Hampir 200 pengamal pendidikan awal kanak-kanak di seluruh Malaysia menyertai Konvensyen Kebangsaan Asuhan dan Didikan Kanak-kanak TASKA 2023 yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Konvensyen selama dua hari itu dianjurkan Persatuan Perkhidmatan TASKA Sabah (PPTS) dengan kerjasama Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bertemakan “Kesihatan dan Kesejahteraan untuk Setiap Kanak-kanak”, konvensyen yang julung kalinya diadakan di Malaysia itu menyediakan pelbagai pengisian seperti ucaptama, ceramah, pameran, sesi plenari, dan forum.

Dekan FPP UMS, Prof. Dr. Murnizam Hj. Halik berkata, konvensyen tersebut menjadi platform bagi para pengusaha, penyelia, pendidik, dan pengasuh TASKA serta TADIKA menimba ilmu dan mengembangkan kemahiran berkaitan asuhan dan didikan awal kanak-kanak.

“Selain itu, ia juga bertujuan memberi ruang dan peluang kepada semua peserta untuk mengecap pengetahuan terkini dalam bidang asuhan dan didikan awal kanak-kanak.

“Saya percaya bahawa melalui perkongsian ilmu dan pengalaman, kita dapat meningkatkan kualiti asuhan dan didikan awal kanak-kanak di negara kita,” katanya.

Menurut Dr. Murnizam, konvensyen itu juga merupakan medan para peserta untuk berinteraksi, saling bertukar pendapat, dan berkongsi pengalaman berkaitan asuhan dan didikan awal kanak-kanak.

“Melalui diskusi dan perbincangan ini, ia dapat mewujudkan idea-idea baharu, pemikiran inovatif dan kreatif, dan perspektif baharu dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

“Ini akan membantu untuk mempersiapkan diri dan mengadaptasi pendekatan yang sesuai untuk memenuhi keperluan masa kini dan masa depan kanak-kanak,” jelasnya.

Majlis perasmian konvensyen berkenaan disempurnakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KPMKR), merangkap Presiden Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS), Datuk James Ratib.

Menurut James, program berkaitan asuhan dan didikan di TASKA akan terus diberi perhatian dan sokongan, termasuk bagi kanak-kanak berkeperluan khas terutamanya kanak-kanak autisme.

“Program saringan, intervensi, dan aktivti sokongan awal bagi kanak-kanak autisme perlu bermula dari awal lagi termasuklah semasa mereka berada di TASKA,” katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan program pembangunan insan dan menyuarakan harapan agar ia akan bertambah maju seiring perjuangan KPMKR dan dalam gagasan MPMS.

Terdahulu Pengerusi Bersama, Dr. Juppri Bacotang menjelaskan, penganjuran konvensyen itu melibatkan kolaboratif antara ahli akademik, penyelidik, pengusaha, pendidik, pengasuh, dan pengamal dari pelbagai institusi.

 

“Antara pengisian utama konvensyen ini ialah dua sesi plenari yang membincangkan topik keselamatan dan kesihatan, dan kesejahteraan dan kebajikan.

 

“Ini dapat menjelaskan pendekatan baharu dalam asuhan dan didikan awal kanak-kanak yang menjurus kepada kualiti komprehensif dan amalan terbaik untuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak yang holistik.

 

“Kesemua yang mengambil bahagian turut saling berkongsi pengetahuan, pengalaman dan hasil penyelidikan yang terkini berkaitan asuhan dan didikan kanak-kanak TASKA.

 

“Semoga dengan adanya penganjuran konvensyen sebegini dapat memberi kebaikan dan ilmu yang bermanfaat kepada semua pihak yang terlibat, dan seterusnya dapat memartabatkan lagi kualiti pendidikan awal kanak-kanak khususnya bagi kanak-kanak TASKA di Malaysia,” katanya.

