JUMAAT, 13 MAC – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui UPPsiKS telah mengadakan kolaborasi bagi membentuk satu Modul Interaktif Perkahwinan Kanak-Kanak (MIPK): Tangani Perkahwinan Kanak-Kanak sebagai usaha untuk membendung isu perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak

Bagi mengukuhkan lagi pelaksanaan modul itu kelak, satu Bengkel Pemurnian Modul Interaktif Tangani Perkahwinan Kanak-Kanak Versi Sekolah Rendah anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA) diadakan di Wisma Wanita, Kota Kinabalu.

Bengkel yang diketuai Ketua UPPsiKS, Profesor Madya Dr. Muhammad Idris Bin Bullare @ Haji Bahari adalah inisiatif pihak JHEWA yang dibelenggu kebimbangan mengenai isu perkahwinan yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak terutamanya di negeri Sabah.

Bengkel tersebut antara lain melihat adalah untuk melihat sama ada modul tersebut sesuai untuk diguna pakai dalam program-program anjuran JHEWA.

Menurut Dr. Muhammad Idris, modul yang bakal dibentuk itu sangat berguna kepada ibu bapa, guru sekolah, pemimpin masyarakat, badan kerajaan dan bukan kerajaan serta komuniti dan boleh disampaikan melalui pelbagai saluran seperti ceramah, perbincangan, pentadbiran soal selidik dan juga melalui pembelajaran melalui pengalaman.

“Objektif modul ini sangat penting kerana dapat memberi panduan kepada fasilitator iaitu kaunselor, guru bimbingan dan kaunseling tentang cara mengendalikan sesi dan aktiviti dalam MIPK.

“Selain itu, modul ini juga dapat memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada kanak-kanak, ibu bapa, penjaga, masyarakat mengenai isu perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak terutamanya di negeri Sabah yang masih berleluasa,” katanya.

Tambah beliau, kanak-kanak adalah golongan yang perlu diberikan perhatian, namun perhatian yang mereka inginkan bukan berbentuk paksaan dan perkahwinan bukanlah caranya.

“Oleh yang demikian, semua pihak perlu berganding bahu menangani masalah perkahwinan kanak-kanak dan menyedari bahawa isu perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak tidak sepatutnya berlaku,” ujar Dr. Muhammad Idris.

KHAMIS, 12 MAC - U-Science yang diwujudkan di bawah Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menggiatkan pelbagai aktiviti bagi menggalakkan minat pelajar sama ada dari peringkat pra sekolah, Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Menengah Atas dan tertiari terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, U-Science merupakan pusat perkhidmatan STEM setempat dan Hub STEM di UMS kepada pelbagai peringkat sekolah.

“U-Science dipertanggungjawabkan untuk menggalakkan minat pelajar terhadap STEM, sekali gus menggalakkan kreativiti dan inovasi dalam bidang STEM bagi menyediakan lebih ramai murid yang berkelayakan dapat meneruskan pengajian di peringkat tertiari dalam bidang Sains dan Teknologi serta memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam industri bagi memacu ekonomi Malaysia.

“Ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk memacu pembangunan ekonomi negara yang berlandaskan Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Pra-Pelancaran U-Science dan Program STEM4ALL@UMS, Peringkat UMS di Ruang Megalab, Perpustakaan UMS.

Prof. Datuk Taufiq turut memaklumkan, U-Science menganjurkan Program STEM4ALL@UMS  dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Pusat STEM Negara, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Planetarium Negara, Pusat Citra, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Pusat Sains Negara dengan tujuan untuk sebaran, kesedaran pendidikan, pembudayaan dan pemerkasaan STEM kepada sasaran peserta yang terdiri daripada warga & pelajar UMS, pelajar & guru sekolah sekitar Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang dan Papar, pelajar universiti dan kolej swasta serta institut perguruan di Sabah.

