KHAMIS, 19 MEI – Program Minggu Bertemu Pelanggan (MBP) anjuran bersama empat jabatan Universiti Malaysia Sabah (UMS), iaitu Jabatan Bendahari, Perpustakaan, Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan dan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi mampu meningkatkan kefahaman kepada pengguna dan pelanggan terhadap perkhidmatan yang disampaikan universiti.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah berkata, penganjuran program sebegini juga turut menyediakan platform dan kemudahan penyelesaian masalah serta merta terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh jabatan-jabatan universiti.

“Saya sangat positif bahawa ini akan memberikan impak besar kepada warga universiti khususnya terhadap penyampaian perkhidmatan bukan sahaja oleh keempat-empat jabatan yang menganjur, tetapi juga menjadi contoh kepada Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut dan Unit lain di UMS,” katanya dalam ucapan sempena majlis perasmian program MBP di 1Megalab, Perpustakaan UMS baru-baru ini.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin.

Ujarnya lagi, pelbagai langkah perlu dilakukan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan universiti termasuk usaha mengurangkan karenah birokrasi dengan mempermudah dan memperkemas sistem dan prosedur kerja, memantapkan pentadbiran serta mengukur prestasi berasaskan Petunjuk Utama Prestasi (KPI).

Beberapa program menarik disediakan sepanjang seminggu program tersebut berlangsung, antaranya siri ceramah dan taklimat pengurusan oleh keempat-empat jabatan, aktiviti mewarna oleh kanak-kanak, kaunter perkhidmatan, pertandingan kuiz kepada pengunjung yang hadir, serta sesi forum bersama pelanggan.

Foto: Suzeanywati Gasinin

KHAMIS, 19 MEI – Majlis Penghargaan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) yang berlangsung baru-baru ini meraikan beberapa kakitangan akademik dan bukan akademik yang telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang dan memberi sumbangan besar kepada fakulti.

Bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, FSSA, majlis tersebut telah disempurnakan oleh dekannya, Prof. Dr. Baba Musta.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan majlis itu sebagai satu tanda pengiktirafan kepada kakitangan yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam perkhidmatan.

“Ini juga akan menjadi pendorong kepada kakitangan yang lain untuk sama-sama bersaing secara sihat bagi meningkatkan mutu perkhidmatan masing-masing.

“Disamping itu majlis ini turut menghargai sumbangan yang diberikan oleh kakitangan yang telah berpindah jabatan dan menamatkan perkhidmatan,” katanya.

Beliau turut berharap agar kecemerlangan tersebut dapat diteruskan secara konsisten pada masa akan datang serta menjadi cabaran kepada warga fakulti yang lain untuk meningkatkan produktiviti kerja.

Pada majlis itu, semua penerima anugerah kakitangan terbaik menerima cenderamata manakala gambar penerima anugerah akan dipamerkan di ruang utama papan notis fakulti.

Senarai Anugerah :

Kakitangan Terbaik Bukan Akademik (Sektor Pentadbiran)

  1. Noni Masjiril
  2. Mohd Gan Mohd Rashid

Kakitangan Terbaik Bukan Akademik (Sektor Sains)

  1. Seli @ Seliman Rajion
  2. Neldin Jeoffery

Penghargaan Ke atas Perkhidmatan

  1. Norlita Ismail (Menamatkan Perkhidmatan)
  2. Augustina Petrus (Bertukar Jabatan)

Sumber: Kenny Uwai, FSSA

RABU, 18 MEI - Para penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi menunjukkan pencapaian membanggakan apabila berjaya merangkul lima pingat emas dan tiga perak dalam  penyertaan International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2016 baru-baru ini.

Pingat-pingat itu diperoleh daripada lapan penyelidikan yang dipertandingkan pada pameran tersebut yang diadakan di di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). 

Dua pingat emas disumbangkan melalui penyelidikan bertajuk Firmeco, Eco-Friendly Edible Cutlery dan Functional Seaweed Snack with Prebiotic hasil kajian kumpulan penyelidik yang diterajui Prof. Madya Dr. Chye Fook Yee.

Tiga pingat emas yang lain diperoleh oleh kumpulan penyelidik yang diterajui Prof. Dr. Rossita Shapawi, Dr. Raihana Musawwir dan Dr Ramraini Ali Hassan melalui penyelidikan masing-masing iaitu Garoupa-Like, UMS Wheel for Bishop Scoring, dan Ib-Plan Software and Manual.

Bagi pingat perak pula, dua daripadanya masing-masing diterjemahkan melalui kumpulan penyelidik yang diterajui Mohd Suffian Misaran @ Misran dengan penyelidikan bertajuk Mix-wind Turbine dan Prof. Madya Dr. D. Maryama Ag. Daud dengan tajuk kajian PSS Reps Counter.

Satu lagi pingat perak diperoleh melalui penyelidikan bertajuk Kappa-Tank hasil kajian bersama oleh Prof. Dr Rossita Shapawi dan Wahidatul Husna Zuldin.

ITEX 2016 merupakan pameran bertaraf antarabangsa anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS). -SS

RABU, 18 MEI - Persidangan Parlimen Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) berlangsung hangat hari ini dengan hujah-hujah dan idea  bernas daripada kalangan barisan kepimpinan pelajar.

Aura lontaran usul dan pendapat disemarakkan lagi apabila persidangan yang melibatkan kira-kira 50 wakil pemimpin pelajar bersidang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Menariknya, persidangan yang mengikut etika dan protokol sebenar DUN turut dipengerusikan Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk  Dr. Johnson Tee.

Timbalan Naib Canselor UMS, Profesor Madyar Dr Ismail Ali ketika ditemui berkata,  Persidangan Parlimen Mahasiswa itu merupakan salah satu pendekatan proaktif yang diambil pihak pengurusan universiti untuk mempertingkatkan lagi kualiti  mahasiswa.

”Ia seiring dengan lonjakan pertama daripada 10 lonjakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 iaitu melahirkan graduan yang holistik,” katanya sambil menyatakan rasa terima kasih kepada Speaker DUN Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali kerana membenarkan persidangan tersebut diadakan di DUN.

Dr Ismail turut melahirkan rasa bangga apabila UMS merupakan Universiti Awam (UA) pertama di Malaysia yang mengadakan Parlimen Mahasiswa di DUN.

Hadir sama, Pengarah Pusat Alumni UMS, Mohd Raffie Haji Janau; Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Azmi Jumat dan Pengarah Pusat Sukan, Mohd. Asyraaf Abdullah. –SS

SELASA, 17 MEI – Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) telah menganjurkan Fitness Rally sempena hari terbuka KKTM baru-baru ini.

Menurut pengarah program, Narmatha A/P Shanker, program tersebut dianjurkan bertujuan mengajak warga KKTM dan masyarakat setempat untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

“Saya gembira kerana program ini dapat dijalankan dengan jayanya serta pencapai objektif untuk mengeratkan silaturahim antara satu sama lain,” katanya.

Program yang diadakan selama dua jam itu diketuai oleh Mazry Ismail dari Fanatic Fitness Lovers dengan senaman yang dinamakan FUZE Fitness, Zumba Fitness dan HipHop Dance.

Jelas Mazry, apapun senaman yang dilakukan harus mencapai satu matlamat iaitu untuk memperbaiki dan mengekalkan kesihatan.

“Aktiviti berkumpulan seperti ini mampu menyemai semangat untuk terus cergas dalam kalanagan masyarakat,” ujarnya.

Sumber: Rosloa Jalane, KKTM