Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalin kerjasama dengan Gamalux Oils Sdn Bhd bagi menjalankan penyelidikan bahan buangan kelapa sawit yang dikenali sebagai De-Oiled Bleaching Earth (DOBE).

Menurut Dekan FKJ, Profesor Madya Dr. Ismail Saad, kerjasama melalui satu surat niat oleh kedua-dua pihak itu akan mengkaji dan meneroka kegunaan DOBE dalam sektor pembinaan.

Katanya, kajian awal yang dijalankan oleh penyelidik FKJ menunjukkan DOBE mempunyai potensi untuk digunakan sebagai bahan dalam penstabilan tanah dan bahan untuk menghasilkan konkrit.

“Penggunaan DOBE sebagai bahan di dalam industri pembinaan dipercayai mampu mengurangkan sisa bahan buangan DOBE yang dihasilkan dalam pengeluaran minyak kelapa sawit dan juga memberikan impak yang positif kepada persekitaran.

“Walau bagaimanapun, penyelidikan lanjut perlu dilakukan untuk memahami implikasi penggunaan DOBE dalam penstabilan tanah dan penghasilan konkrit bagi memastikan konkrit yang dihasilkan memenuhi tahap piawai yang ditetapkan,” ujarnya.

Tambah Ismail, ketika ini FKJ secara aktif sedang menjalankan penyelidikan melibatkan bahan buangan seperti plastik, tayar dan kaca untuk digunakan sebagai bahan dalam penghasilan bata paver block.

“FKJ juga telah menubuhkan unit penyelidikan yang dinamakan Unit Penyelidikan Bahan Hijau dan Teknologi Pembinaan Termaju (GMACT) yang banyak menumpukan kajian berkaitan bahan hijau untuk digunakan dalam industri pembinaan,” katanya.

Pada majlis menandatangani surat niat itu FKJ diwakili Ismail dan Gamalux Oils diwakili oleh Ketua Fasiliti Kilang, James Thiruchelvam.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah, Benedict Bisono; Ketua Bahagian Kelestarian, Persekitaran Pelabuhan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) Sabah, Aaron F. Sualim serta Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FKJ, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamaruddin Abd Hamid.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjalinkan kerjasama bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bagi memperkasa bidang penterjemahan dan penyuntingan antara kedua-dua pihak.

Jalinan kerjasama tersebut dimeterai dalam satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kedua-dua pihak yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat, UMS.

UMS diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor menandatangani dokumen MoU tersebut, sambil disaksikan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.

ITBM pula diwakili oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Sakri Abdullah dan disaksikan Pengurus Pembangunan Perniagaan ITBM, Nor Azanizan Anawar.

Kasim dalam ucapannya sempena majlis tersebut memaklumkan, MoU itu antara lain bertujuan meningkatkan bilangan penterjemah dan penyunting bertauliah dalam kalangan kakitangan akademik UMS.

“Kerjasama ini juga adalah bagi mengetengahkan UMS sebagai salah satu hab khidmat terjemahan dan suntingan berkualiti di Sabah khasnya dan Malaysia amnya.

“Selain itu, kedua-dua pihak juga komited untuk memperkenalkan bidang dan kebolehan terjemahan dan suntingan sebagai satu kerjaya yang boleh dipercayai, berpotensi dan mampu memberi nilai tambah,” katanya.

Menurutnya lagi, UMS dan ITBM bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam tiga perkara.

“UMS dan ITBM akan menganjurkan Bengkel Penterjemahan dan Penyuntingan untuk kakitangan akademik UMS bagi memperluaskan bilangan penterjemah bertauliah di UMS, selain membangunkan dan mempromosikan UMS sebagai ITBM East Malay Hub termasuk penyediaan logistik dan khidmat kepakaran oleh ITBM.

“Perkara ketiga ialah dari aspek penerbitan buku, iaitu memberi pendedahan, latihan dan peluang kepada warga UMS untuk menerbitkan buku tanpa kerumitan proses penerbitan dan masalah kos,” kata Kasim.

Beliau menambah, pelbagai impak positif mampu terhasil daripada MoU UMS-ITBM tersebut.

"Skop kerjasama yang menyeluruh ini bakal memberi impak yang positif dalam kemenjadian

UMS sebagai salah satu hab khidmat terjemahan dan suntingan berkualiti dan secara tidak langsung membawa kepada peningkatan keterlihatan dan prestij universiti.