“Saya dimaklumkan lebih 31 penyertaan dari agensi luar dan dalaman UMS serta pihak industri dari pelbagai bidang seperti Marine , Terrestrial Biodivisity, Robotics, Astronomy, Coding, Kejuruteraan, Bioteknologi , Food Science, Aviation, Gamification in education dan banyak lagi terlibat dalam program sepanjang dua hari ini.

“Lebih 50 orang pelajar juga terlibat di dalam pembangunan pengetahuan sebagai fasilitator dan pempamer yang datang dari pendidikan sains dan sains sosial, dan saya lihat ini akan menggalakkan pemantapan di dalam pembudayaan STEM di UMS,” kata Prof. Datuk Taufiq.

Beliau turut berharap agar pelbagai program STEM sedemikian akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kefahaman, minat dan sebaran maklumat berkaitan dunia STEM yang sangat sinonim dalam kehidupan seharian manusia serta perkembangan arus kehidupan manusia sejagat.

Pada majlis tersebut, Prof. Datuk Taufiq turut meluangkan masa menyampaikan ceramah bertajuk ‘Sains dan Teknologi Dalam Kehidupan Manusia’ dalam program Bicara Saintis.

Hadir sama pada program tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr. Raman Noordin; Ketua Pustakawan merangkap Penasihat Program STEM4ALL@UMS, Zawawi Tiyunin; Pengarah Pusat STEM Negara, Dr. Ihsan Ismail; Pengarah Pusat Sains Negara, Mismah Jimbun; dan Pengarah Planetarium Negara, Anita Bahari.

KHAMIS, 12 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan mula menawarkan Program Asasi Agrisains dan Asasi Teknologi Maklumat, dengan pengambilan kumpulan pelajar pertama akan bermula pada Jun tahun ini.

Kedua-dua program tersebut yang akan dilaksanakan di Pusat Asasi Sains di kampus UMS Kota Kinabalu direka bentuk khusus bukan sahaja kepada pelajar yang mengambil bidang sains malah turut membuka peluang kepada pelajar dari aliran bukan sains, pelajar-pelajar dari kumpulan B40 serta yang berada di pedalaman negeri Sabah untuk memohon.

Perkara tersebut dinyatakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr Rasid Mail ketika mengetuai rombongan UMS mengadakan kunjungan rasmi ke pejabat Pengarah Pembangunan Pendidikan Yayasan Sabah, Bahiwata Sayangan Hj Mulia di Tingkat 7, Menara Tun Mustapha.

Menurut Prof. Dr Rasid, ini adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri Sabah dalam usaha meningkatkan lebih ramai tenaga pakar dan usahawan muda yang boleh menyumbang kepada sektor pertanian, perhutanan, agrikultur dan teknologi maklumat.

“Program Asasi Agrisains adalah ‘feeder’ kepada program-program akademik yang berteraskan pertanian, perhutanan dan akuakultur di Fakulti Pertanian Lestari (FPL) dan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) di UMS.

“Program ini secara langsung dapat memenuhi aspirasi kerajaan negeri menyediakan tenaga pakar yang berpengetahuan dalam memacu bidang pertanian dan meneruskan pelaksanaan dasar pengurusan hutan mapan serta pelan pembangunan industri dalam meningkatkan keupayaan ekonomi negeri Sabah,” kata Prof.  Rasid.

Program Asasi Teknologi Maklumat pula katanya adalah sebagai  ‘feeder’ kepada program-program akademik yang berteraskan Teknologi Maklumat dan Sains Komputer di Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), yang secara langsung bakal memenuhi kuota pelajar kemasukan UMS seperti yang digariskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi memandangkan terdapat penurunan bilangan pelajar yang berminat dalam bidang berkenaan.

“Sejajar dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0, program ini bakal memberi impak yang sangat positif kepada kebolehpasaran graduan.

“Program Asasi Agrisains dilaksanakan secara sepenuh masa dalam tempoh dua tahun yang merangkumi kaedah konvensional iaitu sesi kuliah, tutorial dan praktikal, pembelajaran teradun, pembelajaran berasaskan masalah dan juga latihan praktikum.

