Oleh Salbinous Saribun

Foto: Johaidi Ismail

ISNIN, 23 NOVEMBER - Seramai 5,083 graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraihkan pada Majlis Konvokesyen ke-17 yang berlangsung selama tiga hari sehingga hari ini.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Hj. Juhar Datuk Hj. Mahiruddin yang juga Canselor UMS menyampaikan ijazah kepada 681 graduan pada sidang pertama di Dewan Canselor. 

Sidang kedua menyaksikan seramai 789 graduan telah menerima ijazah daripada Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

Datuk Harun turut menyempurnakan penyampaian ijazah kepada 1,384 graduan pada sidang tiga, 658 (sidang empat) dan masing-masing 762 (sidang lima) dan 809 (sidang enam) pada hari ini.

Konvokesyen kali ini turut menyaksikan mantan Ahli Lembaga Pengarah UMS, Tan Sri Henry Chin Poy Wu dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Sosiologi).

Seorang lagi penerima ijazah kehormat ialah Haji Deddy M. Borhan yang dianugerahkan Sarjana Seni Visual.

 

 

 

JUMAAT, 20 NOVEMBER - Bersempena dengan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-17, Bahagian Keselamatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menutup beberapa jalan utama dalam kampus bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Sistem laluan sehala akan dilaksanakan bermula 21 sehingga 23 November dengan penutupan laluan dari Bulatan Menara Jam menghala ke Fakulti Kejuruteraan serta dari Bulatan Menara Jam sehingga ke simpang Jalan Canselor.

Laluan sehala pula dilaksanakan sepanjang Jalan Samudera (Bulatan Menara Jam menghala ke ODEC) dan Jalan Canselor (simpang dari Jalan Samudera menuju ke Canselori).

Pintu kedua UMS di Jalan Borneo (Jalan Masjid-PALAPES) juga akan dibuka untuk pergerakan trafik yang lancar dan memudahkan pengguna kenderaan keluar dan masuk.

Justeru, para ibu bapa serta warga UMS diingatkan agar mematuhi pelan laluan sehala yang ditetapkan serta menggunakan laluan yang bersesuaian agar tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas khususnya di laluan pintu utama. –SS

JUMAAT, 20 NOVEMBER – Kelab 1Malaysia Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Jelajah Rekonsiliasi 1Malaysia di Kg. Sg. Pukul, Pulau Sebatik, Tawau baru-baru ini.

Program yang memfokuskan bantuan terhadap komuniti yang tinggal di pedalaman ini disertai seramai 25 ahli kelab diketuai Pengarah Program, Riduan Abd. Karim.

Menurut Presiden kelab, Mohd Syazuwan A Rahim, jelajah ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada siswa siswi tentang nilai kesukarelawan dalam memastikan masyarakat yang tinggal di kampung-kampung pedalaman tidak terpinggir dari arus pemodenan dunia.

“Kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan juga dilihat sebagai medium yang berkesan dalam memastikan penglibatan penduduk kampung dan agensi luar dapat membantu memperkukuhkan lagi objektif program ini.

“Inisiatif untuk tinggal bersama keluarga angkat menjadikan program ini lebih menarik dan dekat dengan masyarakat,” jelas Syazuwan.

Tambah Syazuwan, siswa siswi dapat menyelami budaya serta adat resam penduduk kampung dan menjadikan mereka lebih peka dengan cara hidup bermasyarakat di bumi Sabah.

“Jalinan kerjasama antara Majlis Perwakilan Pelajar UMS (MPP UMS) dan Persatuan Mahasiswa Fakulti Psikologi, Pendidikan, Sukan dan Kerja Sosial (PERMAPSS) juga menjadikan program ini lebih berimpak serta memperlihatkan jalinan kerjasama yang utuh dalam organisasi yang wujud di UMS,” katanya.-CD

 

Sumber: Mohd Syazuwan A Rahim, Presiden Kelab 1Malaysia UMS

 

KHAMIS, 19 NOVEMBER - Penerbit UMS sekali lagi mengharumkan nama Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Anugerah Buku Negara 2015 apabila dipilih menerima Anugerah Perdana Penerbit Terbaik (Agensi Kerajaan).

Pemilihan ini dibuat oleh Panel Penilai Profesional Anugerah Buku Negara yang telah dipengerusikan oleh Profesor Datuk Wira Dr Abdul Latif Abu Bakar yang juga merupakan Ketua 1, GAPENA.

Kriteria yang telah diambil kira dalam pemilihan ini antara lainnya termasuk kualiti penerbitan dan jumlah terbitan.

Anugerah Buku Negara dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengembangkan lagi budaya membaca supaya seluruh masyarakat Malaysia sentiasa mendepani maklumat, ilmu dan pengetahuan.

Penganjuran Anugerah Buku Negara ini adalah terbuka kepada semua karyawan, penerbit dan penggiat industri buku untuk diberi pengiktirafan dan insentif sewajarnya. Bagi tahun 2015, lebih dari 30 kategori dipertandingkan.

Majlis penyampaian anugerah akan diadakan pada 26 November 2015 yang akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri,  Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Majlis diadakan bersempena dengan Expo Buku Malaysia pada 25-29 November 2015 di PWTC yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur, GAPENA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perpustakaan Negara Malaysia.

Sumber: Anicius Justin Adeh, Pegawai Penerbitan, Penerbit UMS

Oleh Faezah Mohamad Dun

Foto: Ramdan Saleh Nain

KHAMIS, 19 NOVEMBER - Seramai 42 pegawai Kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) Univesiti Malaysia Sabah (UMS) ditauliahkan pangkat Leftanan Muda pada satu majlis yang berlangsung di Dewan Resital, hari ini.

Pentauliahan tersebut disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Ismail Ali yang juga merupakan Penolong Pesuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam.

Menurut beliau, majlis pentauliahan tersebut antara lain dapat menjadi medan untuk menzahirkan semangat kesukarewalan yang wujud dalam siswa-siswi serta masyarakat yang sedia tampil menyertai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Berdasarkan latihan-latihan yang diberikan, tidat dapat dinafikan bahawa ia dapat membantu pasukan SISPA dalam melatih serta menguji ketahanan mental dan fizikal kadet-kadet SISPA UMS,” ujarnya.

Dr Ismail turut berharap agar kemahiran dan ilmu pertahanan awam seperti kemahiran asas pertolongan cemas, melawan kebakaran, menyelamat teknikal dan lain-lain lagi yang diperolehi oleh siswa-siswi dapat digunakan sepenuhnya untuk membantu masyarakat pada masa hadapan.

Turut hadir, Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sabah, Yang Setia Kolonel (PA), Mulliadi Al-Hamdi Ladin dan Timbalan Komandan Kor SISPA UMS, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA), Dr. Mohamad Nizam Nazarudin.