JUMAAT, 14 FEBRUARI -  Seramai 18 pelajar Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan siri lawatan ke beberapa agensi di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi menjayakan Program Delegasi Kerjaya dan Akademik baru-baru ini.

Menurut pensyarah kanan FKSW, Prof. Madya Wan Shawaluddin Wan Hassan, program julung kali yang melibatkan pelajar program Hubungan Antarabangsa ini adalah selaras dengan objektif memartabatkan para pelajar universiti di peringkat global selain mewujudkan jalinan perkongsian kerjaya antara peserta program dengan pegawai pentadbiran diplomatik.

“Ini juga memberi ruang dan peluang kepada pelajar bagi menimba ilmu dan pengalaman baru ke arah pemilihan kerjaya pada masa hadapan.

“Program pada kali ini melibatkan lawatan ke lima agensi iaitu Institute of Strategic and International Studies (ISIS), Migrant CARE, International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC-IIUM), Southeast Asia Regional Centre for Counter-Terrorism (SEARCTT), dan Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra),” katanya.

Dalam pada itu, pengarah program, Delovera Daukin menjelaskan tujuan lawatan agensi tersebut adalah untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar Hubungan Antarabangsa terhadap beberapa aspek signifikan iaitu berkaitan akademik dan kerjaya, ancaman domestik antarabangsa malahan tentang isu semasa berkaitan dengan keganasan pekerja buruh.

“Kunjungan hormat ini juga menerima sambutan yang memberangsangkan dari setiap agensi yang dilawati.

“Program selama empat hari ini secara tidak langsung telah memberi gambaran yang lebih jelas tentang  prospek kerjaya yang amat penting bagi mencari pekerjaan di luar kelak di samping membuka mata setiap peserta terhadap isu semasa yang berlaku dasawarsa ini,” ujar Delovera.

KHAMIS, 13 FEBRUARI - Pendaftar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Vina Zahriani Yusof menghadiri Majlis Ramah Mesra Pendaftar UMS Bersama Kakitangan UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) di Dewan Theatrette pada Selasa.

Dalam ucapannya, Vina mahu semua kakitangan mengadakan pelbagai program dan aktiviti yang menyeronokkan, menjaga kesihatan dan makanan yang mampu menghilangkan tekanan selepas bekerja seharian di pejabat.

Katanya, aktiviti dan program yang dijalankan itu mestilah yang mampu meningkatkan kegembiraan, diadakan secara santai dan mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan warga UMSKAL.

“Pada hari Jumaat pula, saya mahu kita mengadakan pelbagai program dan aktiviti yang berbentuk keagamaan sama ada yang bergama Islam mahupun bukan Islam.

“Manakala pada hari Rabu, buatlah aktiviti riadah dan sukan bagi memastikan kakitangan UMS sihat, cergas dan cerdas,” ujarnya di hadapan kira-kira 100 kakitangan pentadbiran UMSKAL yang hadir.

Rombongan Pendaftar UMS turut disertai Ketua Bahagian Sumber Manusia, Masri Judah; Ketua Bahagian Pengurusan Kualiti, Norti Sirin; Ketua Bahagian Pentadbiran dan Governan, Sharifah Ismail; dan Ketua Bahagian Keselamatan, Lt Kol (B), Talib Ariffin.

Pada majlis itu, Vina juga mahu kakitangan sentiasa menjaga disiplin sekali gus menjaga nama baik UMS seperti yang diharapkan Naib Canselor UMS, Prof Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin.

“Kita kena bekerja untuk manfaat dan kebahagian orang lain terutama pelanggan UMS,” tambah beliau.

Turut hadir Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah; Penolong Pendaftar Kanan, Mas Adi Alimin; dan Ketua-ketua Sektor.

 

Sumber: Azri Onn

 

 

 

 

JUMAAT, 07 FEBRUARI – Kumpulan pensyarah dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) antara yang terlibat dalam menjayakan pembentukan Modul Interaktif Perkahwinan Kanak-Kanak (MIPK) versi sekolah rendah dalam satu bengkel yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah di Kota Kinabalu baru-baru ini. 

Pensyarah FPP tersebut terdiri daripada Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKs) Prof. Madya  Dr. Muhammad Idris Bullare @ Bahari, Dr. Lailawati Madlan, Dr. Norsimah Dasan dan Joki Perdani Sawai.

Menurut Dr. Muhammad Idris yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Sosial MPWS, usaha menghasilkan modul ini adalah rentetan wujudnya keperluan kepada satu modul yang lebih berfokus sesuai dengan psikologi dan kontekstual kanak-kanak di sekolah rendah.

“Modul ini menyediakan maklumat dan aktiviti yang inklusif terdiri daripada pendekatan psikologi, bimbingan dan kaunseling, kesedaran seksualiti dan kesihatan serta kesedaran undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Norazlinah Arif berkata, modul yang dihasilkan adalah satu usaha murni bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perkahwinan kanak-kanak.

“Perkahwinan kanak-kanak mampu membawa kesan negatif seperti keganasan terhadap kanak-kanak, penderaan seksual, fizikal, mental, psikologi, perceraian pada usia muda dan keciciran sekolah,” ujar Norazlinah.

Selain pensyarah UMS, bengkel penyediaan draf modul yang berlangsung selama dua hari itu turut melibatkan pegawai kanan kerajaan negeri Sabah, guru kaunselor, peguam, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

 

KHAMIS, 06 FEBRUARI  - Dekan Pusat Penataraan, Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah, Prof. Dr. Jualang @Azlan Abdullah Gansau dilantik sebagai Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang baharu bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Februari 2020 sehingga 31 Januari 2022.

