Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Sandakan mengadakan program Latihan Kawad Pengungsian Bangunan dan Memadam Kebakaran di Kolej Kediaman Lestari UMS di sini, baru-baru ini.

Timbalan Pengetua Kolej Lestari, Borhan Abdul Haya @ Yahya berkata, program itu antara lain bertujuan sebagai latihan awal kepada semua penghuni kolej kediaman sekiranya berlaku kecemasan dan kebakaran.

“Selain itu, program ini bertujuan sebagai memenuhi keperluan pelaksanaan latihan kebakaran di kolej kediaman sesuai saranan dalam pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

“Di samping itu, ia juga bagi mengenalpasti sebarang ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dalam persediaan menghadapi bencana atau sebarang bentuk kecemasan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Borhan, kira-kira 230 penghuni kolej kediaman terlibat dalam program tersebut yang merangkumi pelajar Blok A, Blok B dan Blok C.

“Terima kasih kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Sandakan yang telah membantu menjayakan program ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada semua jawatankuasa lain yang terlibat iaitu Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kolej Kediaman Lestari, Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) Fakulti Pertanian Lestari (FPL), Bahagian Keselamatan UMS Sandakan, Klinik Rawatan Warga FPL, Felo Kolej Lestari, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Kolej Kediaman KKLS (JAKMAS) dan syarikat Teamcons Sdn. Bhd.

“Program ini bukanlah yang terakhir dianjurkan malah akan ada banyak program berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan akan diadakan pada masa hadapan,” katanya.

Pada majlis itu, Borhan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Penyelia Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Sandakan, Chauslim Sunsubin.

Hadir sama, Ketua Bahagian Keselamatan UMS Sandakan, Alnadine Barri; Penolong Jurutera Kanan UMS Sandakan, Addy Laminit; dan Presiden JAKMAS Kolej Kediaman Lestari Sandakan, Charles Rayner.

 

 

 

Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat – Majlis Wilayah Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Bank Rakyat telah mengadakan Majlis Pelancaran Projek Asnafpreneur Bank Rakyat, di Menara UMSKAL, baru-baru ini.

Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal berkata kerjasama tersebut dapat memberi manfaat kepada para usahawan asnaf di sekitar Labuan yang berpotensi untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Katanya, bimbingan dan pantauan khas kepada para usahawan akan dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah FKAL yang mempunyai kepakaran dan pengalaman mengendalikan projek-projek keusahawanan bersama industri.

“Saya mewakili pihak pengurusan tertinggi UMS berasa amat berbesar hati dengan kerjasama ini yang dilihat berjaya mewujudkan hubungan sinergi di antara PPZ-MAIWP, Bank Rakyat dan UMSKAL.

“Pada kesempatan ini, FKAL ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada PPZ-MAIWP atas sumbangan tajaan makanan untuk 400 pelajar asnaf di samping sumbangan bank makanan kepada kolej kediaman UMSKAL,” tambahnya.

Dalam majlis sama, turut diadakan Pelancaran Program Jihad Pendidikan @ UMSKAL yang bertujuan memperluas dakwah zakat dalam kalangan pelajar dan pekerja insititusi pendidikan tinggi.

Melalui program ini juga PPZ-MAIWP melalui dana wakalah menyampaikan sumbangan kewangan kepada pelajar asnaf UMSKAL dan Food Bank UMSKAL dengan jumlah masing-masing RM14,000 dan RM10,000, menjadikan sumbagan keseluruhan adalah berjumlah RM24,000.

Majlis perasmian Projek Asnafpreneur tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat, Ustaz Mohd Zamerey Abdul Razak manakala Jihad Pendidikan dirasmikan oleh Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.

 

 

Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional Universiti Malaysia Sabah (PPUMS) meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan 2023 bersama ahli-ahlinya, baru-baru ini.

Presiden PPUMS, Alna Tugon berkata penganjuran tersebut bertujuan merapatkan lagi jalinan silaturahim sedia ada di antara ahli di samping berkongsi keterujaan menyambut Hari Raya dan Pesta Kaamatan tahun ini.

“Seramai 120 ahli PPUMS hadir memeriahkan sambutan hari ini. Kita harap dengan adanya penganjuran seperti ini akan menambahkan lagi jalinan akrab dalam kalangan ahli.

“Pada kesempatan ini, saya mengajak semua rakan-rakan ahli PPUMS agar sentiasa saling membantu dan berlapang dada dalam setiap teguran dan nasihat yang diterima demi mengangkat profesion kepegawaian,” ujarnya.

Tambah Alna, PPUMS sentiasa komited untuk membudayakan majlis yang memuafakatkan kolaborasi di antara ahli dan Majlis Tertinggi UMS seperti yang telah dianjurkan.

“Langkah ini untuk memastikan ekosistem pengurusan sentiasa harmoni untuk memacu pentadbiran universiti yang gemilang,” tambahnya dalam satu kenyataan.

PPUMS merupakan sebuah persatuan kakitangan UMS yang mula ditubuhkan pada tahun 2004.

Majlis sambutan tersebut telah dirasmikan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor bertempat di Dewan Bankuasi UMS.

“Tahniah diucapkan kepada semua ahli PPUMS atas komitmen para exco yang telah mencurahkan bakti dalam memperjuangkan isu untuk dikemukakan kepada pengurusan tertinggi universiti.

