KHAMIS, 9 MAC – Dua pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah disabitkan bersalah bagi pertuduhan melanggar Kaedah 3 (a) (ii) Kaedah-kedah Universiti Malaysia Sabah (Tatatertib Pelajar-Palajar) 1999  susulan penglibatan mereka dalam perhimpunan Bersih 5.0 yang diadakan di Taman Ujana Rimba Tropika, 19 November tahun lalu.

Mereka adalah pelajar tahun tiga Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Mukmin Nantang, dan pelajar tahun akhir Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Nurul Aqilah Mohamad Zainuzi.

Kedua-dua mereka disabitkan bersalah dalam prosiding bicara tatatertib pelajar yang diadakan di Bilik Mesyuarat Lembaga Majlis, Bangunan Canselori UMS kelmarin, lanjutan kepada prosiding tatatertib yang telah diadakan pada 1 Mac lepas.

Keputusan itu dibuat berdasarkan keterangan empat saksi UMS dan masing-masing seorang saksi daripada Mukmin dan Nurul Aqilah, serta pemeriksaan dokumen sebagai menyokong fakta kesalahan mereka.

Atas kesalahan tersebut, kedua-dua pelajar dikenakan hukuman amaran sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Kaedah 48 (a) Kaedah-Kaedah Universiti Malaysia Sabah (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999.

Walau bagaimanapun, kedua-dua mereka diberikan ruang untuk merayu ke Jawatankuasa Rayuan Tatatertib Pelajar dalam masa 14 hari daripada tarikh penerimaan keputusan Pihak Berkuasa Tatatertib Pelajar.

Susulan daripada keputusan tersebut, semua pelajar UMS diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan universiti dan apa-apa arahan rasmi universiti dari semasa ke semasa.

 

PROF. DATUK DR. MOHD HARUN ABDULLAH

Naib Canselor

Universiti Malaysia Sabah

RABU, 8 MAC – Hampir 200 peserta menyertai Bengkel Antarabangsa Pemantauan dan Analisis Data Sumber Hutan dan Persekitaran anjuran Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS)  pada Isnin.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Mohd. Harun Abdullah berkata, program itu diadakan bagi menggalakkan pembangunan bidang penyelidikan jangka panjang bagi memantau persekitaran hutan yang stabil dan mampan.

”Dalam hal ini, UMS berasa bangga mewakili Malaysia sebagai salah satu daripada lima institusi teras dalam usaha kerjasama antara negara-negara Asia di bawah ‘Core to Core Program’,” katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan Dekan FSSA, Prof. Dr. Baba Musta.

Menurut Datuk Harun, ia juga akan mewujudkan satu rangkaian kerjasama penyelidikan pelbagai hala antara institusi-institusi teras di lima buah negara termasuklah Jepun, Korea, Taiwan, Thailand  dan Malaysia.

Bertempat di Auditorium Pascasiswazah UMS, bengkel itu dianjurkan dengan kerjasama Japan Society for the Promotion of Science (JSPS) dan turut dihadiri oleh Pengarah Universiti Perhutanan Tokyo Hokaido (UTHF), Prof. Dr. Naoto Kamata dan Pengerusi Penganjur program, Prof. Dr. Phua Mui How.

Bengkel sehari itu menjadi medan perkongsian pengetahuan dan perbincangan antara penceramah dan para peserta dalam meneroka cara baharu dalam pemantauan dan inventori hutan jangka panjang di Sabah.

 
 

WEDNESDAY, 8 MARCH – The Faculty of Humanities, Arts and Heritage (FKSW) of Universiti Malaysia Sabah (UMS) recently organised a Community Service Engagement under their Corporate Social Responsibility (CSR) Programme at Kg. Lok Urai, Pulau Gaya.

With the aim to instil positive attitude and team work among those involved, the programme which was in collaboration with the Faculty of Medicine and Health Sciences (FPSK), and Residential College Sri Angkasa UMS was led by the Dean of FKSW, Professor Dr. Ismail Ibrahim.

“This is a routine programme organised by the staff of FKSW in bridging the gap between UMS and the community,” he said.

About 55 volunteers comprising staff of FKSW and FPSK as well as students of Residential College Sri Angkasa were involved in the programme.

Among the activities held were a healthcare briefing, medical check-up, gotong-royong, repairing of the alternative education activity centre, and handing over of stationery supplies to the children of Kg. Lok Urai.

Also present at the event was FKSW Deputy Dean of Academic and International, Dr. Marsitah Mohd Radzi, Deputy Dean of Student Affairs and Alumni, Dr. Mohamad Puad Bebit and Head of Residential College Sri Angkasa, Dr. Afrizal Anwar @ Teuku Afrizal.

Source:  Feria Lee, FKSW

RABU, 8 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) berusaha melahirkan graduan-graduan yang berkualiti melalui pembentukan sahsiah diri dan mempertingkatkan potensi pelajar berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara, kata Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah

Dalam konteks ini katanya, UMS turut mempunyai visi dan misi selaras dengan falsafah itu, dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar akan bertindak lebih aktif khususnya dalam meneruskan program-program kesukarelawan dan kemasyarakatan bagi membentuk keperibadian para pelajar.

“Selain memastikan pelajar memahami kemahiran insaniah, urusan-urusan berkaitan kebajikan pelajar turut dipermudahkan yakni dengan menyediakan penginapan dan kemudahan yang kondusif serta menstruktur program latihan dan kepemimpinan pelajar yang lebih dinamik dan berkesan sebagai persediaan sebelum bergelar graduan,” katanya pada Majlis Amanat Naib Canselor 2017.

