KHAMIS, 18 MEI - Kempen “Cintai Alam Sekitar dan Badan Sihat” yang dilaksanakan oleh Pengurusan Organisasi Pelajar (POP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kampung Sembulan Tengah, Kota Kinabalu baru-baru ini mampu menjadi pencetus kepada penduduk kampung itu untuk terus menjaga kebersihan persekitaran kampung.

Menurut Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sembulan Tengah, Mohd Jafar Abdul Hamid, program seumpama itu harus dijalankan dengan lebih kerap bukan sahaja bagi membersihkan persekitaran kampung tetapi untuk memberi kesedaran kepada penduduk kampung sekali gus menerapkan budaya menjaga kebersihan dalam diri mereka.

“Tugas membersihkan kawasan persekitaran tempat tinggal bukanlah menjadi tanggungjawab kepada sesetengah pihak sahaja tetapi menjadi tanggungjawab bersama agar kualiti persekitaran yang bersih dapat dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan perasmian penutupan program tersebut.

Terdahulu, pengarah program, Ronald Masium menjelaskan , kempen yang dijalankan itu bukan sahaja dapat menyedarkan penduduk kampung Sembulan Tengah tentang pentingnya menjaga alam sekitar tetapi juga turut melatih para pelajar untuk mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam dewan kuliah khususnya berkaitan aktiviti khidmat sosial.

“Simbolik pengedaran bakul sampah ke setiap rumah oleh para pelajar UMS memperlihatkan kesungguhan pelajar untuk menyedarkan penduduk kampung tentang perlunya meminimumkan pembuangan sampah.

“Konsep eko kampus yang dipelajari di UMS tidak hanya diamalkan di dalam kampus tetapi turut diterapkan kepada masyarakat luar,” ujar beliau.

Kempen tersebut disertai lebih 80 peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar UMS, tenaga kerja Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan penduduk Kampung Sembulan Tengah.

Sumber: Ronald Masium, Pengarah Program Kempen Cintai Alam Sekitar dan Badan Sihat

KHAMIS, 17 MEI - Penyertaan sulung kumpulan tari Artums D’Elite Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS) membawa hasil apabila berjaya merangkul dua anugerah pada Festival Tari Borneo Hornbill 2017.

UMS memenangi anugerah Kostum Dramatari Terbaik dan Koreografi Dramatari Terbaik pada festival tersebut yang berlangsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Angkasapuri Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut pensyarah FKSW, Sharip Zainal Sagkif Shek yang juga merupakan koreografi kumpulan Artums D’Elite, seramai 12 pelajar UMS yang mengikuti festival tersebut terdiri daripada pelajar tahun 1, 2 dan pascasiswazah.

“Ini merupakan penyertaan pertama buat pelajar tari FKSW dan saya harap ia akan menjadi pendorong kepada semua pelajar terutama pelajar tari FKSW untuk melangkah lebih jauh dan terkenal di peringkat antarabangsa,” ujarnya ketika dihubungi media.

Tambah beliau, UMS juga akan turut menyertai beberapa festival yang akan berlangsung pada bulan Ogos dan September tahun ini, iaitu Festival Tari Borneo 2017 di Labuan dan Festival Koreografi 2017 di Universiti Teknologi Petronas Perak.

Pada festival itu, kumpulan Artums D’Elite diringi oleh Artis Budaya Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Norain Abd Razak.

KHAMIS, 18 MEI - Seramai 31 Pembantu Makmal Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraikan dalam satu majlis Penyampaian Sijil Tamat Bridging Programme Sesi 2015/2016 di Galeri, Bangunan Canselori.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, tidak ada kejayaan yang diperoleh dengan petikan jari atau dengan berdoa serta menunggu ia jatuh dari langit.

“Justeru, pihak pengurusan UMS akan sentiasa menyokong dan memberi laluan kepada kakitangan dalam program pembelajaran sepanjang hayat agar kompetensi dan pengetahuan kakitangan dalam bidang masing-masing akan dapat dipertingkatkan,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad.

Datuk Harun turut menyeru kepada semua peserta agar menghargai seluruh usaha dan pengorbanan yang telah mereka lakukan, selain sokongan dan pengorbanan ahli keluarga demi melihat kejayaan mereka.

“Anda selaku kakitangan yang bekerja dan menghadiri kelas pada waktu malam dan hujung minggu pastinya lebih merasai hari-hari yang sukar dan mencabar.