"MoU ini juga bakal mengeratkan hubungan antara UMS dengan ITBM agar dapat saling membantu dan berkongsi ilmu dalam menjayakan program-program yang dikenal pasti,” ujar beliau

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Md. Salleh; Penasihat Undang-undang UMS, Awang Suhaizam Bongsu; Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng; dan Eksekutif Kanan Komunikasi dan Perhubungan Awam ITBM, Norzaiti Abd Talib

 

Klinik Pergigian Alawa, Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) sedia untuk menampung keperluan perkhidmatan pergigian bukan hanya kepada warga kakitangan dan pelajar UMS sahaja, tetapi turut diperluaskan kepada orang awam.

Pengarah HUMS, Prof. Dr. Helen Benedict Lasimbang berkata, ini selepas dua unit bilik pergigian di Pusat Rawatan Warga (PRW) UMS sebelum ini telah dinaik taraf untuk menjadi sebuah Klinik Pergigian yang merupakan salah satu dari Projek Pembangunan HUMS di bawah peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Katanya, rawatan pergigian yang mula diperkenalkan pada tahun 2007 di PRW sebelum ini hanya menawarkan rawatan asas seperti cabutan gigi dan scaling kepada pesakit dalam kalangan warga kakitangan dan pelajar UMS sahaja kerana fasiliti yang kurang lengkap dan ruang yang sempit.

“Ruangan yang sempit pada ketika itu telah dinaik taraf ke ruangan yang lebih luas dan mempunyai fasiliti yang lebih canggih sebelum ini, dan sudah pun memadai untuk diperluas penggunaannya kepada orang awam.

“Salah satu faktor perluasan perkhidmatan ini adalah bagi mencapai dan mengangkat nilai tanggungjawab sosial korporat dan nilai kemanusiaan, kerana semua golongan tidak mengira umur, bangsa, agama, kakitangan atau bukan kakitangan UMS berhak untuk menerima perkhidmatan kesihatan yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis perasmian klinik tersebut di PRW yang disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

Helen turut memaklumkan, pada masa ini hanya tiga bilik surgeri dilengkapkan dengan kemudahan kerusi pergigian yang selesa, dan HUMS akan menambah dua unit lagi kerusi pergigian bagi melengkapkan kelima-lima bilik surgeri tersebut agar lebih ramai pesakit dapat dirawat dalam satu masa.

“Dalam masa yang sama, makmal pergigian turut dibangunkan untuk mewujudkan perkhidmatan pembuatan gigi palsu (fleksibel atau acrylic), sports mouthguard atau nightguard, dan Removeable Orthodontic Appliance.

“Di samping itu, perkhidmatan X-Ray pergigian iaitu OPG, Lateral Cephalogram dan IOPA turut disediakan pada harga yang amat berpatutan,” katanya.

Sementara itu, Kasim dalam ucapan perasmiannya berharap dengan wujudnya Klinik Pergigian Alawa HUMS, objektif dan matlamat sebenar penubuhannya dapat dijalankan dengan baik.

“Kita mahu dengar maklum balas pesakit yang datang menceritakan perkhidmatan yang terbaik dengan harga yang sangat perpatutan di klinik ini.

“Harapan saya Klinik Pergigian Alawa dapat memberikan manfaat kepada semua pihak, sementara kualiti dan mutu perkhidmatan yang diberikan perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa.

“Begitu juga dengan kepelbagaian perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan dan disediakan di HUMS diharap mampu menampung keperluan dan tuntutan semasa,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Bendahari UMS, Badrul Hisham Ismail; Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Md. Salleh; dan Penasihat Undang-undang UMS, Awang Suhaizam Bongsu.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang menumpukan usaha membangun pengajian tinggi memfokuskan bidang pengajian Islam.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, UMS dan USIM bersetuju untuk mengadakan kolaborasi dalam bidang berkaitan akademik, penyelidikan, pertukaran pelajar dan juga staf antara kedua-dua institusi serta projek-projek berkaitan.

Katanya, kerjasama tersebut akan diterajui oleh Fakulti Pengajian Islam (FIS) UMS sebagai salah satu usaha memperkasakan graduan fakulti berkenaan.

“Saya berasa sangat bertuah kerana UMS dan USIM sekali lagi secara rasminya akan melebarkan lagi jaringan kerjasama dalam pelbagai aspek sepertimana yang wujud dalam kertas kerja perbincangan MoU di antara UMS dan USIM.

“Dalam perutusan tahun baharu dan 100 hari saya sebagai Naib Canselor, saya telah memperkenalkan slogan “Leading Towards Innovative Societies.” Slogan ini amat signifikan dan berpandangan jauh serta mendasari visi universiti untuk menjadi universiti berinovatif di peringkat global selari dengan motto universiti iaitu Bertekad Cemerlang.