 

ANKARA, TURKIYE: Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menandatangani Surat Niat (LoI) dengan Social Sciences University of Ankara (SSUA) dalam satu majlis yang berlangsung di kampus SSUA di sini, baru-baru ini.

PPIB UMS diwakili Dekan, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng, manakala SSUA diwakili Pengarah Institute for Area Studies (IAS), Prof. Dr. Enver Arpa.

Menurut Dr. Lai Yew Meng, pemeteraian LoI itu merupakan salah satu usaha ke arah memperkasakan agenda pengantarabangsaan bagi PPIB dan UMS secara keseluruhannya.

“Adalah diharapkan LoI akan mempelopori kolaborasi bersama pihak SSUA yang merupakan antara universiti awam tersohor di Turkiye khususnya dalam bidang sains sosial.

“Kedua-dua pihak juga berharap agar LoI ini menjadi batu loncatan ke arah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada masa terdekat,” katanya.

Sementara itu Dr. Enver memaklumkan, pemeterian LoI berkenaan sebagai antara usaha ke arah penerokaan kerjasama dalam aspek akademik dan penyelidikan.

“UMS merupakan universiti awam pertama di Malaysia yang menandatangani LoI dengan Institute of Area Studies (IAS), SSUA.

“Dengan adanya kerjasama sebegini, diharapkan hubungan Malaysia-Turkiye dapat diperkasakan secara berterusan,” katanya.

Untuk rekod, Dr. Lai Yew Meng melawat SSUA atas jemputan IAS di bawah Erasmus+ KA 107 International Mobility Program. Turut hadir, Timbalan Dekan Pascasiswazah dan Hubungan Antarabangsa PPIB, Dr. Priscilla Shak yang juga peserta program mobiliti Erasmus+.

Hadir sama, Ketua Jabatan Pengajian Asia, Prof. Madya Dr. Hatice Celik; Penyelaras Erasmus+ KA 107 International Mobility Program, Dr. Yusuf Avci; Profesor Madya Dr. Hadiye Unsal dari Faculty of Theology, dan Mustafa Yasir Kurt.

 

Pusat Pengurusan Orang Kurang Upaya (OKU), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyantuni kira-kira 90 pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Inanam dengan menganjurkan pelbagai aktiviti, baru-baru ini.

Pengarah Pusat Pengurusan OKU UMS Dr. Zaiton Mohamad berkata, program itu antara lain bertujuan memberi peluang kepada mahasiswa OKU UMS berkongsi ilmu pengetahuan dan memberi motivasi kepada pelajar-pelajar OKU di SMK Inanam.

“Selain itu, melalui program sebegini dapat mengasah bakat kepimpinan dalam kalangan mahasiswa OKU UMS untuk berorganisasi dengan baik.

“Di samping itu, ia juga bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar OKU dari aliran Pendidikan Khas untuk berinteraksi dengan mahasiswa OKU melalui aktiviti play therapy iaitu bermain sambil belajar dan berkomunikasi serta menguatkan psikomotor,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Inanam, Paul Gindong berkata penganjuran program itu telah memberi kesan yang positif kepada pelajar-pelajar pendidikan khas yang terlibat.

“Dengan adanya program ini, mereka dapat meningkatkan keupayaan dan kemahiran diri, serta merasakan sokongan dan pengiktirafan dari komuniti.

“Diharapkan program-program sebegini akan dapat diteruskan agar para pelajar pendidikan khas merasai lebih perhatian daripada komuniti serta berpeluang untuk berkembang dan mencapai potensi mereka sepenuhnya,” katanya.

Antara aktiviti yang diadakan termasuklah slot bimbingan penjagaan kesihatan diri yang disampaikan oleh pelajar program pascasiswazah UMS yang juga merupakan pelajar OKU, Dr. Mazlianah Mazlan.

Hadir sama, Presiden Kelab Mahasiswa OKU UMS, Muhammad Danish Dahalan dan Presiden Kelab Buddies UMS, Afif Shaugi Ibrahim.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan kunjungan rasmi ke pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, baru baru ini.

