JUMAAT, 28 FEBRUARI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Penerbit UMS disaran agar menerbitkan buku-buku yang bersifat ilmiah tetapi mesra pembaca dan mudah difahami.

Naib Canselor UMS, Prof. ChM Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, UMS sebagai game changer dalam pembangunan masyarakat di negeri Sabah mengutamakan penyelidikan yang mampu mengubah kualiti kehidupan masyarakat dengan memindahkan teknologi dari penyelidik universiti dan menggabungkan kearifan tempatan demi pembangunan mapan.

“Semua itu perlu diterjemah kepada bahan bacaan, dan saya menggesa Penerbit UMS untuk menerbitkan buku-buku sedemikian.

“Penerbit UMS harus berupaya menawarkan lanskap buku yang berlainan, kerana seperti yang kita dapat lihat trend di Malaysia adalah pembaca meminati cerita fiksyen, kurang membeli karya terbitan tempatan, dan lebih senang mengeluarkan duit untuk tengok wayang.

“Justeru, penerbit buku ilmiah perlulah kreatif untuk mengembangkan nic pasaran untuk buku ilmiah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Pasar Buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) – UMS di Ruang Megalab, Perpustakaan UMS baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul.

Menurut Datuk Dr. Taufiq, kepesatan teknologi dan trend penerbitan ke arah penerbitan elektronik seharusnya digunakan sepenuhnya oleh penerbit.

Terdahulu, Pengarah Penerbit UMS, Prof. Madya Dr. Asmiaty Amat berkata, matlamat penganjuran program Pasar Buku DBP-UMS ini adalah bertujuan untuk menjual buku dan menggalakkan orang membeli dan membaca buku.

“Usaha ini memerlukan kesabaran yang tinggi serta penglibatan seluruh masyarakat untuk menggembleng tenaga dan buah fikiran untuk menjayakannya kerana tidak mudah untuk menarik minat orang ramai untuk datang membeli buku dan menjadikan membaca sebagai amalan berterusan seseorang.

“Oleh hal yang demikian tanggungjawab kita terutamanya warga universiti dan tentunya agensi kerajaan seperti DBP adalah keperluan kita menjadikan budaya membaca ini sebagai satu amalan dan tanggungjawab bersama,”kata Dr. Asmiaty.

Program ini juga katanya menjadi platform dalam mempromosikan 41 judul buku yang diterbitkan dan dilancarkan UMS pada tahun 2019.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sabah, Rosdi Awang; Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof; dan Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin.

KHAMIS, 27 FEBRUARI 2020 - Pusat Pengurusan EcoCampus (EMC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima Lawatan Kolaborasi Strategik Pusat Pengurusan Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (CMeOSH), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada Selasa lalu.

Lawatan yang diketuai oleh Pengarah CMeOSH, Prof. Ts. Ir. Dr. Hj. Ahmad Rasdan Ismail telah disambut Pengarah EMC, Prof. Madya Dr. Berhaman Ahmad.

Prof. Madya Dr. Berhaman dalam ucapan alu-aluannya mengutarakan kesungguhan EMC untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pelestarian persekitaran dan pemupukan gaya hidup hijau dalam kalangan warga universiti dan pemegang taruh. 

“Sesungguhnya program perkongsian dan penerokaan peluang kolaborasi strategik sebegini amat selari dengan takrifan ‘EcoCampus UMS’ iaitu sebagai pusat rujukan dalam pembangunan lestari tempatan, kebangsaan, serantau dan sedunia.

“Kejayaan pelestarian persekitaran dan pemupukan gaya hidup hijau secara menyeluruh, khususnya dalam arena pengajian tinggi amatlah mustahak demi melahirkan masyarakat masa hadapan yang bukan hanya memiliki kesedaran alam sekitar yang tinggi malahan daya pematuhan dan pelaksanaan amalan hijau dalam kehidupan seharian yang kuat,” ujarnya. 

