ISNIN, 07 Disember – Pusat Pengajian Pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Bengkel Penyelarasan Nama Ijazah Program Pascasiswazah Secara Generik di Hotel The Klagan Regency, 1Borneo baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pusat pengajian itu, penganjuran bengkel tersebut melibatkan semua fakulti,  pusat dan institut yang terlibat dalam penawaran program pascasiswazah universiti.

Objektif penganjurannya ialah bagi menyelaras semula nama ijazah program pascasiswazah sedia ada yang mempunyai pengkhususan kepada nama ijazah secara generik, sama ada yang telah diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) atau nama ijazah yang pernah ditawarkan tetapi tidak tersenarai dalam pengiktirafan.

Kenyataan itu turut memakumkan, penyelarasan nama ijazah secara generik itu akan memudahkan pihak universiti menawarkan program-program pascasiswazah tanpa perlu membuat permohonan baharu setiap kali ingin menawarkan bidang pengkhususan yang baharu.

Pada bengkel tersebut, semua fakulti, pusat dan institut bersetuju terhadap pelaksanaan penjenamaan nama ijazah program pascasiswazah secara generik.

Majlis perasmiannya disempurnakan Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Akademik (PPSA), Prof. Dr. Marcus Jopony mewakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa). –SS

 

Sumber: Jumawati Catacutan, Pusat Pengajian Pascasiswazah

ISNIN, 7 DISEMBER – Program Extravaganza anjuran Exco Kesenian dan Kebudayaan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu mencungkil bakat kesenian siswa-siswi.

Dianjurkan dengan kerjasama Majlis Ketua-ketua Kelab Kolej Kediaman E, program selama tiga hari itu menyaksikan beberapa acara dipertandingkan seperti Pertandingan Akustik, Tarian Moden, Deklamasi Puisi dan Pertandingan  Video Pendek bertemakan UMS Dihatiku, selain pameran dari setiap kolej kediaman dan program derma darah.

Perasmian penutupan disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar  dan Alumni, Prof. Madya Dr. Ismail Ali di Anjung Siswa, Bangunan Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

Dalam ucapannya, beliau memuji penganjuran program seumpama itu yang bukan sahaja mengeratkan silaturahim antara siswa-siswi yang terlibat, malah mampu membina semangat jati diri para pelajar UMS.

“Kita amat menggalakkan kolej-kolej kediaman untuk melaksanakan kegiatan-kegiatan seperti ini dengan lebih kerap.

“Pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar sendiri bersedia untuk menyokong program-program pelajar yang bermanfaat,” katanya.

Pada majlis tersebut, Dr. Ismail turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Akustik dan Tarian Moden.

Kumpulan Feel Honey muncul johan bagi pertandingan akustik, manakala pertandingan tarian moden dimenangi oleh kumpulan Weetari Keningau.

Pertandingan Deklamasi Puisi pula menyaksikan Muhamad Ezyree menjuarai pertandingan tersebut, dan pertandingan video pendek dimenangi oleh Ibtisam. Hadiah bagi kedua-dua pertandingan tersebut disampaikan oleh Timbalan Pengetua Kolej Kediaman E, Hilmey Saili.

JUMAAT, 4 DISEMBER – Setiap kakitangan Universiti Malaysia Sabah, khususnya kumpulan Pengurusan dan Profesional harus menjuruskan sekurang-kurangnya satu bidang kepakaran dalam skim perkhidmatan masing-masing.

Demikian menurut Pendaftar UMS, No’man Ahmad dalam Ucapan Sulung beliau kepada kakitangan di Galeri Majlis baru-baru ini.

Menurutnya, kakitangan harus memahami dan mendalami setiap aspek berkaitan bidang tugas masing-masing agar mereka boleh menjadi individu yang berkebolehan untuk dirujuk.

“Mengambil contoh bidang tugas seorang Pegawai Kewangan misalnya, mereka boleh menjadi pakar rujuk dalam bidang seperti penjanaan, pelaburan, perolehan dan sebagainya.