Prof. Dr. Jualang yang memegang jawatan Dekan PPIB pada April 2016 sehingga Januari 2020 menggantikan Prof Dr Murnizam Haji Halik yang kembali bertugas di Fakulti Psikologi dan Pendidikan di UMS Kota Kinabalu.

Prof. Dr. Jualang, 49, yang berasal dari Kampung Salimandut, Kota Marudu, Sabah merupakan Pengarah UMSKAL yang keenam sejak Kampus Cawangan UMS itu ditubuhkan pada 1999.

Sambil mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Naib Canselor UMS, Prof Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin, Prof Dr Jualang akan memberikan tumpuan terhadap kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa di UMSKAL.

Beliau juga mahu mahasiswa menjaga sahsiah dan memberikan fokus terhadap pembelajaran mereka sekali gus meningkatkan kualiti akademik itu sendiri.

“Saya memerlukan komitmen dan kerjasama semua warga UMSKAL sama ada pegawai, pensyarah, kakitangan sokongan mahupun mahasiswa untuk meningkatkan kecemerlangan UMSKAL di peringkat nasional dan antarabangsa,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Selamat Datang yang mengalu-alukan kehadiran dan pelantikan beliau sebagai Pengarah UMSKAL di ruang legar, Bangunan Menara UMSKAL kelmarin.

Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah yang kemudiannya menerima tabik hormat daripada anggota pasukan Keselamatan UMSKAL.

Hadir sama menyambut beliau ialah Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Prof Dr Abdullah Gani, Ketua-ketua sektor, pegawai, pensyarah dan kakitangan sokongan.

Prof Dr Jualang turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Prof Dr Murnizam Haji Halik yang menyandang jawatan Pengarah UMSKAL selama enam tahun sejak Ogos 2014.

 

Sumber: Azri Onn

SELASA, 04 FEBRUARI 2020 - Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil perhatian serius terhadap usaha menghindari penularan jangkitan 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV) dalam kalangan warganya.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, UMS melalui Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) telah menempatkan petugas kesihatan untuk membuat saringan kesihatan di Pusat Maklumat Pelawat EcoCampus (EVIC) berdekatan dengan pintu masuk utama UMS khususnya pelancong asing yang datang melawat universiti ini.

“Pada masa yang sama, UMS juga mengadakan War Room membuat jelajah ke setiap fakulti dan jabatan UMS oleh Infectious Disease Preparedness Committee untuk tujuan memberikan kesedaran kepada warga UMS.

“Selain itu kita mengadakan mesyuarat Jawatan Kuasa Pengurusan 2019-nCoV UMS dan mesyuarat koordinasi HUMS secara berkala, serta mengadakan kemaskini pengetahuan bagi kakitangan di Pusat Kesihatan Universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap berkata, UMS juga menyambut baik langkah Kerajaan Negeri Sabah menggantung sementara semua penerbangan dari China ke Sabah dalam usaha membendung penularan wabak novel koronavirus di negeri ini sebagaimana diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew, yang berkuatkuasa serta merta pada 30 Januari 2020.

Katanya, pendaftaran pelajar antarabangsa bagi pelajar kemasukan baharu pascasiswazah yang turut melibatkan pelajar warganegara China yang dijadualkan pada 08 Februari, 2020 telah ditangguhkan sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Bagi pelajar antarabangsa sedia ada dan sepatutnya kembali untuk menyambung semula pengajian Semester 2 Sesi 2019/2020 mereka pada 10 Februari 2020, kemasukan mereka ke UMS juga telah ditangguhkan.

“Namun, pihak Universiti akan berusaha menyediakan mekanisme pembelajaran alternatif bagi membolehkan mereka mengikuti kuliah dan tidak ketinggalan dalam pengajian mereka,” jelas beliau.

Walau bagaimanapun,  pelajar antarabangsa terutamanya dari Negara China yang telah berada di Sabah, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap menjelaskan bahawa UMS telah mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengurus dan memantau kesihatan mereka yang merangkumi pemeriksaan saringan kesihatan di Pusat Rawatan Warga UMS sebaik mereka tiba di Kota Kinabalu/Labuan.

Katanya, pengasingan selama 14 hari untuk tujuan pemantauan oleh pegawai perubatan Hospital UMS menggunakan Home Assessment Tool (HAT) akan dilaksanakan bagi memastikan hanya pelajar antarabangsa yang disahkan sihat sahaja dibenarkan untuk menyambung pengajian mereka di UMS. 

Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap turut mengingatkan seluruh warga UMS agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti mencuci tangan dengan kerap menggunakan air dan sabun atau bahan pembasmi kuman tangan (hand sanitizer), memakai penutup hidung dan mulut serta elakkan diri mereka daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai atau bergaul rapat dengan mana-mana individu yang mempunyai tanda-tanda jangkitan.

“Sekiranya mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk dan sesak nafas, sila dapatkan rawatan di Pusat Rawatan Warga UMS dengan kadar segera,” tambahnya.

Untuk rekod, pada 30 Januari lalu Kementerian Pendidikan Malaysia turut mengumumkan penangguhan sementara pendaftaran pelajar dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta kawasan sekitarnya di semua institusi pendidikan di negara ini berikutan penularan kluster 2019 novel koronavirus (2019-nCoV).