Turut hadir Timbalan Pengarah EMC, Kelvin BH Kueh yang telah memberikan taklimat falsafah dan konsep Agenda EcoCampus UMS serta pencapaian dan cabaran sejak permulaan penubuhannya pada 2013.

 

ISNIN, 24 FEBRUARI - Forum Masa Depan Malaysia: Prospek dan Cabaran yang berlangsung di Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini telah mengupas pelbagai topik berkaitan peranan orang muda dalam isu berkaitan ekonomi, politik dan sosial negara.

Forum anjuran Institute for Leadership and Development Studies (LEAD) itu membariskan empat ahli panel iaitu Timbalan Menteri MESTECC, Isnaraissah Munirah Majilis; Ahli Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup; Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng; dan Presiden Majlis Belia Sabah, Ahmad Farid Sainuri, serta melibatkan Naib Presiden Kelab Debat Bahasa Melayu UMS, Iskandar Zulkarnain sebagai moderator forum.

Ahli Parlimen Kangar merangkap Pengerusi Kaukus Ahli Parlimen Muda Parlimen Malaysia, Noor Amin Ahmad berkata, program di UMS ini merupakan penganjuran ketiga daripada enam program yang dirancang di seluruh Malaysia.

“Program yang dirangka ini adalah salah satu usaha membantu Parlimen Malaysia dalam rangka reformasi parlimen dengan melibatkan suara anak muda.

“Pemilihan universiti bagi penganjuran forum sebegini adalah kerana perubahan khususnya dalam agenda reformasi parlimen perlu bermula dari gedung keilmuan, dengan melibatkan ahli akademik dan pelajar universiti agar setiap inti dan idea baru dapat didengar,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. ChM Datuk Dr. Taufiq Yap Yin Hin dalam ucapannya berkata, penganjuran forum ini merupakan satu medium yang baik bukan sahaja dalam pembudayaan ilmu tetapi turut memberi pendedahan kepada pelajar terhadap pelbagai isu nasional.

“Pengurusan universiti amat berbesar hati menjadi tuan rumah bagi forum ini yang dilihat memberi gambaran yang jelas kepada pelajar terhadap inti pati hala tuju negara.

“Diharapkan setiap mesej yang disampaikan berkaitan hala tuju negara yang ingin dicapai jelas dan mudah difahami oleh setiap lapisan termasuk golongan muda,” ujar Dr. Raman.

Forum tersebut dihadiri lebih 200 pelajar dan kakitangan UMS.

KHAMIS, 20 FEBRUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa mempertingkatkan usaha memberi sumbangan kepada komuniti khasnya di negeri Sabah dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian kewujudannya di negeri ini.

Umpamanya, beberapa inisiatif dan cadangan akan mula dilaksanakan pada tahun ini bagi menyokong pembangunan dalam bidang pertanian khususnya di negeri Sabah.

Demikian menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. ChM. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin, yang turut menegaskan negeri Sabah yang berkawasan luas adalah sebuah negeri pertanian.

“Antara yang kita lihat bagi membantu memacu bidang pertanian ini adalah melalui pemerkasaan kluster pertanian menerusi penawaran program asasi baharu (agrosains) yang dijangka akan bermula pengambilannya pada Jun 2020.

“Selain itu, UMS juga akan melaksanakan penjenamaan semula program-program pertanian yang ditawarkan agar lebih menarik minat para pelajar, merangka kurikulum pertanian yang terkehadapan serta menubuhkan sebuah Pusat Taman Pertanian UMS agar pengurusan ladang-ladang dan taman-taman di UMS lebih efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat bagi tahun 2020 di hadapan lebih 5000 warga UMS di Dewan Canselor, pagi tadi.

Datuk Taufiq Yap turut menambah UMS juga bakal menubuhkan semula Fakulti Perhutanan Tropika bagi menyokong aspirasi kerajaan negeri Sabah untuk meneruskan pelaksanaan dasar pengurusan hutan mampan dan pelan pembangunan industri perhutanan.

