JUMAAT, 4 DISEMBER – Setiap kakitangan Universiti Malaysia Sabah, khususnya kumpulan Pengurusan dan Profesional harus menjuruskan sekurang-kurangnya satu bidang kepakaran dalam skim perkhidmatan masing-masing.

Demikian menurut Pendaftar UMS, No’man Ahmad dalam Ucapan Sulung beliau kepada kakitangan di Galeri Majlis baru-baru ini.

Menurutnya, kakitangan harus memahami dan mendalami setiap aspek berkaitan bidang tugas masing-masing agar mereka boleh menjadi individu yang berkebolehan untuk dirujuk.

“Mengambil contoh bidang tugas seorang Pegawai Kewangan misalnya, mereka boleh menjadi pakar rujuk dalam bidang seperti penjanaan, pelaburan, perolehan dan sebagainya.

“Sekiranya setiap kakitangan mempunyai subjek kepakaran tersendiri, Insya Allah UMS mampu terus melonjak ke hadapan dengan pantas selari dengan sepuluh lonjakan yang ditekankan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi),” katanya.

Tambah beliau, setiap warga kerja UMS harus melihat fungsi dan tanggung jawab masing-masing di universiti ini, selain sentiasa memasang niat untuk menghasilkan kerja yang baik, serta meningkatkan kredibiliti diri dengan menambah ilmu pengetahuan berkaitan pekerjaan dan pengetahuan am.

Dalam pada itu, No’man menjelaskan bagi memudahkan setiap kakitangan memahami hala tuju dan bergerak seiring bagi memacu kejayaan universiti, beliau memilih perkataan INSAN, iaitu Integriti, Sense (Rasa/Perasaan) dan Needs (Kehendak) sebagai model asas jati diri dan kekuatan dalam memperkukuhkan sumber manusia penggerak universiti.

“Dan setiap INSAN yakni warga kerja universiti perlu memiliki KSA, Iaitu Knowledge (Pengetahuan), Skill (Kemahiran) dan Attitude (Sikap),” ujarnya.

JUMAAT, 4 DISEMBER – Penyelesaian isu-isu wilayah di Asia Timur dan Asia Tenggara perlu hadir menerusi perbincangan berdasarkan penyelidikan akademik mengenai punca-punca konflik.

Demikian menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dalam ucapan alu-aluan beliau sempena Bengkel Antarabangsa Mengenai Resolusi dan Perdamaian Isu-isu Wilayah di Asia Timur dan Asia Tenggara.

“Negara-negara di rantau ini telah berusaha berunding secara bilateral dengan China mengenai isu-isu Laut China Selatan untuk tempoh agak lama.

“Perbincangan ini sangat sukar namun demi manfaat keamanan di rantau ini, ianya harus diteruskan,” katanya.

Ucapan beliau dibacakan oleh Profesor dalam Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Prof. Dr. Kamarulzaman Askandar.

Beliau menambah, perbincangan ini tidak harus berakhir di sini, tetapi perlu diterbitkan dan disebar luas kepada masyarakat khususnya penggubal dasar dan generasi akan datang.

Program lima hari anjuran Program Hubungan Antarabangsa UMS dengan kerjasama Yayasan Sejarah Asia Utara dan Rangkaian Kajian Konflik Asia Tenggara antara lain menyasarkan untuk menganalisis dan memahami perdamaian isu-isu wilayah, berkongsi kes isu wilayah dan maritim yang dialami oleh Korea dan Malaysia, meneliti penyelesaian damai dan menggalak pertukaran akademik antara Asia Timur dan Asia Tenggara.

RABU, 2 DISEMBER – Kerajaan perlu menggubal satu dasar bagi memilih hanya satu atau dua buah universiti awam di Malaysia dan menjadikan universiti tersebut sebagai antara 10 atau 20 universiti terbaik di dunia.

Demikian menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi ketika menyampaikan ucapan sempena Persidangan Majlis Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (MPLPU) di Pacific Sutera, Sutera Harbour, kelmarin.

