Oleh Salbinous Saribun

SELASA, 24 NOVEMBER - Dilahirkan separa buta bagi kedua-dua belah mata, Lim Han Chiet, 24, tidak pernah merasa terpinggir sebaliknya menjadikan kekurangan tersebut sebagai pendorong mencipta kejayaan dalam meniti kehidupan mendatang.

Bagi graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu, ujian dihadapi dengan hati yang tenang dan tidak menjadikan kekurangan itu sebagai alasan untuk menghalang mencipta kejayaan dalam bidang pendidikan.

Anak muda dari Sungai Petani, Kedah itu berkata, kekurangan itu dijadikan sebagai cabaran untuk berjaya seperti insan lain seterusnya menjadikan kekurangan itu sebagai motivasi terbaik kepadanya.

"Kekurangan ini menjadikan saya lebih kuat. Saya tidak mahu mengalah dengan kekurangan ini. Saya mahu berjaya seperti mana insan normal yang lain.

"Malah saya mahu menjadi model terbaik buat dua adik yang kini seorang dalam latihan kepolisan dan seorang lagi mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Biarpun berhadapan kesukaran akibat kekurangan fizikal, namun semangat juang sama sekali tidak boleh luntur," katanya yang ditemui dalam Majlis Konvokesyen UMS Kali Ke-17.

Katanya, dia bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah dan menyumbang bakti dalam mendidik masyarakat sekali gus membuktikan kekurangan yang ada pada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) bukan penghalang kepada mereka untuk meraih kejayaan di peringkat tertinggi.

Selain menggunakan kanta pembesar istimewa bagi membantunya menelaah pelajaran, Lim Han Chiet  juga memuat turun perisian yang boleh digunakan untuk 'pembacaan' secara terus.

Oleh Salbinous Saribun

SELASA, 24 NOVEMBER - Sikap suka bertanya menjadi kunci kejayaan Haku Josh Kim Tae Hoo, 46, dari Korea memperoleh kejayaan cemerlang apabila mencatat keputusan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.92.

Katanya, sistem pengajian di UMS yang menggunakan bahasa Malaysia selain bahasa Inggeris membuatkan Haku Josh terpaksa banyak bertanya kepada pensyarah apabila sesi pembelajaran berlangsung.

"Saya berasakan telah menyebabkan pelajar lain berasa jengkel dengan tindakan saya yang suka bertanya dan seolah-olah mengganggu tumpuan pelajar lain yang sedang khusyuk mendengar kuliah pensyarah.

"Sudahlah tua, banyak pula bertanya soalan kepada pensyarah," katanya sambil berjenaka tentang pengalamannya sepanjang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Seni Visual.

Haku Josh berkata, dia sangat bertuah kerana sentiasa mendapat bantuan dan pertolongan sepenuhnya daripada rakan-rakan seperjuangan terutama apabila menyiapkan tugasan yang diberikan.

Ditanya kenapa memilih UMS sebagai destinasi pengajian, beliau memberitahu, pada mulanya dia ke UMS untuk mengajar muzik, namun dicadangkan oleh seorang pensyarah untuk menyambung pengajian dalam bidang seni visual.

Katanya, selain mahu menyahut cadangan pensyarah tersebut, dia juga mengakui sangat meminati bidang seni termasuk menghasilkan lagu buat penyanyi Korea.

Oleh Salbinous Saribun

ISNIN,  23 NOVEMBER: Niat ikhlas mendidik dan mencurah ilmu kepada anak bangsa tetap utuh meskipun mengalami pendarahan otak di bahagian saraf utama akibat penyakit darah tinggi.

Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jackues Mark J. Elip yang merupakan guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Inanam Laut tidak patah semangat untuk terus mengajar biarpun diserang penyakit tersebut ketika sedang memandu pada 7 Ogos lalu dan kini dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU).

Beliau ditemui bersama isteri, kakak dan rakan-rakan selepas menerima ijazah bagi Program Pensiswazahan Guru pada Majlis Konvokesyen UMS Kali Ke-17.

Menurut isteri Jackeus, Slyvia Kee Yin, akibat serangan penyakit tersebut, suaminya berhadapan dengan keterbatasan pergerakan dan sekadar 70 peratus untuk bertutur dengan baik, namun dia sama sekali tidak patah semangat untuk terus mencurah ilmu buat anak bangsa.

“Setelah lebih 11 tahun mengajar, bidang pendidikan tetap di hati. Malah dia tidak bercadang berhenti daripada mengajar atau masuk ke bahagian pentadbiran di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) biarpun berhadapan dengan kesukaran untuk bergerak,” katanya.

Selain mengalami gangguan pergerakan dan kurang fasih dalam pertuturan, guru berusia 35 tahun itu kini terpaksa berkerusi roda.

Oleh Salbinous Saribun

Foto: Johaidi Ismail

ISNIN, 23 NOVEMBER - Seramai 5,083 graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraihkan pada Majlis Konvokesyen ke-17 yang berlangsung selama tiga hari sehingga hari ini.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Hj. Juhar Datuk Hj. Mahiruddin yang juga Canselor UMS menyampaikan ijazah kepada 681 graduan pada sidang pertama di Dewan Canselor. 

Sidang kedua menyaksikan seramai 789 graduan telah menerima ijazah daripada Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

Datuk Harun turut menyempurnakan penyampaian ijazah kepada 1,384 graduan pada sidang tiga, 658 (sidang empat) dan masing-masing 762 (sidang lima) dan 809 (sidang enam) pada hari ini.

Konvokesyen kali ini turut menyaksikan mantan Ahli Lembaga Pengarah UMS, Tan Sri Henry Chin Poy Wu dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Sosiologi).

Seorang lagi penerima ijazah kehormat ialah Haji Deddy M. Borhan yang dianugerahkan Sarjana Seni Visual.

 

 

 

JUMAAT, 20 NOVEMBER - Bersempena dengan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-17, Bahagian Keselamatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menutup beberapa jalan utama dalam kampus bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Sistem laluan sehala akan dilaksanakan bermula 21 sehingga 23 November dengan penutupan laluan dari Bulatan Menara Jam menghala ke Fakulti Kejuruteraan serta dari Bulatan Menara Jam sehingga ke simpang Jalan Canselor.

Laluan sehala pula dilaksanakan sepanjang Jalan Samudera (Bulatan Menara Jam menghala ke ODEC) dan Jalan Canselor (simpang dari Jalan Samudera menuju ke Canselori).

Pintu kedua UMS di Jalan Borneo (Jalan Masjid-PALAPES) juga akan dibuka untuk pergerakan trafik yang lancar dan memudahkan pengguna kenderaan keluar dan masuk.

Justeru, para ibu bapa serta warga UMS diingatkan agar mematuhi pelan laluan sehala yang ditetapkan serta menggunakan laluan yang bersesuaian agar tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas khususnya di laluan pintu utama. –SS