RABU, 20 JANUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada hari ini telah mengadakan Taklimat Formula Pendanaan Baharu dan Petunjuk Prestasi Utama UMS 2016 kepada seluruh warga kakitangan universiti.

Bertempat di Dewan Canselor UMS, taklimat tersebut disampaikan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Akademik (PPSA), UMS, Prof. Dr. Marcus Jopony.

Taklimat ini antara lain bertujuan untuk berkongsi maklumat berkenaan pengurangan peruntukan belanja mengurus (OPEX) bagi tahun 2016 dan formula pendanaan baharu, dua aspek penting untuk Universiti Awam(UA) mulai tahun 2016.

Taklimat tersebut adalah selaras dengan keperluan untuk berkongsi status semasa dan senario akan datang berkaitan belanjawan  universiti sebagai persediaan kepada warga kerja UMS untuk bersedia dan mengharungi cabaran serta memikul tanggungjawab yang bakal dihadapi mulai tahun ini.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Mohd Harun Abdullah dalam ucapan dasarnya sempena majlis taklimat tersebut menjelaskan, walaupun universiti berdepan dengan kekangan kewangan, namun UMS akan terus komited untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai peneraju pendidikan tinggi yang disanjung, serta menjayakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Untuk itu, saya menyeru semua warga UMS untuk berubah dan mengubah, baik dari aspek minda, sikap, tabiat mahupun amalan bekerja. 

“Marilah kita berganding bahu untuk berusaha ke arah kelestarian kewangan, lonjakan produktiviti dan kecemerlangan Universiti Malaysia Sabah,” ujarnya. -MA-

Foto oleh: Ramdan Saleh Nain

RABU, 20 JANUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada hari ini mengukuhkan lagi jaringan industri dan jalinan kerjasama di peringkat antarabangsa melalui pemeteraian perjanjian bersama dua buah agensi, iaitu Yun Fook Resources Sdn Bhd dan Zunyi Medical University, People’s Republic of China.

Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Yun Fook Resources Sdn Bhd, kedua-dua pihak akan menjalinkan kerjasama dalam bidang perladangan tenusu dari segi pembelajaran dalam perladangan tenusu, latihan pengurusan keselamatan makanan, latihan praktikal dan industri, penyelidikan dan perundingan dan pertukaran pelajar serta kakitangan.

MoU kedua-dua pihak ditandatangani oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah mewakili UMS, manakala Yun Fook Resources diwakili oleh Datuk Yap Yun Fook.

Sementara itu, Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Zunyi Medical University, People’s Republic of China. Pula menyaksikan kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam penubuhan “The International Joint Laboratory for Ethnomedicine”.

Melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk memfokuskan kerjasama dalam penyelidikan saintifik peringkat antarabangsa, latihan dalam bidang sains dan teknologi, penubuhan sebuah pasukan akademik antarabangsa, penubuhan satu sistem pengurusan serta memberi sumbangan terhadap pembangunan ekonomi wilayah Guizhou dan Malaysia melalui melalui penjanaan sumber.

MoA tersebut ditandatangani oleh wakil dari Zunyi Medical University, Professor Lu Yuan Fu. -MA-

Foto oleh: Musaab Umair

ISNIN, 18 JANUARI - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjemput warga universiti untuk mengambil bahagian dalam urus niaga secara Car Boot Sales yang diadakan pada 25 Januari depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh FPSK, program yang dijangka mendapat sambutan hangat ini  akan diadakan di tempat letak kereta  fakulti berkenaan  bermula pukul 8.30 pagi hingga 2.30 petang.

Penjualan yang dilakukan melalui kenderaan masing-masing ini mengenakan yuran sebanyak RM20 untuk setiap peserta.

Bagi penyertaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Nurul Izza Md Nordin ditalian 013-8500362.

Orang ramai turut dialu-alukan hadir membeli barangan yang ditawarkan pada program tersebut.

ISNIN, 18 JANUARI - Agenda penerbitan, jaringan industri dan geran penyelidikan antara perkara yang perlu diperkasakan bagi memastikan Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) mencapai status kecemerlangan tersendiri.

Demikian menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dalam satu lawatan kerja beliau ke institut tersebut baru-baru ini .

Jelas beliau, kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi menubuhkan sebuah institut penyelidikan, justeru institut tersebut harus memperlihatkan sumbangannya kepada masyarakat dan negara melalui pelbagai pencapaian cemerlang.

“IPMB harus memantau setiap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) para penyelidik serta geran penyelidik dicapai, selain memastikan setiap pensyarah menghasilkan penerbitan ilmiah,” ujarnya.

Terdahulu, Pengarah IPMB, Prof. Dr. Rossita Shapawi menerangkan peningkatan berterusan dicapai oleh IPMB dalam bidang penerbitan, penyelidikan dan inovasi, enrolmen pelajar pascasiswazah, jaringan industri dan jalinan kerjasama sepanjang tempoh lima tahun ini.

Ujar beliau, melalui peningkatan terhadap beberapa perkara seperti kemudahan dan sumber manusia, potensi IPMB sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HiCOE) dalam konteks akuakultur akan kekal relevan. -MA-

Foto oleh : Ernest Berinus

JUMAAT, 15 JANUARI – Artikel bertajuk ‘Isu Kemanusiaan Darfur, Sudan’ memberi tuah kepada pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Siti Nurzulaiha Lailee apabila dinobatkan sebagai pemenang pertandingan ‘Young Humanitarian Writers Competition 2015'.

Pertandingan anjuran bersama International Committee of the Red Cross (ICRC) dan National Press Club Malaysia menyaksikan artikel pelajar tahun tiga program Hubungan Antarabangsa itu berjaya menambat hati juri pertandingan.

Penulisannya yang menekankan situasi konflik di Sudan serta bagaimana bantuan kemanusiaan kepada rakyat disekat oleh kerajaan Sudan membolehkan beliau menggondol hadiah utama iaitu wang tunai bernilai RM1,500 serta sebuah gajet elektronik.

Hadiah disampaikan Ketua Pejabat ICRC Sabah, Dominique Earnshaw dalam satu majlis penyampaian anugerah di Galeri Majlis, UMS pagi tadi.

UMS turut memenangi tiga hadiah lain dalam pertandingan tersebut, iaitu hadiah tempat ketiga yang dimenangi oleh Mohd Ariff Mohd Noor, dan hadiah saguhati masing-masing dimenangi oleh  Audrey Michelle Peter dan Zaenushan Adrizan Zubir.

Pertandingan yang bertemakan ‘Respecting Life and Human Dignity’ antara lain bertujuan untuk menggalakkan anak-anak muda untuk memahami dan membincangkan hal-hal berkaitan perundangan antarabangsa, tindakan dan prinsip-prinsip dalam isu kemanusiaan. 

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin. -MA-