Jelasnya, jika dilihat negara-negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat, tidak semua universiti yang terdapat di negara berkenaan bertaraf tinggi.

“Apa kata kita pilih satu atau dua universiti awam di Malaysia dan pupuk sehingga ia menjadi yang terbaik.

Selain itu, sesebuah universiti tidak perlu menjadi pakar dalam semua bidang, tetapi hanya memilih satu atau dua bidang sahaja dan terus soaring upwards dalam bidang tersebut,” katanya.

Mengambil contoh Institut Jantung Negara (IJN) yang terkenal dalam kalangan pakar jantung di dunia, negara hanya mempunyai sebuah saja institut jantung dan kerajaan sentiasa menyalurkan sumber kewangan untuk menjadikannya sebuah hospital jantung terbaik.

“Sebaliknya, sekiranya kerajaan menubuhkan tiga hingga empat buah IJN, semestinya kita tidak dapat mencapai hala tuju dan akhirnya satu institut pun tidak mampu melonjak ke hadapan,” ujarnya.

Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Nik Ali Mat Yunus yang mewakili Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Ustaz Razali SaibinRABU, 17 JUN – Umat Islam dinasihatkan agar meninggalkan sebarang perbuatan yang boleh mengurangkan pahala, lebih-lebih lagi ketika dalam bulan suci Ramadan. 

Dalam satu temu bual bersama Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS), Ustaz Razali Saibin berkata adalah rugi bagi seseorang muslim yang berpuasa tetapi tidak meninggalkan perbuatan sia-sia dan tidak berfaedah.

“Pada bulan puasa ini Allah S.W.T menyuruh kita tahan diri...bukan setakat tahan makan dan minum tetapi juga menahan lidah kita daripada berkata sesuatu yang boleh mengguris perasaan orang lain,” ujarnya.

Temu bual tersebut diadakan bagi memberi penjelasan kepada video lakonan yang diterbitkan Bahagian Media dan Citra UMS mengenai kemusykilan tentang hukum berpuasa.  

“Marilah kita jadikan puasa kita ini untuk mendidik diri masing-masing menjadi orang yang bertakwa dan meningkatkan tahap kualiti ibadah kita,” tambah beliau.

Saksikan filem pendek bertajuk ‘Puasa Ni Ari’ sempena kedatangan bulan Ramadan di 
.–ZMD

Bahagian Media dan Citra

landskap 049JUMAAT, 19 JUN –Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaysia Sabah (KEKAUMAS) menyertai Bengkel Pembangunan dan Mesyuarat Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia (GAKUM) baru-baru ini. 

Bengkel yang diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok Kedah itu telah dihadiri Presiden, Setiausaha serta Exco Tertinggi kesatuan bagi tahun 2015/2019 daripada setiap universiti awam di Malaysia.

Menurut Presiden GAKUM, Ku Azmi Ku Ibrahim, bengkel pembangunan GAKUM diadakan adalah untuk mengharmonikan hala tuju bagi mendepani ketelusan perjuangan GAKUM pada masa akan datang.

“Dengan terlaksananya garis panduan dan hala tuju GAKUM, maka akan dapat memudahkan landasan perjuangan Kesatuan di semua IPTA Malaysia kelak,” katanya.

Sementara itu, Presiden KEKAUMAS, Amat Jutrah Haji Musnih berpendapat, sudah sampai masanya GAKUM mengorak langkah yang terbaik dan melihat beberapa landasan yang perlu ada demi mendepani sebarang kemungkinan pada masa akan datang.

Katanya, KEKAUMAS akan bersama-sama GAKUM bagi memperjuangkan hala tuju kesatuan untuk manfaat ahli dan universiti secara keseluruhannya.

Selain Amat Jutrah, perwakilan KEKAUMAS turut diwakili Timbalan Presiden, Abdul Jalil Sapli; Setiausaha, Salmiah Haji Tertib; Penolong Setiausaha, Zubaidah Haji Sainudin dan Lassim Jani selaku exco bagi mengantikan Bendahari kesatuan. –ZMD


Bahagian Media dan Citra
Sumber: Azri Onn