RABU, 16 OKTOBER - Seramai 150 pelajar Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Program Gotong Royong Perdana “FPEP Bersih, FPEP Ceria” di fakulti tersebut, baru-baru ini.

Ketua penganjur merangkap Exco Sukarelawan dan Kemasyarakatan, Persatuan Mahasiswa Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (PMPEP), Maslina Saiba berkata,  gotong-royong tersebut bukan sahaja untuk melahirkan lebih banyak pelajar yang bergiat aktif dan mampu melakukan kerja-kerja sukarela namun ia juga bertujuan untuk melahirkan pelajar yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Kita juga amat bertuah kerana program anjuran kami selaku pelajar di fakulti ini turut disokong penuh oleh Dekan FPEP, Profesor Madya Dr. Raman Noordin yang turut hadir bersama-sama bagi menjayakan acara ini,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Sementara itu, Dr. Raman berkata, melalui program tersebut, ia dapat memberi kesedaran  kepada para pelajar tentang kepentingan alam sekitar sekali gus dapat mewujudkan suasana yang nyaman dan bersih untuk keselesaan semua yang berada di fakulti.

Katanya, FPEP ibarat sebuah rumah sendiri yang perlu dijaga bagi memberi keselesaan kepada semua warganya dan adalah menjadi tanggungjawab warga FPEP termasuk pelajar untuk menjaga kebersihan dan keharmonian fakulti.

“Untuk itu, syabas dan tahniah saya ucapkan atas inisiatif penganjuran program gotong-royong ini  yang turut dilihat menjadi wadah penting kepada pemupukan kerjasama dan jalinan silaturahim antara pelajar dan kakitangan.

“Pada kesempatan ini, saya juga berbesar hati menyatakan bahawa FPEP kini dalam proses untuk mewujudkan tapak niaga bagi kegunaan para pelajar menjalankan aktiviti keusahawanan untuk menjana pendapatan dan dalam masa yang sama dapat memeriahkan suasana di fakulti,” tambah Dr. Raman.

Hadir sama, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah FPEP, Dr. Arif @ Kamisan Pusiran, pensyarah-pensyarah dan kakitangan FPEP.

 

RABU, 16 OKTOBER – Sejumlah 128 kertas kerja penyelidikan berkaitan bidang sains sosial dan kemanusiaan dalam pelbagai disiplin dibentang dan dibahas pada Seminar Kebangsaan Pascasiswazah Sains Sosial dan Kemanusiaan 2019 yang diadakan di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bertemakan “Pelestarian Penyelidikan Sains Sosial dan Kemanusiaan”, seminar tersebut merupakan medan bagi para penyelidik pascasiswazah dan ahli akademik membincangkan secara intelektual penyelidikan mereka, selain bertukar idea dan berkongsi ilmu dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Chm. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, diskusi dan penulisan tentang sains sosial dan kemanusiaan perlu mengetengahkan tentang apa yang penting untuk manusia sejagat.

“Bagi memastikan identiti manusia Nusantara tidak samar dan menghilang dalam peta dunia, wadah penyuburan budaya ilmu sebegini sangat signifikan bagi para akademik supaya terus berwacana, berseminar dan berkongsi ilmu lewat penulisan mereka.

“Harapan saya, semoga perkongsian dan diskusi ilmu ini kelak berupaya menterjemah penemuan kajian kepada penyelesaian masalah yang praktikal dan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan manusia,” katanya dalam ucapan sempena majlis perasmian seminar tersebut di Theatrette Ahmad Nisfu, Blok Seni FKSW pagi tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Institut Kajian Orang Asal Borneo, Prof. Dr. Rosazman Hussin yang mewakili Datuk Taufiq Yap menyempurnakan perasmian majlis tersebut.

Terdahulu, Dekan FKSW, Dr. Marsitah Mohd Radzi berkata, penganjuran seminar oleh FKSW yang turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Kemajuan Sosial itu bakal membuka dan mendorong kepada lebih banyak lagi kolaborasi yang bersifat akademik dan non-akademik.

“Pihak FKSW berharap agar dapat meneruskan kerjasama dengan Yayasan Kemajuan Sosial serta badan-badan bukan kerajaan yang lain pada masa akan datang,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kemajuan Sosial, Datuk Dr. Johnson Tee; Pengerusi Seminar SPSKK 2019, Dr. Nordin Sakke; dan Pensyarah Kanan FKSW, Prof. Madya Dr. Asmady Idris yang turut menyampaikan ucap utama seminar tersebut.

RABU, 16 JULAI - Orang Asal Sabah sudah wujud di negeri ini sejak 70,000 tahun lalu kata Profesor Sekolah Antropologi Universiti Oxford, Profesor Dr. Stephen Oppenheimer.