“Manakala, Program Asasi Teknologi Maklumat dilaksanakan dalam tempoh satu tahun merangkumi kaedah kuliah, tutorial, kerja makmal, dan pengkomputeran,” jelas Prof. Rasid.

Dalam pada itu, Prof. Rasid memaklumkan kunjungan rombongan UMS ke Bahagian Pembangunan Pendidikan Yayasan Sabah adalah salah satu usaha pihak UMS untuk mendapatkan tajaan daripada pihak-pihak berkaitan untuk para pelajar yang berkelayakan yang bakal memasuki program asasi itu kelak.

Turut serta dalam rombongan UMS ialah Pengarah Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Sazmal Effendi Arshad; Pengarah Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf, Dr. Rafiq Idris; Timbalan Pengarah PPST,  Dr. Sitty Nur Syafa Bakri; dan Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat, Dr. Jakaria Dasan.

WEDNESDAY, 11 MAC - UMS Team bagged the 1st Runner Up at the Huawei ICT Competition Malaysia Final 2019-2020 in Kuala Lumpur, recently (5 Mac 2020).

Top Three winners Liew Chun Khai, Lim Tze Min and Zachary Benjamin Goh Yu Liang from the preliminary state of Huawei ICT Competition that held on 12 -13 December 2019 were selected to follow the Malaysia Final preparation Training that led by a senior lecturer from UMS Faculty of Computing and Informatics, Dr Tan Soo Fun. 

According to Dr Tan Soo Fun, the final leg of the Malaysia Final journey brought seven team finalists to Kuala Lumpur, who included 21 students from the seven universities, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaya (UMS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Sains Malaysia (USM), Taylor's University and Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR). 

“The competition, launched in November last year, aimed to nurture local ICT talents and develop the next generation of ICT leaders in Malaysia. 

“It aims also to promote the national ICT competitiveness, innovation and creativity, a staple to build a knowledge-based economy,” she said in a statement here, today. 

Dr Tan Soo Fun said UMS also received the Outstanding Achievement Award of Huawei ICT Academy Malaysia, which was presented by the Vice President of Huawei Malaysia, Mr David Li.

“This award is to recognise UMS outstanding performance in ICT talents development. 

"The award was received by the Dean of UMS Faculty of Computing and Informatics, Prof Dr Abdullah Gani,” she said.

SELASA, 10 MAC - Kebajikan para pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) daripada keluarga berpendpatan B40 akan terus terpelihara.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Dr. Yap Yun Hin berkata UMS telah melaksanakan beberapa program bagi membantu pelajar agar tidak terbeban ketika masih melanjutkan pelajaran.

“Alhamdulillah UMS telah memulakan program ‘Food Bank Siswa’ sejak tahun lalu dan mendapat kerjasama yang baik daripada agensi luar.

“Sebagaimana yang kita maklum, makanan adalah sumber fisiologi yang diperlukan oleh setiap organisme yang hidup. Sebagai manusia kita memerlukan makanan untuk sumber tenaga agar dapat melaksanakan ibadah dan aktiviti seharian.

“’Food Bank’ di Universiti merupakan wadah terbaik buat masa ini untuk menyalurkan sumbangan makanan kepada para pelajar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Advokasi Kepenggunaan dalam Kalangan Pelajar B40 2019-2020 Zon Sabah di UMS, baru-baru ini.

Tambah beliau, ‘Food Bank’ bukan sahaja dapat mengurangkan kos sara hidup malah mengurangkan beban pelajar agar dapat fokus kepada pembelajaran.

“Selain itu juga, ia dapat memberikan pendedahan kepada pelajar kepada pengurusan organisasi dan memupuk semangat kesukarelawan,” katanya.

Pada program tersebut, para pelajar B40 turut berkesempatan mendengar ceramah berkenaan literasi maklumat yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Suhaila Jaffar.

Program Advokasi Kepenggunaan dalam Kalangan Pelajar B40 2019-2020 Zon Sabah dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin dan Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Prof. Madya Dr. Sabariah Sharif.