JUMAAT, 12 FEBRUARI - Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program BRI Young Ambassador2016 baru-baru ini.

Bertempat di Bangunan IPB, program itu disertai oleh 40 orang pelajar tingaktan 6 atas dan orang guru pengiring dari empat buah sekolah, iaitu Sekolah Menengah La Salle, Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, Sekolah Menengah Kebangsaan Tambunan dan Kinabalu International School.

Program yang berlangsung selama sehari itu dirasmikan oleh pengarah IPB, Prof. Dr. Clemente Michael Wong Vui Ling, disusuli dengan taklimat ringkas berkenaan penyelidikan Kejuruteraan Genetik dan Immunology serta Vaccinology oleh kakitangan akademik IPB.

Pelajar-pelajar juga dibawa untuk melawat makmal-makmal di IPB, di samping beberapa aktiviti berkaitan pemahaman teknik pengendalian alat-alat yang berteknologi tinggi turut diadakan.

Program tersebut yang diadakan secara dwi-tahunan antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan serta memupuk minat pelajar-pelajar sekolah dalam aliran sains khususnya bidang bioteknologi, sekali gus memperkenalkan Institut Penyelidikan Bioteknologi kepada pihak luar.

Sumber: Institut Penyelidikan Bioteknologi

KHAMIS, 11 FEBRUARI – Seramai 82 orang kakitangan akademik dan bukan akademik Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari pelbagai skim perjawatan menerima kenaikan pangkat atas prestasi baik sepanjang perkhidmatan bersama universiti.

82 orang kakitangan tersebut melibatkan seramai 23 orang dinaikkan ke jawatan pensyarah kanan, seorang kakitangan guru bahasa gred DG44, 14 orang kakitangan pengurusan dan profesional, dan 44 orang kakitangan dari kumpulan pelaksana.

Para kakitangan tersebut diraikan dalam satu majlis meraikan dan penyerahan surat tawaran kenaikan pangkat kakitangan UMS Bil.1/2016 di Galeri Majlis, semalam, yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Dr. Shahril Yusof.

Terdahulu, beliau ketika berucap pada majlis tersebut berkata, ‘Mempermudahkan’ boleh menjadi satu kata kunci yang baik buat kakitangan universiti dalam menyampaikan perkhidmatan mereka.

Jelas beliau, sekiranya setiap tugas dilaksanakan atas dasar bagi mempermudahkan sesuatu, para pelajar mahu pun orang luar juga akan menjadi senang dan perkhidmatan mampu disampaikan dengan lebih baik.

“Justeru, satu cabaran khususnya kepada kakitangan pentadbiran yang dinaikkan pangkat ini untuk memikirkan atau melakukan sesuatu yang memudahkan dalam proses kerja perkhidmatan mereka,” katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Madya Dr. Ismail Ali dan Pendaftar UMS No’man Hj. Ahmad. -MA-

Foto: Musaab Umair

KHAMIS, 4 FEBRUARI – Berbaki dua hari lagi kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) di Johor Bahru, kontinjen Universiti Malaysia Sabah telah berjaya mencapai sasaran enam emas yang ditetapkan semalam.

Kutipan emas keenam UMS disumbang oleh atlet Karate-Do UMS, Christina Ederis dalam kategori Kumite 68kg Wanita dengan menumpaskan peserta dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Siti Hajar Mohd Azhar dengan mata 2-1.

Pingat tersebut juga merupakan pingat emas peribadi kedua buat Christina, setelah menyumbang satu pingat emas sebelum ini dalam acara pencak silat. 

Kejayaan ini sekali gus menjadikan pungutan pingat UMS setakat ini bertambah kepada enam emas, empat perak dan sepuluh gangsa bagi menduduki tempat keenam dalam senarai pungutan pingat bagi kontinjen bertanding.

Kontinjen UMS masih berpeluang menambah pungutan pingat tersebut menerusi sukan olahraga menyaksikan atlet lumba lari lelaki dan wanita UMS turun beraksi dalam acara 200 meter akhir, selain acara 3000 meter steeplechase wanita akhir. -MA-

Kredit Foto: Eddy Jamilih

KHAMIS, 4 FEBRUARI – Pemandu merupakan salah satu entiti penting dalam organisasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang turut memainkan peranan penting dalam membawa imej baik universiti.

Demikian menurut Ketua Jabatan Canselori, Darwis Awang dalam satu acara taklimat kepada para pemandu UMS di Galeri Majlis pagi tadi.

Menurut beliau, tanggung jawab seorang pemandu tidak hanya memandu kenderaan universiti semata-mata, tetapi mereka turut berperanan sebagai ejen dalam mempamerkan imej baik UMS khususnya kepada golongan VVIP atau tetamu kehormat universiti.

“Pemandu adalah individu pertama yang akan bertemu dengan tetamu kehormat UMS apabila mereka menjemput tetamu tersebut di lapangan terbang dan sebagainya, justeru mengekalkan imej yang baik adalah amat penting bagi mengelakkan persepsi tidak baik tetamu tersebut terhadap kakitangan UMS.

“Menjaga imej bukan setakat penampilan diri, tetapi turut mengambil kira sikap pemanduan serta cara layanan pemandu tersebut,” katanya.

Mengambil contoh menjawab telefon ketika memandu, perkara tersebut tidak boleh dipandang remeh kerana boleh menimbulkan persepsi kurang baik kepada pemandu, sekali gus mencalarkan imej keseluruhan kumpulan pemandu yang lain.

Beliau turut mengingatkan para pemandu agar bersikap baik terhadap pelajar yang menjadi penumpang setiap hari, selain menegaskan universiti tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pemandu yang melakukan perkara tidak baik kepada pelajar.

“Para pemandu perlu melakukan persiapan fizikal sebelum memulakan tugas, serta sentiasa menanam semangat dan keseronokan untuk bekerja bersama UMS,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, turut diadakan sesi perkongsian ilmu “Pemandu Senior” oleh Abdul Ghani, serta taklimat etiket kerja dan peranan pemandu dalam keselamatan kenderaan UMS yang disampaikan oleh Penolong Pendaftar, Syahrul Hazizi Asmat dan Darwis. -MA-

Foto: Ernest Berinus

RABU, 03 Januari - Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan para kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan universiti diingatkan untuk memperbaharui pelekat kenderaan masing-masing bagi tahun 2016.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan UMS yang kini sedang giat menjalankan pemeriksaan pelekat kenderaan di pintu utama universiti bermula 1 Februari lalu.

Permohonan pelekat kenderaan boleh dibuat di pejabat bahagian itu dengan kadar bayaran RM1.00 untuk setiap pelekat.

Para pemohon juga dinasihatkan untuk mengemukakan salinan kad pengenalan dan kad pekerja untuk permohonan baharu, manakala salinan lesen memandu dan cukai jalan diperlukan untuk permohonan lanjutan.

Sebarang pertanyaan berhubung permohonan pelekat kenderaan boleh menghubungi pejabat Bahagian Keselamatan UMS di talian sambungan 613207.