JUMAAT, 13 OKTOBER - Lebih 100 peserta dari dalam dan luar negara menyertai ‘Borneo International Social Work Symposium 2017’ yang dianjurkan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bermula kelmarin.
Simposium yang diadakan selama dua hari itu bertujuan membincangkan pelbagai aspek bidang kerja sosial dalam kalangan masyarakat majmuk yang dibentangkan oleh para pensyarah, pelajar serta pengamal sosial.
Ketika merasmikan simposium tersebut, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof berkata, setiap negara harus menjaga kebajikan warganya dalam semua sudut termasuk keselamatan, ekonomi dan pendidikan.
“Namun, sebaik mana pun sesebuah kerajaan, pasti ada masyarakat yang terpinggir daripada menerima perlindungan ini.
Oleh itu, setiap daripada kita harus menghulurkan bantuan dan saling menjaga orang di sekeliling kita untuk menjadikan kehidupan lebih harmoni dan sejahtera,” katanya.
Beliau turut menyeru agar para pelajar UMS dapat turut serta dalam menjalankan aktiviti kerja sosial kepada masyarakat terutamanya yang berada di kawasan luar bandar.
“Melalui pendedahan ini, kita akan dapat melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran insaniah yang mantap dan sensitif kepada persekitaran mereka sebagai persediaan memasuki alam kerjaya nanti,” tambahnya.
Pada program tersebut, dua ucaptama disampaikan oleh Pengarah Asian Research Institute for International Social Work (ARIISW), Profesor Dr. Tatsuru Akimoto dan Dekan Kolej Sains Sosial, Chonbuk National University Korea, Profesor Dr. Choi Wongyu.
Turut hadir, Dekan FPP, Profesor Dr. Mohd. Dahlan A. Malek.



KHAMIS, 12 OKTOBER – Seramai 409 peserta menjayakan program Run & Ride Charity Integrity 2017 anjuran Sekretariat Rakan Integriti Mahasiswa (SRIM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.
KHAMIS, 12 OKTOBER – Program pencegahan dadah perlu dikaji dan diberi suntikan idea baru bagi memastikan gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan kumpulan sasar dapat dikurangkan.
RABU, 11 OKTOBER – Siri syarahan Majlis Profesor Negara (MPN) Chapter Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menyentuh isu hak asasi manusia kelmarin mendapat perhatian siswa-siswi UMS yang berpeluang untuk mendalami pelbagai isu berkaitan hak asasi daripada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).
SELASA, 10 OKTOBER – Belia di negara ini disaran agar mencontohi semangat keusahawanan koperasi yang ditonjolkan oleh belia luar negara bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat terhadap kerajaan.