Oleh Salbinous Saribun

ISNIN, 25 JANUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus maju ke hadapan apabila melonjak 72 anak tangga untuk tersenarai pada kedudukan ke-173 ranking terbaik dunia dalam penarafan UI-GreenMetric World University Ranking 2015.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, lonjakan itu merupakan yang tertinggi berbanding ranking pada tahun sebelumnya di kedudukan 245 terbaik dunia.

“Pencapaian itu merupakan satu kebanggaan bagi warga UMS yang kini dalam landasan yang tepat ke arah mencapai pelbagai lagi kecemerlangan pada masa akan datang,” ujarnya ketika mengulas mengenai pencapaian itu.

Menurutnya, UMS dilihat mampu meningkatkan lagi ranking berkenaan berdasarkan usaha-usaha yang giat dijalankan khususnya dalam aktiviti berkaitan dengan kelestarian kampus dan pengurusan alam sekitar.

“Pelbagai aktiviti mesra alam sekitar yang kita laksanakan seperti penggunaan tenaga yang cekap serta peningkatan fasiliti dan penggunaan basikal di kampus selain pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar melalui pelbagai aktiviti pengajaran dan penyelidikan.

“Penubuhan Pusat Kitar Semula di dalam kampus selain bakal mempraktikkan konsep Ecofarm juga sangat diyakini akan menjadi kekuatan untuk universiti meningkat lebih jauh dalam penarafan ranking pada tahun ini,” tambah Datuk Harun.

Penarafan UI-GreenMetric World University Ranking 2015 yang diumumkan pada Jumaat lalu disertai 407 universiti daripada 66 negara berbanding 360 daripada 62 negara pada tahun lalu.

Ia menyaksikan UMS berada pada ranking ketujuh bagi Universiti Awam dan swasta di Malaysia dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) berada pada kedudukan ranking pertama.

Penarafan kelestarian alam sekitar yang mengukur komitmen setiap universiti dalam membangunkan infrastruktur mesra persekitaran mempunyai lebih daripada 40 indikator yang meliputi 6 skop utama iaitu infrastruktur (15%), tenaga dan perubahan cuaca (21%), sisa buangan (18%), air (10%), pengangkutan (18%) dan pendidikan (18%).

JUMAAT, 22 JANUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyasarkan kutipan enam pingat emas pada Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2016 yang akan berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor, bermula 29 Januari ini.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, penyertaan UMS dalam 11 acara sukan tahun ini diharap dapat mencipta sejarah baharu sekali gus meningkatkan kutipan pingat serta memperbaiki kedudukan UMS dalam kejohanan tersebut.

“UMS memberikan kepercayaan yang tinggi kepada anda semua, bertandinglah dengan semangat kesukanan yang padu serta berikan yang terbaik dalam mengharumkan nama universiti,” ujarnya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Profesor Madya Dr. Ismail Ali pada Majlis Amanat dan Penyerahan Bendera Kontinjen di Galeri Majlis Bangunan Canselori, kelmarin.

Seramai 50 atlet UMS akan berangkat ke UTM pada 24 Januari ini untuk bertanding dalam acara Taekwando Poomsae, Taekwando Kyorugi, Olahraga, Boling, Badminton, Karate-do, Lawan Pedang, Pencak Silat, Petaque, Boling Padang dan Bola Tampar Pantai Lelaki.

Selain penyerahan bendera, turut diadakan bacaan ikrar yang dibacakan oleh ketua kontinjen, Max Anzie Jetol.

Hadir sama, Pengarah Pusat Sukan UMS, Mohd. Asyraaf Abdullah dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Azmi Jumat.

Foto: Musaab Umair

 

ISNIN, 25 JANUARI - Keputusan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) yang dikeluarkan baru-baru ini menyaksikan pencapaian cemerlang secara keseluruhan oleh Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurut kenyataan PPST, daripada 300 pelajar yang menduduki ujian, 270 pelajar (90.3%) mencapai tahap Band 3 dan ke atas, iaitu 18 pelajar mencapai Band 5 (6%) berbanding dengan 8 pelajar daripada 319 pelajar dari kohort sebelumnya (2.5%), manakala 108 pelajar mencapai Band 4 (36%), 144 pelajar mencapai Band 3 (48%) dan 29 orang pelajar mencapai tahap Band 2 (9.7%).

