ISNIN, 30 NOVEMBER - Penerbit UMS sekali lagi mengharumkan nama Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Anugerah Buku Negara (ABN) 2015 apabila merangkul 3 anugerah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penerbit UMS telah dipilih menerima salah satu daripada anugerah utama iaitu Anugerah Perdana Penerbit Terbaik (Agensi Kerajaan).

Dua anugerah lagi yang dimenangi adalah kategori Buku Umum Terbaik (Kategori Peradaban) melalui buku berjudul, “Sejarah Amalan Pengurusan Kewangan dan Perkembangan Praktik Perakaunan di Borneo Utara 1881-1963” yang ditulis oleh Prof. Dr. Rasid Mail, Prof. Madya Dr. Raman Nordin dan Md. Saffie Abdul Rahim.  

Anugerah buku terbaik kedua adalah melalui Buku Umum Terbaik (Kategori Khazanah Warisan) yang berjudul, “Kimanis: Negeri Tua, Tanah Keramat” karya suntingan Baszley Bee Ag. Basrah, Eko Prayitno Joko dan Zainuddin Baco.

Pemilihan ini telah dibuat oleh Panel Penilai Profesional ABN 2015 yang telah dipengerusikan oleh Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latif Abu Bakar, yang juga merupakan Ketua 1, GAPENA.

Kriteria yang telah diambil kira dalam pemilihan ini antara lainnya termasuk kualiti penerbitan dan jumlah terbitan.

Anugerah Utama telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan anugerah bagi kategori lain disampaikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dato’ Seri Mahdzir Khalid. Pengarah Penerbit UMS, Prof. Madya Dr Asmady telah mewakili UMS untuk menerima anugerah tersebut.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, beliau sangat teruja dan berbangga dengan pencapaian cemerlang yang diraih Penerbit UMS pada tahun ini.

“Tahun lalu menang dua anugerah dan tahun ini menang tiga anugerah. Ini membuktikan bahawa UMS menghasilkan bahan-bahan penulisan yang berkualiti tinggi untuk rujukan dan bahan bacaan masyarakat,” kata beliau menerusi laman Facebook yang dimuat naik semasa majlis berlangsung.

“3 trofi yang dimenangi sempena Anugerah Buku Negara 2015 telah menambah koleksi pencapaian UMS dalam bidang penerbitan dan penulisan,” katanya lagi.

ABN 2015 dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengembangkan lagi budaya membaca supaya seluruh masyarakat Malaysia sentiasa mendepani maklumat, ilmu dan pengetahuan.

Penganjuran ABN terbuka kepada semua karyawan, penerbit dan penggiat industri buku untuk diberi pengiktirafan dan insentif sewajarnya.

Untuk tahun 2015, lebih dari 30 kategori telah dipertandingkan.

Majlis ABN ini juga turut diadakan bersempena dengan Ekspo Buku Malaysia yang berlangsung pada 25-29 November 2015 di PWTC yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur, GAPENA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perpustakaan Negara Malaysia. -CD

Sumber: Anicius Justin Adeh, Pegawai Penerbitan, Penerbit UMS

ISNIN, 30 NOVEMBER – Bersempena musim cuti hujung tahun persekolahan, Pusat Islam UMS dengan kerjasama Pusat Zakat Sabah serta Persatuan Kebajikan Islam dan Perubatan Sabah (PERKIPS) menganjurkan Program Khatan Perdana Peringkat UMS baru-baru ini.

Bertempat di Masjid UMS, program tersebut mendapat sambutan hangat daripada anak-anak kakitangan universiti  dan orang awam.

Menurut Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Md. Razali Saibin, seramai 61 kanak-kanak berumur tujuh hingga 14 tahun menyertai program berkenaan.

“Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat khususnya kepada Jawatankuasa Pelaksana Program Khatan Perdana atas kejayaan penganjuran majlis ini dan tidak lupa kepada semua peserta kerana keberanian dan keikhlasan hati mereka dalam menyahut seruan tuntutan Islam,” katanya ketika mewakili Naib Canselor UMS pada majlis perasmian.

Salah seorang peserta termuda, Muhammad Syahmi Md. Suhaimi,7, ketika ditemui wakil media UMS memberitahu beliau sangat teruja dan menyertai khatan perdana tanpa dipaksa.

Pada program tersebut, Pusat Zakat Sabah telah memberi sumbangan RM80 kepada setiap peserta khatan.

Seramai tujuh jurukhatan dari PERKIPS telah terlibat dengan diketuai Tuan Haji Loso Wakiau.

Hadir sama, Pemangku Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Prof. Dr. Zainal Arifin Mustapha. - SM

Foto:  Malik Hanafi Achmad Rofi’ie, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam

JUMAAT, 27 NOVEMBER - Delegasi pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diketuai oleh Ketua Program Pendidikan Dengan Sains Sosial, Dr. Dg Norizah Binti Ag Kiflee @ Dzulkifli telah mengadakan ‘Kajian Lapangan Rentas Sempadan Geografi dan Jalinan Muhibbah Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Brunei Darussalam baru-baru ini.

Kajian dan jalinan muhibbah yang diadakan ini melibatkan pelajar Tahun Tiga Program Pendidikan Dengan Sains Sosial (Major Geografi) Fakulti Psikologi dan Pendidikan seramai 16 orang pelajar dan diiringi oleh seorang pensyarah kanan iaitu Dr. Colonius Atang.

