KHAMIS, 10 DISEMBER – Seramai 200 kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini berpeluang mendengar perkongsian inovasi yang disampaikan oleh Innopreneur (Usahawan Inovasi), Robert Yong pada Sesi Perkongsian: Innovator yang dilangsungkan selama sejam di Kompleks Dewan Kuliah Pusat ke-2, UMS.

Menurut Robest, inovasi hebat bermula daripada satu idea mudah dan akan berkembang menjadi satu ciptaan yang memudahkan kepada pengguna.

“Terdapat 4 perkara yang perlu ada bagaimana untuk menghasilkan produk berinovasi yang memudahkan dan menguntungkan,” kata beliau yang mengambil contoh beberapa produk hasil inovasinya yang diterima ramai seperti POLYCLONE Instant Rubber Stamp Machine, MOBIHEAT Portable Water Heater, KAMIKAZE Mosquito Glue, TIME-LOCK Remote Control dan beberapa produk lagi.

Jelas beliau, empat perkara tersebut ialah Imagination, Creativity, Invention dan Innovation yang menjadi asas dalam setiap penciptaan dan inovasi yang dibuat.

Menerusi produk yang diinovasikannya, beliau memproleh banyak anugerah dan pengiktirafan seperti Malaysian Inventor of the Year 1994, National Youth of the Year 1997, pingat emas Malaysia Technology Exhibition 2006, pingat emas London International Invention Fair, UK 1998, pingat perak Inventions Competition in Geneva, Switzerland 1999 dan sebagainya.

Robest dijemput khas untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya dalam industri bersempena dengan Pertandingan Penyelidikan dan Reka Cipta (PEREKA) 2015 yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPI), UMS, yang bermula pada 9 Disember 2015 dan akan berakhir petang ini.-CD

Foto: Ramdan Saleh Nain

KHAMIS, 10 DISEMBER - Program Kem Jalinan 1Malaysia telah berjaya diadakan baru-baru ini bertempat di SMK Inanam, Kota Kinabalu.

Program bertemakan “Sehati Sejiwa” ini telah dianjurkan oleh pelajar kursus kokurikulum INTERIM (Seksyen 1) Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP), Universiti Malaysia Sabah.

Pengarah program, Norsilah Rabiu berkata, program ini bertujuan untuk menerapkan nilai patriotisme serta perpaduan dalam kalangan generasi muda khususnya generasi Z.

“Kita dapat lihat semangat cintakan negara kita semakin pudar dalam kalangan warga Malaysia terutamanya generasi muda. Lebih menyedihkan lagi wujudnya masalah perkauman yang telah menjejaskan perpaduan serta keharmonian negara kita.

“Perkara ini perlu diberi perhatian dari peringkat akar umbi agar perpaduan nasional yang selama ini menjadi kunci kepada kejayaan negara kita dapat disemai semula dan membawa Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih sejahtera dan maju di masa hadapan,” katanya.  

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Inanam, Norhaini Abd Ghani berpendapat bahawa program ini sangat penting dan bermanfaat kerana dapat membentuk jadi diri serta sikap yang positif dalam kalangan generasi muda khususnya para pelajar sekolah.

“Penganjuran aktiviti sebegini mampu menyuntik semangat rasa setiakawan dan sayangkan negara di samping membentuk nilai-nilai positif dalam kalangan pelajar. Kami berharap program sebegini dapat diteruskan lagi demi kebaikan bersama di masa hadapan.”

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program in berlangsung antaranya explorace perpaduan, tayangan video serta persembahan lagu patriotik.

Program ini telah dihadiri seramai 37 pelajar INTERIM berserta jurulatih kursus, Amer Azlan Abdul Jamal serta 160 pelajar SMK Inanam. 

Sumber : PKPP 

Tamat Tempoh
RABU, 09 DISEMBER – Sebagai usaha menilai semula dan membuat penambahbaikan terhadap proses-proses kerja sedia ada, Pusat Pengajian Pascasiswazah (PPPS) mengadakan Retreat  di The Klagan Regency Hotel, 1Borneo, baru-baru ini

Menurut Dekan PPPS, Prof. Datin Dr. Mariam Abd. Latip, retreat itu juga bagi menilai semula sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. 

Katanya, fokus retreat pada kali ini adalah pembentangan projek inovasi kakitangan PPPS yang telah dicadang dan dirancang sejak awal tahun 2015 oleh Timbalan Pendaftar Kanan, Aidah Noordin.

“Pembentangan inovasi kakitangan secara inidividu yang julung kali diadakan di PPPS ini secara tidak langsung akan dapat melatih kakitangan berfikiran secara kreatif bagi menghasilkan inovasi baru dalam kerja mereka.

“Projek inovasi kakitangan ini juga akan diambilkira untuk tujuan penilaian prestasi tahunan oleh Pegawai Penyelia Pertama (PPP) dan Pegawai Penyelia Kedua (PPK),” katanya ketika berucap merasmikan retreat tersebut.

Program tersebut  turut membuat semakan semula ke atas semua borang-borang yang digunakan setiap seksyen dalam PPPS selain melihat penambahbaikan yang perlu dibuat selaras dengan Kaedah Pengajian Pascasiswazah yang baharu diluluskan pada tahun ini.