Kunjungan hormat tersebut telah disambut Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas bersama pegawai-pegawai KPDN.

Ketua Delegasi UMS yang juga Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP), Prof. Madya Dr. Jidon A. Janaun berkata, kedua-dua pihak membincangkan peluang kolaborasi yang boleh diwujudkan dalam mengembangkan produk-produk inovasi UMS yang dapat membantu perdagangan dan kos sara hidup masyarakat.

Selain itu katanya, kerjasama dalam mengadakan program memupuk kesedaran hak-hak pengguna dalam kalangan pelajar dan masyarakat turut dipersetujui.

“KPDN menyambut baik usaha UMS untuk menghasilkan produk-produk inovasi yang berguna kepada masyarakat dan sentiasa memberikan sokongan padu dalam usaha membantu kos sara hidup pengguna.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada KPDN atas sokongan dan kerjasama yang diberikan. Sudah tentu kolaborasi UMS dan KPDN ini akan memberi impak positif kepada masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada kunjungan itu, delegasi UMS disertai Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP), Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM), Pusat Kelestarian Libatsama Industri (PKLI), Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Fakulti Perhutanan Tropika (FPT), Syarikat Pelaburan UMS Uinvest dan PPIP.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) bersama-sama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menjayakan program Kebun Bandar bersama Komuniti Taman Kuala Manggatal, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, inisiatif bersama ini antara lain adalah bagi memasyarakatkan agensi seperti DBKK dalam kalangan penduduk bandar, selain mengeratkan ukhuwah bersama komuniti setempat.

“Usaha ini juga adalah bagi memberi dorongan dan bantuan ke arah meningkatkan produktiviti sumber makanan dalam masyarakat sebagai menyokong aspek keterjaminan makanan.

“Untuk itu, DBKK bersedia untuk memberi bantuan dari segi melihat kesesuaian tempat, memberi nasihat teknikal, serta menyediakan sumber-sumber yang diperlukan seperti peralatan kebun, biji benih, dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan program “Urban Garden: Colours of the Land” di Masjid Al-Ikhwan, Taman Kuala Menggatal.

Beliau turut memaklumkan, komuniti Taman Kuala Menggatal merupakan komuniti kesembilan program seumpama itu diadakan oleh pihak DBKK, yang sebelum ini turut diadakan bersama komuniti di kawasan sekitar Sembulan, Tanjung Aru dan Likas.

Sementara itu, pelajar Sarjana Kesihatan Awam FPSK, Dr. Norsyahidah Md.Taib yang merupakan pengarah Program Kebun Bandar memberitahu, program tersebut merupakan penganjuran kali ketiga oleh fakulti tersebut.

“Program ini dilihat memberi impak yang positif pada penduduk bandar kerana bukan sahaja dapat meningkatkan keterjaminan makanan di kawasan tertentu, tetapi juga menggalakkan usaha masyarakat untuk mendapatkan nutrisi yang seimbang melalui penanaman sayur-sayuran.

“Justeru, UMS akan terus bekerjasama dengan erat bersama pihak DBKK bagi penganjuran program serupa bersama komuniti di kawasan lain,” ujar beliau.

Bersempena acara tersebut, turut berlangsung Ceramah HPV dan Saringan HPV oleh pegawai perubatan dari Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Saringan Kesihatan dan Pameran Makanan Sihat oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Demonstrasi Makanan, Pertandingan Mewarna, dan Ceramah Nutrisi oleh Dr. Woon Fui Chee dari FPSK.

Hadir sama pada acara tersebut Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree; Ketua Jabatan Perubatan Kesihatan Awam FPSK UMS, Datuk Dr. Yusof Hj. Ibrahim; Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr. Prabakaran Solomon A/L Dhanaraj; dan Pengerusi Masjid Al-Ikhwan Taman Kuala Manggatal, Sulaiman Liman.