“Saya berharap agar anda mengaplikasikan segala ilmu yang dipelajari dalam tugas seharian agar kompetensi sentiasa dapat dipertingkatkan.,” tambah Datuk Harun.

Dalam pada itu, No’man turut memaklumkan bahawa Sijil Bridging Programme adalah setaraf dengan Diploma dan mereka yang berjaya menamatkan pengajian itu berpeluang untuk dinaikkan ke gred C29 atau C32.

“Program ini sebenarnya bertujuan untuk memastikan pembantu makmal yang ada mempunyai kompetensi yang cekap terhadap bidang tugasan mereka sekali gus membantu setiap uji kaji yang dilaksanakan oleh penyelidik UMS di makmal,” katanya.

Hadir sama pada program itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Akademik Bridging Programme Pembantu Makmal, Prof. Madya Dr. Mohd Rosni Sulaiman dan Ketua Pustakawan UMS, Dg. Rukiah Ag. Amit.

 

RABU, 17 MEI - Lea Vitalis telah dinobatkan sebagai Ratu Unduk Ngadau Program Kaamatan@E yang dianjurkan Kolej Kediaman E, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Ahad.

Beliau menyingkirkan pesaing terdekat, Brenda Ritchell Banaas yang muncul sebagai pemenang tempat kedua, dan Vennesa Vionie Alferd di tempat ketiga.

Farrah Norfazira Jeffers pula muncul sebagai pemenang ‘Miss Popular’ setelah mendapat undian terbanyak daripada pelajar.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengetua Kolej Kediaman E, Mohd Hilmey Saili.

Berlangsung di perkarangan kafeteria kolej kediaman itu, penganjurannya telah dikendalikan Kelab E-Seni Muzik Tradisi (E-SEMTRA).

Program sehari itu turut menyaksikan Pertandingan Sugandoi (karaoke lagu Kadazandusun) serta aktiviti sukaneka yang disertai oleh pelajar-pelajar UMS.

Pertandingan Sugandoi menyaksikan Kerolfijo Osewan berjaya merangkul tempat pertama, Saini Megan Cyril Ondoi tempat kedua, manakala tempat ketiga ialah Mischellyn Masunning.

Hadir sama, Felo Penyelaras Majlis Ketua-ketua Kelab, Farah Afifah Sufyan; Yang Dipertua Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman E, Mohd Syafiq Mohd Faizan dan  Pengarah Program Kaamatan@E, Muhammad Ghozali Ahmad.

 

Sumber: Kolej Kediaman E

 

 

RABU, 17 MEI - Bidang psikologi memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk kesejahteraan insan kerana bidang ini mengkhusus kepada penerokaan ilmu pengetahuan dan ilmu terapan berkaitan perilaku dan fungsi mental manusia secara ilmiah.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, pemahaman terhadap tingkah laku dan fungsi mental seseorang sangat penting untuk mewujudkan kesejahteraan sama ada pada peringkat individu ataupun masyarakat secara umumnya.

“Mengambil statistik Skor Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) 2016, Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia masih berada pada tahap sederhana dengan mencatatkan nilai skor 7.33 daripada skala terbaik atau maksimum iaitu skor 10.

“Skala pada tahap sederhana ini masih memerlukan usaha keluarga-keluarga di Malaysia bagi mengekalkan atau meningkatkan skor tersebut agar menjadi lebih baik jika ingin mewujudkan masyarakat yang aman, harmoni dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Psikologi dan Kesihatan Sosial 2017 di Bilik Seminar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS pagi tadi.

Tambah Datuk Harun, penganjuran simposium yang bertemakan “Psikologi dan Kesejahteraan Insan” adalah sangat bersesuaian dan menepati keperluan semasa yang dapat memanfaatkan masyarakat dan rakyat negeri Sabah secara khususnya.

“Diharapkan simposium ini mampu menjadi titik-tolak membina idea bagi mengangkat hasil kajian dengan bukti-bukti yang boleh dipercayai serta diangkat menjadi wadah pembentukan kesejahteraan insan bagi negeri Sabah dan negara Malaysia pada masa hadapan,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali, Ketua Pustakawan UMS Dg. Rukiah Ag. Amit, Dekan FPP, Prof. Madya Dr. Mohd Dahlan A. Malek dan Ketua Unit Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPKS) merangkap pengerusi simposium, Dr. Ferlis Bullare.

Foto: Johaidi Ismail