RABU, 15 FEBRUARI - Seramai 181 kakitangan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) menjayakan aktiviti ‘Team Building’ di lobi Kompleks Perhutanan fakulti itu baru-baru ini.

Aktiviti selama sehari itu dimulakan dengan slot senamrobik diikuti oleh aktiviti mencari harta karun dan pelbagai aktiviti lain.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof. Madya Dr. Ismail Ali mewakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah.

Dalam ucapannya Dr Ismail berkata, penganjuran ‘team building’ mampu memupuk hubungan yang lebih kukuh sesama kakitangan tanpa mengira gred dan skim jawatan yang disandang.

“Saya ingin mengucapkan tahniah  kepada fakulti dan semua kakitangan yang hadir menjayakan aktiviti ini.

“Saya percaya, ini sekali gus dapat menyemarakkan semangat kerjasama dan meningkatkan motivasi dalam diri peserta yang akhirnya mewujudkan suasana harmoni dalam sesebuah pasukan mahupun organisasi,” katanya.

Terdahulu Pemangku Dekan, Prof Madya Dr. Abdullah Bade berkata, aktiviti ‘team building’ itu diharap dapat memberi banyak manfaat kepada para kakitangan.

“Semoga aktiviti seperti ini dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa dan diteruskan lagi penganjurannya pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa dan fasilitator yang terlibat dalam memastikan aktiviti berkenaan berjalan dengan lancar.

Kemuncak aktiviti adalah penyampaian hadiah bagi Kumpulan Terbaik ‘Team Building’ FSSA 2017, menyaksikan Pasukan Merah Jambu yang diketuai Dr. Maria L.T Lardizabal muncul sebagai pemenang.

Turut disampaikan hadiah sampingan lain seperti Pasukan Terbaik Mengikut Tema, pemenang setiap aktiviti yang diadakan selain acara cabutan tiket bertuah.

 

 

Sumber : Kenny Uwai

 

JUMAAT, 10 FEBRUARI - Bersempena sambutan Maulidur Rasul 1438H/2017H peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang bakal berlangsung pada 17 – 19 Februari ini, Jabatan Pendaftar menganjurkan program perkongsian ilmu bertempat di Galeri Majlis, UMS pagi tadi.

Ceramah bertajuk ‘Kepimpinan dan Pengurusan Cara Rasulullah SAW‘ disampaikan Pensyarah Kanan, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Dr. Sarip Adul.

Menurut beliau, Rasulullah SAW adalah tauladan kepimpinan yang terbaik yang perlu dicontohi.

“Seorang pemimpin dalam sesebuah organisasi itu hendaklah sentiasa menjadi pendengar yang terbaik, dapat menerima pandangan majoriti, berfikiran kreatif, pemimpin yang boleh turun padang dan menjadi perunding motivasi kepada orang bawahannya.

“Pemimpin yang sentiasa mendahulukan rakyatnya dan menjauhi kepentingan peribadi akan berjaya membawa kejayaan dan kecemerlangan kepada organisasi yang dipimpinnya,” ujar Dr. Sarip.

Terdahulu, Pendaftar UMS, No’man Datuk Hj. Ahmad menerusi ucapan aluannya menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir dan menyeru agar mengambil iktibar terhadap ceramah itu untuk diaplikasi dalam pekerjaan dan kehidupan seharian.

Ceramah yang disertai lebih 150 kakitangan UMS itu turut dihadiri Bendahari UMS, Zallifah Shadan, Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Prof. Madya Dr. Raman Noordin dan Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Md. Razali Saibin.

RABU, 8 FEBRUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan apabila mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi pengambilan pelajar antarabangsa seawal bulan Februari 2017.

Pengarah Hal Ehwal Antarabangsa (PHEA) UMS, Molly Donna Datuk Awang Sham berkata, pencapaian itu melangkaui jumlah 850 pelajar antarabangsa yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam KPI UMS bagi tahun ini.