Bagi pencapaian keseluruhan calon MUET di Sabah iaitu seramai 787 pelajar daripada 44,276 calon seluruh Malaysia, PPST telah menyumbang sebanyak 40.9% daripada Band 5, diikuti 39.1% daripada Band 4 dan 18.3% daripada Band 3. 

Pelajar yang mencapai Band 5 adalah Elsieeli Duasin, Arnold Marshall Molujin, Zachary Zeno Henry, Eric Gabriel Funk, Mohd Helmie Janong, Muhammad Aiman Ismail, Hafiqah Syazwani Hassanudin, Maryam Rosman, Nazleen Diana Ismail, Sophia Yong Chiu Hung, Annabelle Gissong, Haizal Danial Esah, Sarah Nafisa Rosli, Firas Mohamad Azaini, Nurliyanah Atiqah Shah Fenner Khan, Nur Haziqah Erdina Abd Razak, Nur Nabilah Muhammad Mukhtar dan Fatin Munirah Mohd.

Menurut kenyataan itu lagi, PPST bukan sahaja komited untuk meningkatkan pencapaian MUET tetapi juga penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Tambahan lagi, bahasa inggeris juga dijadikan sebagai perantaraan dalam pengajaran dan pembelajaran di PPST kerana ia penting untuk persediaan mereka ke program sains diperingkat ijazah.

Pengarah PPST, Prof. Madya Dr Sazmal Effendi Arshad turut mengucapkan tahniah kepada pelajar atas keputusan yang cemerlang dan menggalakkan mereka terus meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris sebagai medium loncatan untuk mencapai kecemerlangan dalam program ijazah yang mereka kehendaki. -SS

Sumber: PPST

KHAMIS, 21 JANUARI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima tiga anugerah pada Majlis Anugerah Seni yang dianjurkan oleh Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) 2015, baru-baru ini.

Majlis anugerah yang diadakan di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu itu bertujuan memberi penghargaan kepada para pelajar dan pegawai MAKUM yang telah memberikan komitmen dalam memastikan semua aktiviti yang dirancang pada tahun 2013-2015 berjaya dilaksanakan dengan lancar.

Pada majlis tersebut, pelajar Fakuti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Puteri Norain Faradin Nordin menerima Anugerah Bonang Emas manakala Kelab Kebudayaan dan Kesenian UMS menerima Anugerah Gambang Mustika.

Satu lagi anugerah iaitu Anugerah Gendang Sari diberikan kepada Pegawai MAKUM UMS, Mohd. Khairuddin Ahmad dan Alan James.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Bin Haji Mohd Dom.

Turut hadir, Pengerusi MAKUM 2013-2015 merangkap Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniSZA, Profesor Dr. Nik Wan Omar.

Sumber : Norhana Nordin

KHAMIS, 21 JANUARI – Pusat Alumni, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan satu program ‘Temu Santai Alumni’ bertempat di Cafe D’Sireh, UMS kelmarin.
Perjumpaan tersebut dihadiri lebih 100 alumni yang majoritinya terdiri daripada kakitangan UMS sendiri.
Presiden Persatuan Alumni UMS yang juga Pengarah Kastam Sabah, Dato’ Dr. Janathan Kandok berkata, beliau bersama para alumni lain akan berusaha menyelaraskan semua program yang dirancang Pusat Alumni  untuk faedah ahli-ahlinya.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Alumni UMS, Mohd. Raffie Hj. Janau menekankan kepentingan sokongan padu daripada alumni untuk merealisasikan objektif pusat itu.
“Kami telah merancang pelbagai aktiviti dan akan berhubung dengan lebih ramai alumni di seluruh negara termasuk alumni antarabangsa,” katanya.
Temu santai kali ini turut diselitkan dengan sesi perkongsian tentang pencapaian para alumni selain meminta pandangan dan cadangan untuk menarik lebih ramai alumni berbakti kepada alma mater mereka. - FL