ISNIN, 9 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) merangkul tempat pertama dalam Pertandingan Malam Citra Bayu (MCB) ke-13 yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, baru-baru ini.

UMS yang diwakili oleh 19 pelajar daripada Kelab Kebudayaan UMS itu turut merangkul tiga anugerah utama iaitu Koreografi Terbaik, Busana Terbaik dan Penari Lelaki Terbaik yang dimenangi oleh Jay Adner.

Menurut pegawai pengiring, Norain Abd Razak, kemenangan tersebut merupakan usaha gigih pasukan UMS yang mengidamkan gelaran johan selepas tewas di tempat kedua pada tahun lalu.

“Pada tahun lepas, UMS mendapat tempat kedua dan anugerah Penari Wanita Terbaik. Alhamdulillah pada tahun ini kita berjaya mendapat tempat pertama dengan nama karya Meruked Mawa, sebuah tarian etnik dari suku kaum Lundayeh Sipitang hasil koreografi Quenner Mitchell Pauzi ,” ujarnya.

UMS menerima wang tunai RM2,000, trofi, cenderahati dan sijil selepas menewaskan peserta-peserta lain, antaranya daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

ISNIN, 9 MAC - Karnival Jom Masuk IPT 2020 (JMIPT) Zon Sabah menerima sambutan positif apabila ribuan pelajar dari semua peringkat hadir untuk melihat sendiri pakej-pakej pengajian ditawarkan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, acara berkenaan adalah program tahunan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang melibatkan lapan lokasi seluruh negara.

"Terdapat empat objektif utama penganjuran ini, antaranya ialah mempromosi menyebarluaskan maklumat mengenai program pengajian sedia ada serta program baharu ditawarkan universiti awam, institut pendidikan guru, politeknik, Kolej Komuniti dan banyak lagi.

"Ia juga untuk mendidik kesedaran dalam kalangan pemohon untuk memohon menerusi aplikasi UPUOnline," katanya ketika merasmikan Karnival Jom Masuk IPT 2020 (JMIPT) Zon Sabah, pada Sabtu.

Beliau  berkata, modal insan berkualiti tinggi perlu dilahirkan bagi memenuhi atau bergerak selari dengan Revolusi Industri Ke-4 (Industri 4.0).

Katanya, teknologi robotik, objek rangkaian (IOT), kepintaran buatan (AI), data analitik, pemprosesan imej, perisian, sistem komunikasi mudah alih dan banyak lagi antara elemen baharu mengambil alih fungsi pekerjaan serta sistem sedia ada.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Prof Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, kehadiran ramai pelajar dalam pameran pendidikan itu adalah sesuatu yang positif.

"Untuk jam pertama sahaja, kita menerima seramai 4,000 pengunjung datang ke pameran ini bagi melihat peluang para pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"JMIPT dilihat telah berjaya menjadi program berimpak tinggi kepada pelajar serta masyarkat keseluruhannya," katanya.

Menurutnya, KPM telah membuka permohonan kemasukan ke Universiti Awam dan institusi berkaitan melalui UPUOnline mula pada 24 Februari 2020 sehingga 31 Mac depan (lepasan SPM) dan 7 April (lepasan STPM/setaraf).

Sumber: Utusan Borneo

 

JUMAAT, 6 MAC - Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS) telah menganjurkan program “Workshop on Structural Equation Modeling (SEM-AMOS) Level 1” di Bilik Mesyuarat Abdul Halim, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Program dua hari itu telah disampaikan oleh Profesor Dr. Zainudin Awang, professor dalam bidang statistik dan kuantitatif di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menurut Ketua UPPsiKS, Profesor Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Haji Bahari, program itui sangat penting kepada para peserta kerana dapat memberikan gambaran yang jelas kepada mereka tentang cara yang terbaik untuk menganalisis data kajian mereka.

“Menganalisis data penyelidikan bukanlah sesuatu yang mudah namun kehadiran peserta dalam bengkel ini akan membuka minda mereka bahawa penggunaan SEM-AMOS dalam penyelidikan akan memudahkan mereka membuat penyelidikan dan membolehkan para peserta menguji dan menghasilkan model yang mereka inginkan.

“Oleh itu, para peserta perlu menggunakan kesempatan ini dengan sebaik mungkin untuk mendalami ilmu tentang SEM-AMOS yang semakin popular dalam kalangan ahli akademik,” ujar Dr. Muhammad Idris.

Selain pelajar prasiswazah dan pascasiswazah UMS, pelajar luar serta beberapa penysrah turut menyertai bengkel tersebut bagi menambahkan lagi pengetahuan yang sedia ada.

 

KHAMIS, 5 MAC - Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan golongan minoriti yang ingin disedari kehadiran mereka dalam kalangan masyarakat.

Demikian menurut Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Hj Bahari ketika memberi ulasan buku 'Kebahagiaan Dari Perspektif Orang Kurang Upaya' dalam satu program di Ruang Megalab, Perpustakaan UMS baru-baru ini.

Bercerita lanjut tentang pengalaman beliau berdepan dengan golongan OKU, golongan ini katanya memerlukan sokongan daripada semua pihak untuk mereka meneruskan kehidupan.

“Bukanlah simpati yang mereka inginkan, sebaliknya hanya sokongan dan mereka mahukan penglibatan secara langsung dalam kalangan masyarakat.

“Jika disingkap sisi kehidupan OKU, kehidupan mereka tidak seindah orang lain kerana keterbatasan mereka, namun perkara tersebut tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Ujar Dr. Muhammad Idris, hakikatnya golongan OKU juga mampu berjaya dan mengorak langkah dengan lebih jauh seandainya diberikan peluang dan juga sokongan dalam pelbagai aspek.

Buku 'Kebahagiaan Dari Perspektif Orang Kurang Upaya' boleh didapati di Kedai Buku Penerbit UMS di Bangunan Anjung Siswa, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS. 

RABU, 4 MAC - Budaya perkahwinan pada usia kanak-kanak perlu ditangani dan dihapuskan dalam kalangan masyarakat masa kini.

Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS), Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Bahari menjelaskan, ilmu dan pengetahuan mengenai perkahwinan kanak-kanak perlu disampaikan kepada golongan usia muda dan juga kepada ibu bapa kerana kanak-kanak sepatutnya berada di bangku sekolah dan bukannya menjadi isteri pada usia yang muda.

“Ibu bapa perlu diberikan kesedaran tentang perkara ini kerana umum mengetahui bahawa perkahwinan kanak-kanak banyak berlaku dalam kalangan masyarakat terutamanya mereka yang berada di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah dalam Program Kesedaran Tangani Perkahwinan Kanak-Kanak anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA) baru-baru ini.

Dalam pada itu, JHEWA telah merangka program dengan melawat sekolah-sekolah yang berada di kawasan luar bandar untuk memberikan pendedahan kepada kanak-kanak dan ibu bapa tentang perkahwinan kanak-kanak.

Program ini telah diadakan di dua lokasi iaitu SMK Matupang Jaya, Ranau yang dihadiri oleh 600 orang pelajar dan ibu bapa, dan SMK Tambunan yang dihadiri oleh 500 orang pelajar dan ibu bapa.

Kedua-dua program ini telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, Norazlinah Arif.