JUMAAT, 15 JANUARI - Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)  Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyediakan makanan tengahari percuma kepada mahasiswa di Masjid UMS.

Pengerusi PEMBINA UMS, Muhammad Izzat Naif Mad Isa berkata, sumbangan tersebut bagi membantu mereka yang  tidak berkemampuan.

“Mahasiswa yang ada di universiti terdiri daripada pelbagai latar belakang  dan ada diantaranya yang mengalami kesempitan terutama pada penghujung semester. Justeru, PEMBINA UMS tampil sama-sama untuk membantu mereka melalui program seumpama ini,” ujarnya ketika ditemui media universiti.

Beliau berkata, usaha tersebut telah diadakan sejak Oktober tahun lalu di beberapa lokasi dalam universiti.

“Kita telah mengadakan pemberian makanan secara percuma ini di kolej-kolej kediaman dan pada kali ini kita memilih Masjid sebagai pusat agihan  makanan.

“Bagi pihak PEMBINA UMS, kami juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada yang sudi menyumbangkan dana dan tajaan bagi tujuan menjayakan usaha murni ini,” tambahnya sambil menyifatkan inisiatif  mereka itu sebagai seiring dengan usaha  pihak pengurusan universiti dalam menjaga kebajikan pelajar.

Oleh Faezah Mohamad Dun

Foto Musaab Umair

KHAMIS, 14 JANUARI - Pusat Hemodialisis Universiti Malaysia Sabah – Yayasan Kebajikan Negara yang terletak di Plaza Kingfisher Kota Kinabalu dijangka akan mula beroperasi pada Februari depan.

Perkara tersebut dinyatakan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Bangunan Canselori UMS, hari ini.

Menurut Datuk Harun, sebanyak 10 mesin rawatan hemodialisis telah disumbangkan YKN bertujuan untuk memberikan bantuan kebajikan kepada pesakit yang memerlukan rawatan.

“Saya juga berharap agar usaha murni antara UMS dan YKN ini dapat memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada masyarakat setempat dan dapat dipertingkatkan lagi pada masa hadapan,” ujarnya.

Pewujudan pusat haemodialisis itu dicetuskan melalui satu  perbincangan ringkas antara UMS dan YKN pada tahun lalu.

KHAMIS, 14 JANUARI - Sepuluh pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menamatkan program mobiliti UMS-UUM semalam.

Pelajar tersebut terdiri daripada lima pelajar UUM berkampung di Kampus UMS selama satu semester,  manakala lima pelajar  Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS juga telah berada di Kampus UUM, Kedah sejak September tahun lalu.

Pelajar-pelajar tersebut diraikan dalam satu majlis di Bilik Seminar Fakulti Psikologi dan Pendidikan, yang turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali.

Dalam ucapannya sempena majlis tersebut,  beliau memuji hasil usaha dan kerjasama kedua-dua universiti dalam memastikan pelajar-pelajar memperoleh manfaat hasil program mobiliti ini.

Menurut beliau, program ini bukan sahaja mampu memperkasakan bidang akademik kedua-dua universiti,  tetapi turut memberi peluang peserta memperoleh pengetahuan yang bukan berasaskan akademik semata-mata.

“Pelajar yang terlibat secara tidak langsung menjadi duta kepada universiti, yang membolehkan mereka mempromosikan keunikan kampus universiti serta budaya hasil daripada pengalaman yang diperoleh sepanjang program mobiliti ini berlangsung.

"Justeru,  program sebegini harus diteruskan pada masa akan datang sekali gus menyokong hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi dalam aspek melahirkan graduan holistik seperti yang ditekankan dalam 10 lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi), " ujarnya.

Oleh Che Hasruddin Che Hasan

SELASA, 12 JANUARI - Kedaulatan makanan (food security) sebagaimana dicetuskan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada September 2015 merujuk kepada keupayaan negara menghasilkan makanan sendiri dan mengurangkan kebergantungan bekalan makanan import yang menjadi dasar strategik penting buat Malaysia.

Menerusi cetusan ini, Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal mengungguli kedaulatan makanan dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah dan pihak industri bagi meneruskan usaha memperkasakan bidang pertanian demi manfaat masyarakat setempat dan negara amnya.

Usaha ini menjadi inti perbincangan pada pertemuan antara Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman di pejabatnya baru-baru ini.

Menurut Datuk Harun, UMS akan memfokuskan kepada kedaulatan makanan, ecofarm dan pembangunan industri pertanian melalui latihan keusahawanan dan komuniti.

“Usaha yang dijalankan UMS ini mendapat sokongan Ketua Menteri kerana ia berkonsepkan kerjasama akademia-industri,” katanya.

Pada pertemuan tersebut, Datuk Harun turut memaklumkan bahawa UMS telah mengenal pasti beberapa kawasan tanah pertanian untuk mencapai hasrat berkenaan.

Ujar beliau, bidang pertanian akan menjadi salah satu bidang tujahan yang akan diperkasakan di peringkat UMS.

“Pemerkasaan bidang pertanian akan menggalakkan lebih ramai anak muda tempatan menceburi bidang pertanian sebagai usahawan tani yang bukan sahaja dapat memberikan pendapatan lumayan tetapi dapat menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada masyarakat.”

“Semoga melalui usaha ini mampu memangkin negara kita ke arah menghasilkan sumber-sumber makanan yang mencukupi dan seterusnya dapat dieksport ke luar negara dalam meningkatkan pendapatan negara,” tambahnya lagi.

Datuk Harun turut tertarik dengan konsep ‘Zero Discharge’ yang diaplikasikan di ladang tenusu milik usahawan berjaya, Datuk Yap Yun Fook di Keningau ketika membuat lawatan rasmi ke tanah milik UMS di Apin-apin, Keningau.

“Insya-Allah, UMS akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan Datuk Yap yang selama ini telah terjalin untuk merealisasikan konsep ecofarm di Fakulti Pertanian Lestari UMS di Sandakan sekali gus menggiatkan kerjasama antara pihak industri dan universiti,” ujarnya.

Untuk rekod, pada pembentangan Bajet 2016, kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM5.3 bilion bagi menyediakan pelbagai bantuan dan insentif ke arah memperkasakan pertanian kerana bidang ini menyumbang 8.6% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

 

SELASA, 12 JANUARI – Wakil Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul pemenang tempat ketiga kategori wanita pada Festival Nyanyian Lagu Asli Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) baru-baru ini.

Puteri Norain Faradina Nordin, pelajar tahun tiga, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) UMS meraih kemenangan itu melalui dendangan lagu Laksamana Mati Dibunuh dan Sireh Pinang.

Beliau menerima wang tunai RM500 berserta piala dan sijil.

Dengan hadiah RM1,500, johan pula disandang peserta Universiti Malaya (UM), manakala wakil Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditabalkan sebagai naib johan dengan menerima RM1,000.

Kedua-dua mereka turut menerima piala dan sijil.

Kategori lelaki juga menyaksikan peserta UM muncul sebagai johan, disusuli Universiti Putra Malaysia (UPM) naib johan dan UiTM ditempat ketiga.

Kesemua mereka menerima hadiah yang sama dengan kategori wanita.

Festival yang berlangsung di Panggung Percubaan UPM itu turut disertai Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Pertahanan Nasional  Malaysia (UPNM), dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). – ZMD

Sumber: Norhana Nordin