Datuk Harun berkata, demi mempertingkatkan kebolehpasaran graduan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) telah mewujudkan satu instrumen yang dipanggil Purata Nilai Gred Purata Kumulatif (iCGPA) bagi mengukur secara holistik tahap dan perkembangan pelajar dari semester satu hingga semester terakhir.

“Sukacita saya umumkan bahawa UMS akan melaksanakan penilaian iCGPA ini bermula pada sesi 2017/2018 yang melibatkan dua  fakulti perintis iaitu Fakulti Kejuruteraan (FKJ) dan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perkaunan (FPEP),” katanya.

Bermula kemasukan sesi 2017/2018 juga katanya, UMS akan menawarkan program akademik prasiswazah baharu iaitu Sarjana Muda Pendarasan Islam dengan Kepujian.

Menurut beliau, seramai 20 pelajar akan ditawarkan tempat bagi mengikuti program ini.

“Dua lagi program prasiswazah yang diluluskan KPT ialah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Sarjana Muda Kejuruteraan Minyak dan Gas,” jelas Datuk Harun.

Beliau turut mengumumkan tentang pelaksanaan program B40 yang akan diteruskan lagi pada tahun ini.

“Program yang telah bermula sejak sesi ambilan 2013/2014 membuka peluang kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM) daripada keluarga berpendapatan rendah mengikuti pengajian di UMS.

“Kita telah melihat seramai 67 pelajar B40 ambilan pertama telah bergraduat pada majlis Konvokesyen UMS lalu dan usaha UMS yang memberi peluang kepada mereka turut mendapat sanjungan daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh pada majlis Amanat beliau baru-baru ini,” tambah Datuk Harun.

 

SELASA, 7 MAC -  Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertekad untuk terus menyumbang manfaat kepada masyarakat dan mampu berdikari dan lestari dalam pengurusan kewangan.

Ke arah mencapai matlamat itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, universiti itu akan meneruskan kecemerlangan dalam bidang akademik melalui penyebaran ilmu sekali gus melahirkan sumber insan bukan saja berilmu, berakhlak mulia tetapi juga memiliki nilai-nilai norma serta mampu menjadi penggerak ekonomi dan kewangan yang lestari.

“Institusi ini akan melakukan penambahbaikan sumber insan secara berterusan agar semua kakitangan yang kita miliki berwibawa serta berintegriti tinggi sesuai dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing.

“Sebagai makluman UMS kini mempunyai 2,866 kakitangan iaitu masing-masing seramai 1,084 bagi kakitangan akademik dan 1,782 bagi kakitangan pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Naib Canselor yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 2, hari ini.

Menurut Datuk Harun, tidak dinafikan cabaran-cabaran semasa yang dihadapi dalam pekerjaan mahupun kehidupan, secara tidak langsung turut memberi kesan kepada kualiti dan produktiviti organisasi.

Katanya, ia serba sedikit telah memberi kesan terhadap segelintir kakitangan awam sehingga diklasifikasikan sebagai berprestasi rendah.

“Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam di UMS tidak terjejas, satu garis panduan pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) bagi pegawai yang berprestasi rendah diwujudkan membolehkan pengurusan sumber manusia dan pegawai psikologi melaksanakannya secara sistematik dan seragam bersandarkan pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7, 2015.

“Dasar ini adalah untuk menamatkan perkhidmatan dan membersarakan kakitangan yang berprestasi rendah namun masih menikmati kemudahan-kemudahan seperti persaraan biasa iaitu pencen bulanan, ganjaran, pemberian wang tunai gantian cuti, kemudahan perubatan dan kad pesara,” katanya sambil memaklumkan dasar itu akan berkuatkuasa tahun ini untuk penilaian Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) bagi tahun 2016.

Datuk Harun berkata, bagi mereka yang telah memilih Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mereka akan menerima caruman KWSP dan dividen serta kemudahan lain kecuali ganjaran.

“Kakitangan yang berprestasi rendah diklasifikasikan sebagai kakitangan yang memperoleh markah LNPT 60% dan ke bawah dan tidak mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan.

“Pelaksanaannya melibatkan semua peringkat kumpulan termasuklah pengurusan tertinggi universiti dan bagi dasar ini dilaksanakan dengan telus, sebuah Panel Intervensi Psikologi (PIPs) ditubuhkan bagi menentukan program intervensi yang sesuai bagi tempoh pemerhatian kepada kakitangan berprestasi rendah yang terlibat,” tambah beliau lagi.

Walau bagaimanapun katanya,  Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) turut diwujudkan sebagai rakan pembimbing dan membantu kakitangan dalam golongan itu  meningkatkan potensi dan kecemerlangan bagi yang ingin berubah.

“Ini membuktikan kita komited dalam usaha  mewujudkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi dan berintegriti sejajar dengan autonomi yang diperoleh UMS pada bulan Julai tahun lalu.

“Lantaran itu, demi meneruskan kecemerlangan yang kita usahakan bersama, penambahbaikan menerusi pengoptimuman sumber manusia yang ada terdiri daripada akademik dan pentadbiran akan terus diperkasakan,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Harun turut memaklumkan pengambilan dan penyambungan kakitangan kontrak akan diperketat dengan mengambil kira keperluan strategik universiti dan prestasi individu.

“Ini bermakna, bilangan kakitangan kontrak baharu akan terhad, manakala kakitangan kontrak sedia ada, mungkin ada yang tidak akan disambung kontrak.

“Inisiatif ini diambil bagi mengoptimumkan perbelanjaan bagi menghadapi situasi ekonomi yang kian mencabar,” katanya.