Oleh: Che Hasruddin Che Hasan

ISNIN, 22 FEBRUARI - Keprihatinan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi tanggungjawab sosial korporat atau projek amal terhadap komuniti luar bandar bertujuan merapatkan ukhuwah, mengukuhkan persefahaman dan memantapkan semangat perpaduan warga universiti dengan masyarakat luar bandar selain dapat menanamkan budaya syura dan amal jama’i dalam kalangan warga kampus.

Gabungan empat jabatan utama di UMS diketuai Jabatan Pendaftar, Jabatan Canselori, Jabatan Bendahari dan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi yang membentuk Kumpulan Al-Haaq, mengadakan projek amal di Kampung Penimbawan, Tuaran menunjukkan kesungguhan warga universiti berbakti kepada masyarakat di sekitar baru-baru ini.

Kehadiran seramai 100 kakitangan UMS itu adalah dengan tujuan membaik pulih bangunan KAFA di kampung tersebut yang mengalami banyak kerosakan bagi memberikan keselesaan kanak-kanak untuk belajar.

Antara kerosakan yang dibaiki ialah mengecat dalam kelas, memasang white board, memasang cermin tingkap dan memasang serta mengecat pintu.

Selain itu, pagar bangunan KAFA juga turut dibina supaya peralatan pembelajaran tidak hilang dicuri, kanak-kanak lebih selamat untuk belajar dan mengelakkan gangguan dari anjing liar.

Program sehari ini telah dirasmikan oleh Setiausaha Politik Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Kassim Hj. Razali.

Beliau bersyukur kerana UMS sentiasa dekat di hati masyarakat dengan memilih kampung di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hj. Hajiji Hj Mohd Noor sebagai lokasi projek amal kali ini.

“Ini juga merupakan satu inovasi bagi UMS kerana sebelum ini program amal selalunya dijalankan oleh siswa siswi tetapi kali ini secara keseluruhannya melibatkan pentadbir dan kakitangan UMS sendiri,” jelasnya yang turut menggesa agar program seumpama ini akan berterusan untuk pembangunan penduduk kampung.

Sementara itu, Pendaftar UMS, No’man Datuk Hj. Ahmad berkata, UMS sentiasa bersedia untuk bersama dengan masyarakat terutamanya melibatkan pembangunan sahsiah pelajar.

 “UMS akan membantu serba sedikit kekurangan yang dialami penduduk kampung seperti di Kampung Penimbawan ini.

“Menjadi satu harapan UMS untuk melihat anak-anak kecil dapat belajar dengan selesa dan dapat memanfaatkan kebaikan kepada masyarakat negeri Sabah umumnya,” katanya.

Beliau turut menggesa dan menggalakkan keterlibatan entiti akademik menyertai projek seumpama ini.

Secara ringkas, Kampung Penimbawan yang terletak di Teluk Serusup boleh diakses menggunakan laluan air dan darat.

Begitupun, rata-rata penduduk kampung lebih gemar menggunakan sampan untuk keluar dari kampung kerana jaraknya yang lebih dekat dan mudah.

Hadir sama memeriahkan projek amal ini ialah Pengarah Jakim Sabah, Hj. Mat Radzi Hj. Mat Ali; Ketua Kampung Penimbawan 1, Hj. Ajim bin Tusin; Ketua Kampung Penimbawan 2, Hj. Sidoh Hj. Hassan serta pegawai-pegawai kanan UMS.

Foto: Musaab Umair Ambotola

ISNIN, 22 FEBRUARI – Pensyarah Kanan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Mohd Khairuddin Abdullah dilantik sebagai Presiden Persatuan Staf Akademik UMS (PSAUMS) pada mesyuarat agung persatuan tersebut baru-baru ini.

Pelantikan tersebut sekali gus menyaksikan Dr. Mohd Khairuddin bakal menerajui kepimpinan PSAUMS untuk satu penggal, iaitu sehingga tahun 2018.

Mesyuarat agung yang diadakan buat julung kalinya di Galeri Majlis, Bangunan Canselori itu turut mengadakan pemilihan bagi beberapa jawatan kepada ahli persatuan tersebut.

Jawatan Timbalan Presiden disandang oleh Pensyarah Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Dr Khairul Anuar Mohamad, manakala Dr Razak Mohd Ali Lee juga dari FKJ dipilih sebagai Setiausaha Agung PSAUMS.

Beberapa lagi jawatan turut diisi oleh kalangan ahli akademik, antaranya Timbalan Setiausaha Agung yang disandang oleh Mohd Sobri Ismail, Dr. Musirin Mosin sebagai Bendahari Kehormat, dan Ahli Jawatankuasa (AJK) masing-masing disandang oleh Dr Mohd Norazan Abdullah, Dr  Mohd Hanafi Ahmad Hijazi, Dr Rosmalina Abd. Rashid.

