JUMAAT, 11 DISEMBER – Kejohanan UMS-KPT Taekwondo Fiesta 2015 yang berlangsung selama tiga hari membuka tirainya pada hari ini dan akan menjanjikan saingan sengit antara atlet yang bertanding.

Kejohanan tersebut menyaksikan seramai 117 atlet dari 12 pasukan terdiri daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan kelab Taekwondo tempatan berkampung di Universiti Malaysia Sabah bagi pertandingan dua kategori acara, iaitu Acara Poomsae dan Acara Kyorugi.

Bagi acara Poomsae, pertandingan dibuka kepada kategori umur Bawah 17 Tahun, Bawah 14 Tahun, Bawah 12 Tahun, dan Terbuka IPT bagi Individu Lelaki dan Wanita, Berpasukan Lelaki dan Wanita, serta kategori campuran.

Acara Kyorugi pula terbuka kepada IPT  dengan mempertandingkan lapan kategori iaitu fin weight, fly weight, bantam weight, feather weight, middle weight, welter weight, light weight dan heavy weight.

Kejohanan tersebut dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali yang mewakili Naib Canselor UMS di Dewan Taekwondo, UMS pagi tadi.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata penganjuran kejohanan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi ini mampu mencungkil bakat-bakat muda dalam sukan Taekwondo.

“Kejohanan Taekwondo ini bukan untuk menunjukkan kehebatan berlawan atau bersaing untuk kemenangan semata-mata, tetapi apa yang penting adalah semangat kesukanan yang ditunjukkan sepanjang pertandingan berlangsung.

“Diharapkan para atlet mampu menjadikan kejohanan ini sebagai platform untuk menimba pengalaman serta mencari peluang untuk menjalinkan hubungan persahabatan bersama para atlet yang bertanding,” katanya.

Turut hadir pada acara perasmian Setiausaha Bahagian Sukan IPT, Hazally Jali, dan Pengarah Pusat Sukan UMS, Mohd Asyraaf Fong.-MA-

Gambar oleh: Suzeanywati Gasinin

JUMAAT, 11 DISEMBER - Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS (PPPS) telah menganjurkan Sesi Dialog di antara Pengurusan PPPS dengan para pelajar pascasiswazah bertempat di Auditorium PPPS, baru-baru ini.

Sesi dialog tersebut membolehkan pihak pengurusan PPPS bertemu dengan para pensyarah dan penyelia di semua fakulti, pusat dan institut di UMS yang menawarkan program pengajian di peringkat pascasiswazah serta pelajar pascasiswazah mereka. 

Dalam ucapan perasmiannya, Dekan PPPS, Profesor Datin Dr. Mariam Abd Latip berkata tujuan utama sesi dialog berkenaan diadakan adalah untuk menghebahkan isi kandungan dan penguatkuasaan Kaedah Pengajian Pascasiswazah UMS 2015 kepada para pensyarah, penyelia serta pelajar pascasiswazah.

“Sesi dialog ini merupakan satu wadah kepada para pensyarah, penyelia dan pelajar pascasiswazah untuk mengemukakan sebarang isu, pandangan atau cadangan yang boleh membantu memantapkan lagi kualiti pengurusan dan penyeliaan para pelajar pascasiswazah di UMS demi mencapai hasrat Universiti untuk meningkatkan bilangan pelajar pascasiswazah yang bergraduat tepat pada masanya (GOT),” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) PPPS, Profesor Madya Dr. Patricia Matanjun.

Tambahnya, PPPS juga berharap agar sesi dialog ini akan dapat dimanfaatkan ke arah mengukuhkan lagi kerjasama di antara PPPS dengan fakulti, pusat dan institut yang sedia terjalin.

Pada sesi dialog tersebut, seramai 82 pelajar pascasiswazah hadir dan mengutarakan pelbagai cadangan serta isu yang berkaitan dengan pengajian dan kebajikan, termasuk taklimat berkenaan Kaedah Pengajian Pascasiswazah UMS 2015.

Sumber :  Pusat Pengajian Pascasiswazah

FRIDAY, 11 DECEMBER – A Public Awareness and Education Programme on ‘Sea Turtles in Sabah’ for students from Pusat Minda Lestari UMS was organised by the third year students of Marine Science Course.

The undergraduates were under the supervision of Dr. Pushpalatha M. Palaniappan, lecturer of Biology of Marine Reptiles at the Borneo Marine Research Institute (BMRI).

The programme was held at the Aquarium and Museum of Universiti Malaysia Sabah and involved a total of 20 students from Pusat Minda Lestari (PML), UMS.