“Sekiranya setiap kakitangan mempunyai subjek kepakaran tersendiri, Insya Allah UMS mampu terus melonjak ke hadapan dengan pantas selari dengan sepuluh lonjakan yang ditekankan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi),” katanya.

Tambah beliau, setiap warga kerja UMS harus melihat fungsi dan tanggung jawab masing-masing di universiti ini, selain sentiasa memasang niat untuk menghasilkan kerja yang baik, serta meningkatkan kredibiliti diri dengan menambah ilmu pengetahuan berkaitan pekerjaan dan pengetahuan am.

Dalam pada itu, No’man menjelaskan bagi memudahkan setiap kakitangan memahami hala tuju dan bergerak seiring bagi memacu kejayaan universiti, beliau memilih perkataan INSAN, iaitu Integriti, Sense (Rasa/Perasaan) dan Needs (Kehendak) sebagai model asas jati diri dan kekuatan dalam memperkukuhkan sumber manusia penggerak universiti.

“Dan setiap INSAN yakni warga kerja universiti perlu memiliki KSA, Iaitu Knowledge (Pengetahuan), Skill (Kemahiran) dan Attitude (Sikap),” ujarnya.

JUMAAT, 4 DISEMBER – Penyelesaian isu-isu wilayah di Asia Timur dan Asia Tenggara perlu hadir menerusi perbincangan berdasarkan penyelidikan akademik mengenai punca-punca konflik.

Demikian menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dalam ucapan alu-aluan beliau sempena Bengkel Antarabangsa Mengenai Resolusi dan Perdamaian Isu-isu Wilayah di Asia Timur dan Asia Tenggara.

“Negara-negara di rantau ini telah berusaha berunding secara bilateral dengan China mengenai isu-isu Laut China Selatan untuk tempoh agak lama.

“Perbincangan ini sangat sukar namun demi manfaat keamanan di rantau ini, ianya harus diteruskan,” katanya.

Ucapan beliau dibacakan oleh Profesor dalam Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Prof. Dr. Kamarulzaman Askandar.

Beliau menambah, perbincangan ini tidak harus berakhir di sini, tetapi perlu diterbitkan dan disebar luas kepada masyarakat khususnya penggubal dasar dan generasi akan datang.

Program lima hari anjuran Program Hubungan Antarabangsa UMS dengan kerjasama Yayasan Sejarah Asia Utara dan Rangkaian Kajian Konflik Asia Tenggara antara lain menyasarkan untuk menganalisis dan memahami perdamaian isu-isu wilayah, berkongsi kes isu wilayah dan maritim yang dialami oleh Korea dan Malaysia, meneliti penyelesaian damai dan menggalak pertukaran akademik antara Asia Timur dan Asia Tenggara.

RABU, 2 DISEMBER – Kerajaan perlu menggubal satu dasar bagi memilih hanya satu atau dua buah universiti awam di Malaysia dan menjadikan universiti tersebut sebagai antara 10 atau 20 universiti terbaik di dunia.

Demikian menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi ketika menyampaikan ucapan sempena Persidangan Majlis Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (MPLPU) di Pacific Sutera, Sutera Harbour, kelmarin.

Jelasnya, jika dilihat negara-negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat, tidak semua universiti yang terdapat di negara berkenaan bertaraf tinggi.

“Apa kata kita pilih satu atau dua universiti awam di Malaysia dan pupuk sehingga ia menjadi yang terbaik.

Selain itu, sesebuah universiti tidak perlu menjadi pakar dalam semua bidang, tetapi hanya memilih satu atau dua bidang sahaja dan terus soaring upwards dalam bidang tersebut,” katanya.

Mengambil contoh Institut Jantung Negara (IJN) yang terkenal dalam kalangan pakar jantung di dunia, negara hanya mempunyai sebuah saja institut jantung dan kerajaan sentiasa menyalurkan sumber kewangan untuk menjadikannya sebuah hospital jantung terbaik.

“Sebaliknya, sekiranya kerajaan menubuhkan tiga hingga empat buah IJN, semestinya kita tidak dapat mencapai hala tuju dan akhirnya satu institut pun tidak mampu melonjak ke hadapan,” ujarnya.

Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Nik Ali Mat Yunus yang mewakili Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.