Dalam pada itu, persatuan tersebut turut membincangkan usul perancangan beberapa program PSAUMS, antaranya dialog bersama Majlis Profesor Negara, syarahan umum, libatsama komuniti, konsultan dan khidmat nasihat kepakaran bidang tertentu.

PSAUMS ditubuhkan antara lain bertujuan untuk meningkatkan taraf profesionalisme, meningkatkan budaya akademik dan keintelektualan ahli persatuan, menyediakan platform pertukaran pendapat antara ahli, dan menjadi saluran komunikasi untuk mengutarakan isu-isu kepentingan ahli akademik kepada pihak pentadbiran universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Selain itu, persatuan tersebut turut komited untuk bekerjasama dan menyelaraskan usaha dengan universiti dalam hal berkaitan dengan penambahbaikan dan peningkatan mutu pengajaran,penyelidikan dan perundingan, serta memastikan hak dan kebajikan ahli dilindungi.

Sumber: Dr. Mohamad Nizam Nazarudin, FPP

JUMAAT, 19 FEBRUARI - Majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) 1437H akan diadakan pada 24 Februari 2016, bertempat di Dewan Resital.

Bagi memeriahkan sambutan tersebut, pelbagai aktiviti disediakan oleh Pusat Islam UMS seperti pertandingan Riang Ria, Nasyid dan Tilawah Al-Quran.

Selain itu, ceramah perdana Maulidur Rasul turut diadakan dan akan disampaikan oleh Pengerusi Pusat Pengajian Darul Ilmi Sandakan, Pencetus Ummah (PU) Azihal Bangsawan.

Penerbit UMS juga akan mengadakan ekspo buku dan Pameran Tamadun Islam bermula 22 Februari hingga 12 Mac 2016 di Perpustakaan UMS.

Pada tahun ini, UMS memilih ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’ sebagai tema sambutan Maulidur Rasul 1437H.

KHAMIS, 18 FEBRUARI - Sektor Pentadbiran dan Kewangan, Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah julung kalinya telah menjayakan Taklimat Celik Wang FSSA 2016 buat  julung kalinya baru-baru ini.

Bertempat di Bilik Seminar, Kompleks Sains dan Teknologi, FSSA, taklimat tersebut membincangkan topik zakat, insurans, Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan hartanah yang disampaikan oleh empat penceramah, iaitu Jaludin Dullah dari Pusat Zakat Sabah, Sabhi Che Ros dari MMA Insurans, pensyarah FSSA Awang Ahmad Mohd Yunus, dan Azali Saudi dari Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) UMS.

Menurut Dekan FSSA, Prof Dr. Baba Musta, taklimat tersebut bertujuan untuk memberi pemahaman dan kesedaran mengenai konsep pembayaran zakat dan perlindungan insurans, dan pada masa yang sama isu keperluan dan kepentingan perancangan kewangan yang berkesan turut dibincangkan.

Sementara itu, Awang Ahmad yang menyampaikan slot ceramah berkaitan ASB berkata program seumpama ini sememangnya sangat relevan terutama pada waktu ekonomi dunia yang tidak menentu, yang menuntut semua orang agar berubah secara intelektual dalam meningkatkan pengurusan kewangan secara berkesan.

“Kita juga boleh mempelajari strategi dan idea yang boleh di implementasi dalam mencari peluang menjana kewangan dengan bijak,”ujarnya.

Seramai 40 orang peserta terdiri daripada kakitangan pentadbiran dan akademik FSSA hadir dalam program tersebut.

Sumber : Kenny Uwai, FSSA

KHAMIS, 18 FEBRUARI - Universiti Malaysia Sabah melalui Kelab Bahasa Mandarin akan mengadakan Karnival KITA pada 18 Mac hingga 20 Mac ini.

Karnival KITA, iaitu singkatan bagi Keharmonian, Integrasi, Toleransi, dan Asimilasi akan berlangsung di Padang Kawad, UMS bermula jam 4 petang hingga jam 10.00 malam.

Karnival tersebut antara lain adalah bertujuan untuk mengetengahkan keunikan konsep Satu Malaysia dan budaya tempatan kepada pelajar yang berbilang kaum di UMS.

Pada hari tersebut, Karnival KITA ini akan mengadakan gerai-gerai makanan, pameran, permainan, persembahan dan lain-lain lagi.

Karnival tiga hari ini terbuka kepada orang awam, dan masyarakat setempat khususnya warga UMS adalah dijemput untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan lagi karnival ini.

Sumber: Kelab Bahasa Mandarin UMS