KHAMIS, 18 JUN - Susulan masalah lambakan hasil tomato ekoran pandemik COVID-19 yang menjejaskan ekonomi masyarakat setempat, sekumpulan pakar pelbagai bidang disiplin dari Universiti Malaysia Sabah telah melaksanakan intervensi teknologi dengan mengadakan demonstrasi pemprosesan, pembotolan dan pembungkusan produk tomato baru-baru ini.

Kumpulan pakar yang terdiri daripada pakar teknologi makanan dari Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Dr Mansoor Abdul Hamid; pakar kearifan tempatan dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Dr Jurry Foo; dan pakar pemakanan dan penyelaras AgriSolutions, Dr Yasmin Ooi melakukan intervensi teknologi di Kundasang Guesthouse sebagai langkah pertama dalam menyelesaikan isu lambakan hasil tomato tersebut.

Menurut Dr. Yasmin Ooi, AgriSolutions adalah gabungan multi disiplin dari UMS yang memikirkan dan membuat intervensi penyelesaian bagi isu-isu berkaitan pertanian dan makanan, dari kebun ke pinggan. 

“Justeru, pelaksanaan program ini adalah salah satu usaha UMS khususnya yang bertujuan memberi bimbingan kepada petani tomato di Kundasang tentang bagaimana untuk memproses dan menyimpan hasil tomato sebagai langkah mengatasi masalah lambakan hasil tersebut.

“Demonstrasi sehari ini adalah permulaan, dan dijangka lebih banyak intervensi yang akan dilakukan pada masa akan datang bagi membantu para pekebun di sini,” katanya.

Dr. Yasmin Ooi turut menjelaskan, prosedur keselamatan yang bersesuaian sentiasa dipatuhi sepanjang program ini, dengan bilangan peserta dihadkan bersesuaian dengan keluasan lokasi agar penjarakan fizikal sosial dapat diamalkan. 

“Selain merekodkan kehadiran dan suhu badan peserta dan fasilitator, prosedur operasi standard baharu dari UMS turut dipatuhi, dan setiap peserta juga telah melengkapkan borang persetujuan penglibatan program,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Jurry Foo berkata pemprosesan sos dan pes tomato bukan sahaja dapat membantu mengatasi masalah lambakan tomato, tetapi turut memberikan nilai tambah kepada hasil tomato petani di Kundasang.

“Ucapan terima kasih kepada penyelaras program, Japiril Suhaimin yang memberikan undangan kepada pihak UMS untuk melaksanakan inisiatif intervensi teknologi di sini,” kata Dr. Jurry Foo.

Japiril Suhaimin yang mewakili sekumpulan petani tomato di Kundasang turut merakamkan penghargaan kepada pihak UMS dalam menjayakan usaha pertama intervensi teknologi di daerah Kundasang.

“Sememangnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, pekebun sayur di Kundasang menghadapi masalah dalam menjual hasil pertanian mereka.

“Justeru, bantuan seumpama ini adalah sangat dihargai demi memastikan kelangsungan ekonomi penduduk tempatan,” ujar beliau.

Demonstrasi pemprosesan sos dan pes tomato dikendalikan oleh Dr Mansoor Abd Hamid, dan dibantu oleh dua orang pembantu makmal yang berpengalaman dalam demonstrasi pemprosesan makanan dari FSMP, iaitu Fritzgerald Andrew Dayang Janiah Abd. Sami. 

Semua prosedur berkaitan kawalan kualiti dan keselamatan produk turut ditunjukkan dan dipraktikkan oleh peserta. 

Peserta juga berpeluang mencuba beberapa resipi untuk sos tomato, dan setelah dihasilkan, produk diuji rasa untuk mengenal pasti formulasi yang paling sesuai dengan cita rasa pengguna tempatan.  

RABU, 18 MAC - Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS) telah menganjurkan bengkel “Mastering Research Level 1” baru-baru ini di Bilik Mesyuarat Abdul Halim Othman, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurut Ketua UPPsiKS, Profesor Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Haji Bahari, bengkel tersebut diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada para pelajar serta pensyarah untuk mendalami ilmu penyelidikan dan juga menambah pengetahuan dalam bidang ini.

“Ini kerana setiap penyelidikan yang dilakukan perlu melalui beberapa proses yang tertentu.

“Bengkel ini juga sebagai persediaan kepada pelajar prasiswazah apabila mereka menceburi bidang penyelidikan dan menjadi asas dalam penyelidikan,” katanya.

Bengkel yang disertai oleh 30 orang peserta yang terdiri daripada pelajar pascasiswazah dan prasiswazah UMS dan luar UMS serta pensyarah UMS dikendalikan oleh professor dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Dr. Zainudin Awang

 

SELASA, 17 MAC – Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Majlis Perjumpaan Pendaftar Bersama Ibu Bapa, Penjaga Murid/Kanak-Kanak, baru-baru ini.

Majlis tersebut merupakan acara tahunan PML sebagai medan pertemuan dan interaksi ibu bapa, penjaga murid/kanak-kanak PML dengan Pendaftar, guru-guru dan pihak pengurusan PML.

Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof berkata majlis tersebut merupakan satu platform untuk semua pihak berkaitan mengetahui isu-isu semasa berkenaan pendidikan awal kanak-kanak di PML.

Selain itu beliau turut mengajak para kakitangan untuk mengambil kemudahan taska PML untuk dijadikan pilihan sebagai tempat asuhan anak-anak mereka.

“Saya ingin menasihatkan kepada kakitangan universiti agar mengambil peluang dan  bersyukur dengan kemudahan taska di UMS kerana bukan semua universiti mempunyai taman asuhan/didikan mereka sendiri,” ujarnya.