“Terkini, hab industri perabot juga telah diwujudkan untuk memajukan sektor hiliran perhutanan.

“Justeru, penubuhan fakulti ini mampu menyediakan kepakaran serta sumber manusia bagi menyokong hasrat tersebut, dan fakulti ini dijangka akan mula beroperasi sepenuhnya pada September 2020, dengan kurikulum sedia ada akan disemak agar terus kekal relevan dengan pasaran semasa,” ujar Datuk Taufiq Yap.

Datuk Taufiq Yap turut mengumumkan penubuhan Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UMS yang bermatlamat memperkasakan pengurusan harta intelek, geran-geran inovasi, pengkomersialan dan pemindahan teknologi serta memperkukuh budaya berinovasi, pengkomersialan dan keusahawanan agar setiap hasil penyelidikan mampu diuruskan dengan baik dan dikomersialkan secara menyeluruh.

SELASA, 18 FEBRUARI 2020 - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama JAPFA Comfeed Indonesia, sebuah syarikat pembuat makanan ternakan yang terbesar di Asia dengan perniagaan multimilion dalam sektor penternakan haiwan, akuakultur, perdagangan dan perkhidmatan.

Upacara menandatangani MoA itu berlangsung di ibu pejabat JAPFA di Singapura baru-baru ini meyaksikan UMS diwakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin. Manakala JAPFA diwakili oleh Ardi Budiono, Naib Presiden merangkap Ketua Bahagian Akuakultur, PT Suri Tani Pemuka (STP) iaitu sebuah syarikat subsidiari JAPFA. 

Menurut Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap, kerjasama ini akan memfokuskan kepada program latihan dan pemindahan ilmu akuakultur kepada kakitangan JAPFA yang kini sedang dalam rangka membangunkan sebuah institutsi akuakultur di Indonesia.

“Sebelum ini UMS dan JAPFA sebenarnya sudah mengadakan pelbagai kerjasama termasuk dalam bidang penyelidikan dan perkongsian kepakaran.

“Kerjasama dan kepercayaan yang diberikan ini pasti akan meningkatkan keterlihatan UMS di pentas global dan meningkatkan citra serta reputasi UMS dalam bidang akuakultur,” kataya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada upacara pemeteraian MoA tersebut, STP JAPFA turut menyempurnakan penyerahan dokumen kontrak penyelidikan kepada Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS  bernilai RM220,000 bagi memulakan program latihan akuakultur seperti yang terkandung dalam dokumen MoA.

Turut hadir menyaksikan upacara tersebut ialah Pengerusi Eksekutif JAPFA, Handojo Santosa dan Pegarah IPMB, Prof. Dr. Sitti Raehanah Muhamad Shaleh.

Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap berkata, kerjasama JAPFA-UMS melalui IPMB telah bermula sejak sepuluh tahun yang lalu melalui khidmat jururunding kepakaran oleh Prof. Dr. Shigeharu Senoo yang merupakan  kakitangan akademik di IPMB.

“Kemudian pada tahun 2016, JAPFA telah menganugerahkan kontrak penyelidikan bernilai RM180,000 kepada Prof. Madya Dr. Faihanna Ching untuk mengetuai projek penyelidikan dengan fokus kajian kematangan gonad ikan belut bagi memperkasakan industri akuakultur dalam bidang ternakan ikan belut.

“Pada tahun 2019, JAPFA telah menghantar beberapa kakitangannya ke IPMB UMS untuk menjalani latihan dalam bidang akuakultur bagi memperkasakan sumber manusia dalam bidang akuakultur,” katanya. 

Untuk rekod JAPFA Comfeed Indonesia mempunyai seramai 38,000 pekerja dari tujuh buah negara di rantau Asia termasuk China.

Kekuatan syarikat ini juga merangkumi sektor ternakan haiwan iaitu meliputi unit pengeluaran makanan ternakan, unit pembiakan ayam dan lembu, serta unit perniagaan pertanian.