According to the programme director, Noor Diani Bambang Dwi Harsono, the programme’s aim was to expose and increase awareness on sea turtles amongst students from PML.  

In addition, it also gave the opportunities to the final year students of Marine Science to build their leadership skills.

The four activities organised were introduction to types of sea turtles, how to measure sea turtle, threats towards sea turtles and how to protect sea turtles. The students were given the opportunity to interact with a live sea turtle.

“In future, we hope that such programme can be held annually with cooperation from the goverment and non-goverment agencies.  

“We also hope to involve more participation from the public,” said Noor Diani.

The curator of Marine Aquarium and Museum of UMS, Flora Anne Asalin, was also present at the event.

Source: BMRI

Photo : Cheong Chah How

KHAMIS, 10 DISEMBER – Seramai 200 kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini berpeluang mendengar perkongsian inovasi yang disampaikan oleh Innopreneur (Usahawan Inovasi), Robert Yong pada Sesi Perkongsian: Innovator yang dilangsungkan selama sejam di Kompleks Dewan Kuliah Pusat ke-2, UMS.

Menurut Robest, inovasi hebat bermula daripada satu idea mudah dan akan berkembang menjadi satu ciptaan yang memudahkan kepada pengguna.

“Terdapat 4 perkara yang perlu ada bagaimana untuk menghasilkan produk berinovasi yang memudahkan dan menguntungkan,” kata beliau yang mengambil contoh beberapa produk hasil inovasinya yang diterima ramai seperti POLYCLONE Instant Rubber Stamp Machine, MOBIHEAT Portable Water Heater, KAMIKAZE Mosquito Glue, TIME-LOCK Remote Control dan beberapa produk lagi.

Jelas beliau, empat perkara tersebut ialah Imagination, Creativity, Invention dan Innovation yang menjadi asas dalam setiap penciptaan dan inovasi yang dibuat.

Menerusi produk yang diinovasikannya, beliau memproleh banyak anugerah dan pengiktirafan seperti Malaysian Inventor of the Year 1994, National Youth of the Year 1997, pingat emas Malaysia Technology Exhibition 2006, pingat emas London International Invention Fair, UK 1998, pingat perak Inventions Competition in Geneva, Switzerland 1999 dan sebagainya.

Robest dijemput khas untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya dalam industri bersempena dengan Pertandingan Penyelidikan dan Reka Cipta (PEREKA) 2015 yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPI), UMS, yang bermula pada 9 Disember 2015 dan akan berakhir petang ini.-CD

Foto: Ramdan Saleh Nain

KHAMIS, 10 DISEMBER - Program Kem Jalinan 1Malaysia telah berjaya diadakan baru-baru ini bertempat di SMK Inanam, Kota Kinabalu.

Program bertemakan “Sehati Sejiwa” ini telah dianjurkan oleh pelajar kursus kokurikulum INTERIM (Seksyen 1) Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP), Universiti Malaysia Sabah.

Pengarah program, Norsilah Rabiu berkata, program ini bertujuan untuk menerapkan nilai patriotisme serta perpaduan dalam kalangan generasi muda khususnya generasi Z.

“Kita dapat lihat semangat cintakan negara kita semakin pudar dalam kalangan warga Malaysia terutamanya generasi muda. Lebih menyedihkan lagi wujudnya masalah perkauman yang telah menjejaskan perpaduan serta keharmonian negara kita.

“Perkara ini perlu diberi perhatian dari peringkat akar umbi agar perpaduan nasional yang selama ini menjadi kunci kepada kejayaan negara kita dapat disemai semula dan membawa Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih sejahtera dan maju di masa hadapan,” katanya.  

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Inanam, Norhaini Abd Ghani berpendapat bahawa program ini sangat penting dan bermanfaat kerana dapat membentuk jadi diri serta sikap yang positif dalam kalangan generasi muda khususnya para pelajar sekolah.

“Penganjuran aktiviti sebegini mampu menyuntik semangat rasa setiakawan dan sayangkan negara di samping membentuk nilai-nilai positif dalam kalangan pelajar. Kami berharap program sebegini dapat diteruskan lagi demi kebaikan bersama di masa hadapan.”

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program in berlangsung antaranya explorace perpaduan, tayangan video serta persembahan lagu patriotik.

Program ini telah dihadiri seramai 37 pelajar INTERIM berserta jurulatih kursus, Amer Azlan Abdul Jamal serta 160 pelajar SMK Inanam. 

Sumber : PKPP