Vina turut menyeru para ibu bapa dan penjaga kanak-kanak PML untuk sentiasa mengamalkan kebersihan dan kesihatan diri dan juga ahli keluarga.

“Selari dengan isu semasa berkenaan penyakit berjangkit, Coronavirus atau COVID-19 yang kian merebak, adalah penting untuk semua orang mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi sebagai langkah perlindungan mencegah jangkitan.

“Pihak universiti telah mengambil beberapa inisiatif bagi memberi kesedaran dan berkongsi tips pencegahan serta kawalan kepada warga universiti melalui taklimat serta hebahan dalam bentuk poster mengenai penyakit berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, usaha PML mengadakan forum berkaitan penjagaan kesihatan dan perkembangan kanak-kanak dalam majlis tersebut adalah sangat bertepatan pada masanya.

Forum penjagaan kesihatan itu dibicarakan oleh Pakar Kanak-kanak Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Prof. Dr. Kew Seih Teck; Timbalan Pengarah Penerbit UMS Dr. Yasmin Ooi Beng Hui dan Pengarah Pusat Kesihatan UMS, Dr. Muhammad Syafiq Bin Abdullah.

Pada majlis tersebut, PML turut melancarkan “Program Nutrition In Community Engagement (NICE) iaitu program yang dijalankan oleh Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan untuk kanak-kanak PML serta Penyerahan Fail Kesihatan Murid/Kanak-Kanak PML iaitu kerjasama dengan Pusat Kesihatan Universiti (PKU). 

Antara aktiviti dalam majlis ini adalah Tarian Cuci Tangan yang dijayakan oleh murid-murid tadika, Pusat Minda Lestari sebagai simbolik kepada amalan menjaga kebersihan.

Selain itu, ibu bapa turut diberi taklimat mengenai Peraturan Pusat Minda Lestari yang disampaikan oleh Penolong Pendaftar Kanan PML, En. Faddili Kasin. 

Majlis turut dijayakan dengan kerjasama pihak Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yang membuat Pameran Kesihatan serta pihak Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu yang mengadakan kempen menderma darah.

 

ISNIN, 16 MAC – Pelajar sekolah disaran untuk berusaha mengenal pasti potensi diri lebih awal bagi membantu mereka menentukan bidang yang mereka akan ceburi kelak.

Menurut Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS), Profesor Madya Dr. Mohammad Idris Bullare @ Haji Bahari, amat penting bagi pelajar untuk mengenal pasti personaliti diri mereka agar dapat mengetahui bidang yang ingin mereka ceburi kelak.

“Melalui personaliti, pelajar akan dapat mengetahui tentang minat dan bakat yang terdapat dalam diri mereka.

“Mengenal pasti diri dan potensi diri menjadi kayu ukur dan panduan kepada pelajar dan juga kepada sesiapa sahaja untuk menentukan hala tuju hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk “Personality and Career Talk” sempena Program Cuti Sekolah Pelajar Tajaan Yayasan Sabah 2020 yang mengangkat tema “Leading the Future Leader” yang diadakan di Mesindung Homestay, Papar.

Pada akhir program tersebut, Dr. Muhammad Idris turut serta menjayakan Majlis Penutupan Program Cuti Sekolah: Pelajar Pertukaran Sabah/Sarawak dan Penempatan Pelajar Luar Bandar ke Bandar.

JUMAAT, 13 MAC – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui UPPsiKS telah mengadakan kolaborasi bagi membentuk satu Modul Interaktif Perkahwinan Kanak-Kanak (MIPK): Tangani Perkahwinan Kanak-Kanak sebagai usaha untuk membendung isu perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak

Bagi mengukuhkan lagi pelaksanaan modul itu kelak, satu Bengkel Pemurnian Modul Interaktif Tangani Perkahwinan Kanak-Kanak Versi Sekolah Rendah anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA) diadakan di Wisma Wanita, Kota Kinabalu.

Bengkel yang diketuai Ketua UPPsiKS, Profesor Madya Dr. Muhammad Idris Bin Bullare @ Haji Bahari adalah inisiatif pihak JHEWA yang dibelenggu kebimbangan mengenai isu perkahwinan yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak terutamanya di negeri Sabah.

Bengkel tersebut antara lain melihat adalah untuk melihat sama ada modul tersebut sesuai untuk diguna pakai dalam program-program anjuran JHEWA.

Menurut Dr. Muhammad Idris, modul yang bakal dibentuk itu sangat berguna kepada ibu bapa, guru sekolah, pemimpin masyarakat, badan kerajaan dan bukan kerajaan serta komuniti dan boleh disampaikan melalui pelbagai saluran seperti ceramah, perbincangan, pentadbiran soal selidik dan juga melalui pembelajaran melalui pengalaman.

“Objektif modul ini sangat penting kerana dapat memberi panduan kepada fasilitator iaitu kaunselor, guru bimbingan dan kaunseling tentang cara mengendalikan sesi dan aktiviti dalam MIPK.

“Selain itu, modul ini juga dapat memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada kanak-kanak, ibu bapa, penjaga, masyarakat mengenai isu perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak terutamanya di negeri Sabah yang masih berleluasa,” katanya.

Tambah beliau, kanak-kanak adalah golongan yang perlu diberikan perhatian, namun perhatian yang mereka inginkan bukan berbentuk paksaan dan perkahwinan bukanlah caranya.

“Oleh yang demikian, semua pihak perlu berganding bahu menangani masalah perkahwinan kanak-kanak dan menyedari bahawa isu perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak tidak sepatutnya berlaku,” ujar Dr. Muhammad Idris.