Ia termasuk usaha untuk merealisasikan hasrat PPPS agar semua borang dapat digunakan secara atas talian  bagi memudahkan capaian pelajar serta pemprosesan dapat dibuat dalam masa yang singkat.

Retreat jabatan tersebut disifatkan sebagai satu lagi anjakan paradigma PPPS dalam memperbaiki kualiti perkhidmatannya sekali gus melahirkan kakitangan yang berinovasi yang memangkin ke arah kecemerlangan universiti. - SS

Sumber : Pusat Pengajian Pascasiswazah

Oleh Che Hasruddin Che Hassan

Foto: Ramdan Saleh Nain

RABU, 09 DISEMBER – Pertandingan Penyelidikan dan Reka Cipta (PEREKA) 2015 kali ini mendapat sebanyak 242 penyertaan daripada ahli akademik Universiti Malaysia Sabah (UMS).

PEREKA 2015 yang dilangsungkan bermula hari ini dan akan berakhir petang esok bertempat di Kompleks Dewan Kuliah Pusat ke-2, UMS menghimpunkan hasil kajian yang dijalankan oleh ahli akademik UMS.

Sebanyak 10 kategori yang dipertandingkan pada kali ini iaitu Educational Aids; Biosciences and Biotechnology; Agriculture, Forestry and Food; Physical Sciences, Environment and Energy; Social Sciences, Humanities, Arts, Educations; Information and Communication Technology; Health and Medical Sciences; Business and Economics; Engineering and Technology dan EcoCampus.

Tinjauan Media UMS pagi tadi mendapati, banyak hasil penyelidikan yang boleh dikomersialkan dan dikongsi untuk kegunaan masyarakat seperti makanan ikan kerapu Garoupalike, tukun tiruan tergantung, alat pengukur warna dalam makanan dan sebagainya.

Untuk melihat banyak produk yang dihasilkan serta mendapat ilmu hasil inovasi dan penyelidikan yang dijalankan ahli akademik UMS, individu, organisasi, pelabur dan peminat dialu-alukan untuk berkunjung ke PEREKA 2015 kerana ia terbuka untuk semua orang.

RABU, 9 DISEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) bersama-sama dengan Unit Penyelidikan Warisan Borneo (BohRU), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Persatuan Penggiat-penggiat Filem Sabah (FILEMS) dan Majlis Profesor Negara (Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya) akan menganjurkan Seminar Industri Kreatif Sabah pada 15 Disember 2015, bertempat di Dewan Resital, UMS bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Dekan FKSW, Profesor Dato’ Mohd. Hamdan Hj Adnan memberitahu, seminar tersebut bertujuan untuk mendedahkan para peserta seminar tentang perkembangan terbaru yang berlaku dalam bidang industri kreatif terutama di Sabah.

Katanya, melalui seminar tersebut para peserta akan dapat menimba ilmu dan pengalaman daripada mereka yang telah lama berkecimpung dalam bidang industri kreatif.

“Antara panel yang dijemput  adalah Ketua Pengarah FINAS, Dato’ Kamil Othman yang akan menyampaikan ceramah berkaitan dengan perfileman dan masyarakat serta Pengarah Ekosistem dan Kandungan Kreatif FINAS, Puan Faridah Jaffar yang akan menerangkan peranan Pitching Centre dan Ekosistem Kandungan Kreatif,” katanya.

Selain itu, seminar tersebut turut menjemput Pengerusi Creative Content Industry Guild (CCIG), Dato’ Jurey Latif Rosli untuk menerangkan kepentingan profesionalisme dalam kalangan penggiat  industri kreatif dan bagaimana CCIG memainkan peranan mereka untuk mengiktiraf kepakaran penggiat industri kreatif.

“Kami juga menjemput Tentera Gulang yang merupakan usahawan yang telah berjaya dalam perniagaan yang berkaitan industri kreatif iaitu percetakan digital. Sebagai usahawan yang bermula dari bawah, pengalaman Tentera yang akan membicarakan explorasi perniagaan dalam industri kreatif ini amat berguna kepada semua para penggiat industri kreatif untuk memulakan perniagaan sendiri,” jelasnya.

Malah, kata Hamdan lagi, pensyarah muzik UMS yang merupakan seorang penyanyi, komposer dan produser tempatan yang aktif dalam menghasilkan album bagi pasaran Sabah iaitu Andrew Poninting atau lebih dikenali sebagai Apai juga akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan berkenaan bidang muzik di Sabah dan cabaran yang dihadapi oleh industri tersebut.

Seminar industri kreatif yang akan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB Senator Datuk Seri Panglima Dr. Mohd. Salleh Tun Said Keruak itu dijangka akan disertai oleh kira-kira 400 peserta yang terdiri daripada para pelajar dan para penggiat industri kreatif di Sabah.

Seminar ini diharap akan menjadi titik mula kepada perkembangan industri kreatif di Sabah sebelum bermulanya tahun 2016 yang diharapkan akan memberi lebih banyak perkembangan positif terhadap kemajuan industri kreatif di Sabah.

Bagi penggiat seni yang berminat untuk mengikuti seminar sehari ini, boleh berhubung dengan Roslinda Petrus (088-320000 samb. 2213) atau Michael (088-320000 samb. 2733).