dan Bimbingan Kerjaya, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.
KHAMIS, 19 OKTOBER – Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) menzahirkan ucapan takziah kepada Puan Sri Tan Kai Yong dan keluarga atas pemergian Mendiang Tan Sri Datuk Seri Panglima (Dr.) Yeoh Tiong Lay yang meninggal dunia kelmarin.