“Justeru, diharap dengan kerjasama MoU antara UMS dan USIM, kedua-dua universiti ini dapat bertindak sebagai peneraju kepada masyarakat berinovatif,” ujarnya.

Tambah Kasim, kerjasama itu juga selaras dengan visi dan misi USIM dalam mengaplikasi pendekatan seimbang antara aspek jasmani dan rohani, dan menerapkan pendekatan holistik ke arah penyampaian ilmu, yang mengintegrasikan ilmu wahyu (Naqli) dan ilmu yang dituntut (Aqli).

“Kerjasama ini juga memberi ruang kepada UMS untuk menambah program sedia ada dan menjadikan USIM sebagai salah satu rujukan program akademik berkaitan pengajian Islam,” katanya.

 FIS UMS akan menawarkan dua program baharu iaitu Syariah dan Usuluddin bagi menambah program pengajian sedia ada dalam melahirkan graduan yang memenuhi permintaan kerjaya semasa.

Pada majlis menandatangani MoU tersebut, UMS diwakili Kasim dan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, manakala USIM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dan Pendaftar USIM, Dato’ Mohammad Haizuan Rozali.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil pendekatan memperkasa ekosistem penyelidikan dan inovasi dengan memperkenalkan kluster penyelidikan dan inovasi.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, inisiatif tersebut merupakan satu pendekatan strategik universiti dalam meningkatkan keterampilan UMS dalam kecemerlangan penyelidikan dan inovasi.

“Empat kluster yang ditubuhkan ini ialah Kluster Kejuruteraan dan Teknologi; Kluster Alam Sekitar dan Sains Gunaan; Kluster Perubatan dan Sains Hayat; dan Kluster Seni, Sains Sosial dan Kemanusiaan.

“Penubuhan kluster ini adalah berdasarkan kepada kekuatan kepakaran UMS yang terdapat di dalam universiti agar penyelidikan dan inovasi yang berjalan adalah bersifat komprehensif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pelancaran Dasar dan Dana Kluster Penyelidikan UMS di Auditorium Galeri Azman Hashim, pagi tadi.

Kasim menambah, melalui kluster penyelidikan dan inovasi tersebut, UMS diyakini mampu meningkatkan kualiti penyelidikan dan inovasi serta menambah keupayaan universiti dalam menjalankan aktiviti- aktiviti penyelidikan yang lebih berkesan dan menyeluruh.

“Justeru, saya menyeru agar semua pihak untuk terus memberikan sokongan kepada ekosistem penyelidikan dan inovasi UMS.

“Kita perlu bekerjasama dalam memastikan penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan oleh para penyelidik kita serta kolaborasi dengan institusi- institusi penyelidikan lain dapat diaplikasikan secara meluas bagi membawa manfaat kepada masyarakat dan negara,” kata Kasim.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly memberitahu, kluster penyelidikan dan inovasi menekankan tiga ciri utama melalui aktiviti yang dirancang dan dijalankan.

“Antaranya perancangan hala tuju penyelidikan dan inovasi yang menyeluruh namun berfokus mengikut konteks setempat, dengan perhatian diberikan kepada permasalahan dalam negeri sabah dan negara.

“Selain itu, kecemerlangan penyelidikan dan inovasi perlu seiring dengan platform penarafan kebangsaan dan antarabangsa seperti MyRA dan QS ranking.

“Hasil penyelidikan dan inovasi juga ditingkatkan meliputi pelbagai disiplin melalui jaringan kerjasama pelbagai entiti yang memberi impak kepada masyarakat,” katanya.

Ujar Rosalam, sekiranya dasar tersebut dilaksanakan dengan baik, UMS bukan sahaja mampu menghasilkan hasil penyelidikan berimpak yang berguna untuk masyarakat sekeliling, malah turut mampu memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan negara, khususnya negeri Sabah.

Pada majlis tersebut, Kasim turut menyampaikan watikah pelantikan kepada pengerusi bagi empat kluster penyelidikan dan inovasi.

Mereka adalah Pengerusi Kluster Kejuruteraan dan Teknologi, Prof. Madya Dr. Abu Zahrim Yaser; Pengerusi Kluster Alam Sekitar dan Sains Gunaan, Prof. Dr. Abdul Hamid Ahmad; Pengerusi Kluster Perubatan dan Sains Hayat, Prof. Ts. Dr. Zainul Amiruddin Zakaria; dan Pengerusi Kluster Seni, Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof. Madya Dr. Hanudin Amin

Hadir sama pada majlis tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Ketua Pustakawan UMS, Md Sazali Md Salleh; dan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Jumat Sulaiman.