“Saya berharap semangat berpersatuan dalam PPUMS ini dapat teruskan agar segala aktivti yang dirancang oleh persatuan ini dapat disertai oleh semua ahli pada masa akan datang,” ujar Kasim.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Pertanian Lestari (FPL) Kampus Sandakan telah mengadakan jalinan kerjasama strategik bersama Fakulti Pertanian, Universitas Muhammadiyah Makassar (Unismuh), Sulawesi, Indonesia.

Kerjasama antara kedua-dua universiti itu meliputi pelbagai bidang termasuklah penyelidikan, persidangan, penerbitan dan mobiliti.

Kerjasama tersebut dimeterai dalam satu acara menandatangani Surat Niat (LoI) di antara kedua-dua pihak di Unismuh bersempena dengan program lawatan rombongan UMS ke universiti-universiti di Indonesia, baru-baru ini.

Menurut Dekan FPL, Prof. Madya Dr. Azwan Awang, kerjasama tersebut adalah sebahagian daripada agenda FPL untuk menjalin hubungan bersama rakan strategik di sekitar rantau berhampiran dengan Sabah.

“Ini juga selari dengan visi FPL iaitu menjadi sebuah pusat pengajian ilmu pertanian terkemuka di rantau ini yang menekankan kepada prinsip kelestarian, kepekaan, dan teknologi tinggi,” katanya.

Azwan turut memaklumkan, seramai 11 pelajar terlibat dalam Program Mobiliti UMS-Unismuh yang diiringi oleh dua orang pensyarah FPL iaitu, Prof. Madya Dr. Nurul Huda dan Dr. Siti Suliza Salamat.

“Selain acara menandatangani LoI dan mobilti pelajar, kedua - dua fakulti turut bersama menjayakan seminar bertajuk ‘Enhancing Sustainable Agriculturure for Food Security Challenges’.

“Program ini juga telah melibatkan aktiviti khidmat masyarakat kepada komuniti sebuah kampung di Makassar berkaitan penyediaan kompos dan pengurusan perosak tanaman cendawan tiram,” tambah beliau.

Program lawatan selama tiga hari itu turut disertai oleh Timbalan Dekan Pengurusan Ladang Hubungan Industri FPL, Prof. Madya Dr. Jupikely James Silip; Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar FPL, Dr. Mohd. Rakib Mohd. Rashid; dan Pensyarah Kanan FPL, Dr. Ilmas Abdurofi selaku penyelaras program.

Rombongan FPL UMS turut mengadakan lawatan kerja ke Fakulti Pertanian Universitas Borneo Tarakan (UBT) di Tarakan, Kalimantan, Indonesia.

 

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universitas Diponegoro (UNDIP), Semarang, Indonesia telah memeterai satu perjanjian kerjasama penyelidikan berkaitan bidang masyarakat maritim di Asia Tenggara.

Pemeteraian kerjasama tersebut disempurnakan dalam satu acara menandatangani dokumen perjanjian antara kedua-dua pihak di bangunan Fakulti Ilmu Budaya, UNDIP.

Perjanjian kerjasama antara kedua-dua universiti ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj Sarbatly yang mewakili UMS, dan Dekan Fakulti Kemanusiaan UNDIP, Dr. Norhayati M. Hum.

Sesi pertukaran dokumen perjanjian penyelidikan turut disempurnakan oleh Rosalam dan Wakil Rektor (Penyelidikan dan Inovasi) UNDIP, Prof Dr. Ambariyanto.

Rosalam dalam satu kenyataan berkata, kerjasama kajian kelautan begitu signifikan dengan mengambil kira kepentingan agenda kelautan kepada kepulauan Asia Tenggara dan dunia pada masa kini.

“Skop penyelidikan berkaitan kelautan adalah sejajar dengan kedaulatan Malaysia memandangkan wilayah Sabah dikelilingi oleh laut-laut yang dihuni oleh komuniti nomad, dan menjadi kawasan tuntutan bertindih antara negara-negara yang bersempadan dengan wilayah ini.

“Kerjasama penyelidikan ini akan dipimpin oleh Prof. Dr. Ismail Ali yang juga merupakan pengkaji sejarah maritim dari UMS, dan Prof. Dr. Singgih Tri Sulistiyono yang juga pengkaji sejarah dari UNDIP,” katanya.

Selain pemeteraian  perjanjian kolaborasi penyelidikan, turut berlangsung acara menandatangani Surat Niat (LoI) antara kedua-dua pihak bagi potensi kerjasama lain, serta ucaptama oleh Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, Prof. Madya Dr. Asmady Idris, dan sesi seminar akademik yang disertai oleh pensyarah dari UMS dan UNDIP.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Hj Mansor telah menyatakan sokongan terhadap usaha penyelidikan menerusi jaringan antarabangsa sebagaimana kerjasama antara UMS dan UNDIP tersebut.

Katanya, kajian secara bersama akan lebih merancakkan penerbitan bersama, pertukaran kakitangan akademik dan pelajar, penganjuran persidangan dan sebagainya.

Delegasi UMS ke UNDIP turut disertai oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FSSK, Dr. Syahruddin Awang; Ketua Program Sejarah FSSK, Dr. Eko Prayitno Joko; dan beberapa  pensyarah yang terlibat dalam pembentangan kertas kerja dalam seminar akademik di universiti tersebut.