Menurut beliau Sabah yang pada ketika itu merupakan sebahagian daripada tanah besar Asia Tenggara menghubungkan Jawa dan Sumatera untuk membentuk benua Sunda yang besar.

“Ketika Zaman Ais melanda, paras air laut meningkat mengakibatkan  terjadi migrasi besar-besaran dari benua Sunda ke Borneo, Filipina, Jawa dan Sumatra sekitar  14,000 hingga 8000 tahun lalu,” katanya.

Profesor Dr. Stephen berkata demikian ketika memberi ucap tama sempena Simposium mengenai asal-usul Orang Asal Sabah di Dewan Resital UMS, baru-baru ini.

Beliau yang juga pakar genetik dan pediatrik British berkata, nenek moyang Orang Asal Sabah yang berada di benua Sunda berpindah ke kawasan lebih tinggi khususnya ke negeri ini bagi menghindari paras air laut yang terus meningkat pada 14,000, 11,000 dan 8000 tahun dahulu.

“Namun, selepas itu terdapat juga penghijrahan ke utara dari Borneo menuju Taiwan iaitu pada sekitar 8000-6000 tahun dahulu.

“Kemudian pada 4000 tahun dahulu, barulah wujud penghijrahan dari Taiwan ke arah selatan membawa kebudayaan pertanian dan bahasa Austronesia,” jelasnya.

Ucap tama yang berlangsung di hadapan lebih 300 wakil persatuan etnik di Sabah turut dihadiri Pembantu Menteri Kepada Menteri Undang-Undang Dan Hal Ehwal Anak Negeri, Jannie Lasimbang, Pemegang kursi Kadazandusun UMS merangkap pengerusi penganjur, Prof. Madya Dr. Andreas Totu dan Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UMS, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau.

 

KHAMIS, 10 OKTOBER - Kehadiran migrasi dari sesebuah negara ke negara yang lain mampu memberikan pelbagai impak ke atas penduduk tempatan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata,  antara kesan yang membimbangkan termasuk dalam aspek kebudayaan, warisan dan sosio-ekonomi masyarakat orang asal.

“Dalam migrasi jangka panjang, ia akan mampu melemahkan penduduk asal termasuk  mengubah susunan penduduknya, dan mungkin mengambil alih perniagaan dan peluang pekerjaan,” katanya ketika berucap merasmikan  Simposium mengenai Asal-usul Orang Asal Sabah 2019 anjuran Universiti Malaysia Sabah, di Dewan Resital universiti itu, kelmarin.

Datuk Seri Madius berkata, senario terburuk apabila mereka yang bermigrasi ke sesebuah negara itu akhirnya diiktiraf sebagai orang asli dan mempunyai hak sama rata seperti dengan hak-hak orang asal.

Sehubungan itu katanya, penganjuran simposium ini amat bertepatan sebagai  sumber pengetahuan, kesedaran dan pemahaman tentang asal-usul khususnya Orang Asal Sabah.

“Marilah kita membuka minda mempelajari bentuk-bentuk pengetahuan baharu yang disampaikan pada simposium ini yang saya pasti mampu memperkasakan  intelektual dan emosi berhubung dengan topik yang diutarakan ini,” katanya.

Simposium yang dihadiri oleh wakil daripada pelbagai persatuan etnik di Sabah turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi  UMS, Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul dan Pengerusi Penganjur merangkap Pemegang Kursi Kadazan Dusun UMS, Prof. Madya Dr. Andreas Totu.

 

 

SELASA, 15 OKTOBER - Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS) telah menganjurkan Bengkel Penulisan Artikel Konsep (Tanpa Data), Artikel daripada Tesis dan Artikel Indeks Scopus di Bilik Seminar 5, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Menurut Ketua UPPsiKS, Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Bahari, tujuan penganjuran bengkel tersebut adalah bagi membantu dan melatih para peserta dalam menghasilkan artikel yang berkualiti.

“Penulisan dan penerbitan artikel merupakan salah satu tugas hakiki sebagai seorang pensyarah di universiti dan juga sesuatu yang sangat penting kepada seorang pelajar pascasiswazah sebagai salah satu syarat untuk mereka bergraduasi.

“Bengkel ini dilihat banyak memberi manfaat kepada peserta dengan pendedahan terhadap penulisan artikel dan menerbitkannya melalui saluran yang betul melalui perkongsian artikel dan contoh artikel yang baik,” katanya.

Bengkel yang berlangsung selama dua hari itu telah disertai oleh 64 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar pascasiswazah dalam dan luar UMS dan dikendalikan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Nurul  Fadly Habidin.