“Penambahan seramai 137 pelajar antarabangsa yang mendaftar pada Februari menjadikan jumlah keseluruhan pelajar antarabangsa UMS seramai 881 berbanding 744 sebelum ini.

“Ia sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 18 peratus jika dibandingan dengan jumlah pelajar pada tahun lalu,” katanya.

Molly berkata demikian ketika ditemui pada hari pertama pendaftaran pelajar antarabangsa bagi pengambilan Februari di Perpustakaan UMS, hari ini.

Tambah beliau, pada sesi pendaftaran itu, UMS menerima pelajar antarabangsa dari sepuluh negara iaitu Brunei, Indonesia, Thailand, Laos, Myanmar, Bangladesh, Timor Leste, Nepal, China dan Chad.

Taklimat akademik dan Majlis Suai Mesra akan diadakan pada 10 Februari ini.

SELASA, 7 FEBRUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Jawatankuasa Kebajikan, Sukan,  Rekreasi dan Libatsama Masyarakat (KARIB),  Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) menyalurkan bantuan bernilai RM6,000 kepada mangsa banjir di Kota Marudu dan Pitas baru-baru ini.

Menurut pengerusi misi bantuan itu, Budi Anto Mohd Tamring, bantuan terdiri daripada beras, milo, makanan tin, biskut selain sumbangan pakaian dan barangan kegunaan harian.

“Kita telah mengagihkan lebih 100 bungkusan kepada mangsa banjir di Kampung Kuranji dan Kampung  Beliajung, Kota Marudu.

“Di daerah Pitas, bantuan diserahkan dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya ketika dihubungi media.

Budi berkata, derma tersebut diperoleh melalui pusat pengumpulan sumbangan dan derma banjir yang dianjurkan KARIB PPIB sebagai langkah membantu masyarakat Kota Marudu dan Pitas yang terjejas.

“Saya berterima kasih kepada semua warga UMS yang tampil memberi sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik ini. Sumbangan yang diberikan sudah pastinya akan mendapat balasan daripada Allah S.W.T.

“Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada Dekan PPIB UMS yang juga ketua rombongan, Prof. Madya Dr. Jualang @  Azlan Gansau serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan misi ini berjalan dengan lancar,” tambah beliau.

 

SELASA, 7 FEBRUARI – Kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) disaran agar meningkatkan dan mempelbagaikan kemahiran dalam bidang tugas masing-masing bagi mendepani cabaran semasa universiti.

Pendaftar UMS, No’man Ahmad berkata, cabaran kewangan yang dihadapi setiap universiti awam pada masa kini tidak memungkinkan universiti untuk mendapatkan waran perjawatan baru, justeru tenaga yang sedia ada diperlukan bagi melaksanakan pelbagai tugas di peringkat  jabatan dan fakulti.

“Kakitangan harus bersedia untuk melaksanakan pelbagai tugasan, dan tidak mengkhusus kepada satu tugas atau mengikut tugas skim jawatan masing-masing.

“Keperluan terhadap kepelbagaian bidang tugas dan kemahiran ini sememangnya amat dititik beratkan oleh pengurusan universiti,” katanya.

No’man berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Meraikan dan Penyerahan Surat Tawaran Kenaikan Pangkat Kakitangan Pentadbiran (Kumpulan Pelaksana) di Galeri Majlis, UMS.

Menurut beliau, selain kemahiran, jawatankuasa pemilih kenaikan pangkat juga melaksanakan penilaian berterusan terhadap aspek pengetahuan dan kompetensi kakitangan bagi memilih calon yang layak dan berkualiti.

Seramai 49 kakitangan dari 22 skim jawatan menerima surat tawaran kenaikan pangkat, yang disampaikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah pada majlis tersebut.

Turut hadir Ketua Pustakawan UMS, Dayang Rukiah Ag. Amit dan Ketua Bahagian Sumber Manusia, Luqman Ridha Anwar.