Delegasi tersebut antara lain telah berkunjung ke Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang menyaksikan pertukaran pendapat antara Bahagian Hal Ehwal pelajar UBD dengan pelajar FPP yang diketuai oleh Timbalan Dekan HEPA dan Ketua Unit Pembangunan Aktiviti Luar Pelajar UBD. Antara aspek yang dibincangkan adalah dari segi strategi pengurusan kampus mesra alam, bidang akademik dan cara pembelajaran pelajar di UBD. Selesai perbincangan delegasi dibawa melawat ke Perpustakaan UBD, Kafeteria UBD, Fakulti-fakulti yang terdapat UBD dan Masjid UBD.

Pada hari kedua para peserta delegasi telah melakukan beberapa kajian di Brunei untuk memenuhi keperluan kursus yang diambil. Antaranya adalah kajian Pembandaran yang dilakukan di kawasan perumahan banglo mewah Kg Air “Water Village”, Kajian Pinggir Pantai dijalankan berhampiran Hotel Empire yang merupakan lokasi tumpuan pelancongan termewah di Brunei dan Kajian Pembangunan Bandar di Bandar Seri Begawan.

Hari terakhir delegasi diteruskan dengan melawat ke Muzium Diraja Brunei, Masjid Omar Ali Saifudin, Masjid Jamek 'Asr Hassanah Bolkiah, Jerudong Park, Istana Nurul Iman, Jerudong Mall, Pasar Malam Jerudong dan Agro Technology Park Brunei. Lawatan ini turut dibantu oleh Pelajar Antarabangsa Brunei yang menuntut di UMS.

Program yang berlangsung bermula selama tiga hari telah berjaya mencapai tujuan utama delegasi ini ke Brunei Darussalam.

JUMAAT, 27 NOVEMBER – Pertandingan boling terbuka ‘UMS Singles 10 –Pin Bowling Knock-Out’ telah berjaya menarik banyak penyertaan daripada kakitangan UMS dan orang awam baru-baru ini.

Kejohanan Boling Terbuka anjuran Kelab Boling UMS diadakan di CP Bowling, Kota Kinabalu bersempena dengan sambutan Majlis Konvokesyen UMS kali ke-17.

Menurut Pengerusi Penganjur, Izham Abu Bakar, Pegawai Sains Kanan, Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan, UMS, sebanyak 48 penyertaan telah mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

“Penyertaan amat menggalakkan  itu menunjukkan minat yang mendalam oleh semua peserta yang datangnya dari beberapa daerah di sekitar Kota Kinabalu juga sokongan padu yang diberikan kepada UMS sebagai penganjur kejohanan tersebut”, katanya.

Kejohanan tersebut menyaksikan Azril Fakhree Khainih muncul juara sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000.

Tempat kedua dimenangi Haddy Hussin, manakala Mohd. Ainal Harun muncul pemenang bagi tempat ketiga. Masing-masing membawa pulang hadiah berjumlah RM500 dan RM300 yang disampaikan oleh Izham.

Turut hadir menyaksikan pertandingan, Pengarah Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP), Kamisah Husin. -SM-

Sumber:  Izham Abu Bakar, Pegawai Sains Kanan, IBTP

Oleh Faezah Mohamad Dun

KHAMIS, 26 NOVEMBER - Majlis Anugerah Pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2015 menghargai komitmen para penyelia dan kejayaan pelajar pascasiswazah yang berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang pada tahun ini.

Berucap pada majlis tersebut, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah menasihatkan para siswa siswi agar memastikan pengajian mereka dapat ditamatkan dalam tempoh masa yang ditetapkan bagi mengelakkan pertambahan kos yang ditanggung kerajaan dan universiti serta ketidak lancaran di dalam perancangan sumber tenaga manusia negara.

“Walaupun berdepan dengan keadaan ekonomi yang lebih mencabar, kerajaan tetap meletakkan pendidikan sebagai antara fokus utama pembangunan modal insan dengan memperuntukkan sebanyak 41.3 bilion ringgit pada bajet 2016 untuk tujuan pendidikan.

“Pastinya pengurangan bajet dan keadaan ekonomi yang mencabar kini menuntut kita menerapkan budaya kerja cemerlang kerana hasil usaha kerja yang cemerlang bermakna kualiti kerja yang dihasilkan adalah tinggi nilainya sekaligus meningkatkan kecekapan penggunaan sumber, penjimatan kos dan keberhasilan maksima bagi setiap ringgit yang dibelanjakan oleh universiti,” katanya.

Tambah beliau, sebagai sebuah universiti awam di Malaysia, UMS komited untuk bersama-sama dengan kerajaan merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia Sebagai sebuah hab pendidikan di rantau ini sekaligus mencapai aspirasi memartabatkan pendidikan tinggi negara di peringkat global.

Pada majlis tersebut, seramai 49 pelajar menerima Anugerah Aspirasi Pascasiswazah serta 15 penerima anugerah khas mengikut gugusan masing-masing.

Turut hadir, Pendaftar UMS No’man Datuk Hj. Ahmad dan Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah, Profesor Datin Dr. Mariam Abd Latip.