Pilih bahasa anda

Language

Pembedahan Mastektomi Endoskopik: Alternatif Pembedahan Moden Dalam Rawatan Kanser Payudara

Artikel Oleh :

Prof Madya Dr Nik Amin Sahid Bin Nik Lah,

Timbalan Pengarah Hospital (Penyelidikan & Inovasi), Hospital  Universiti Malaysia Sabah

Konsultan Pembedahan Payudara & Endokrin

Email: Alamat e-mel ini dilindungi daripada bot spam. Anda perlu mengaktifkan JavaScript untuk melihatnya. 

Perkembangan teknologi perubatan telah membawa perubahan besar dalam rawatan kanser payudara, termasuk pengenalan teknik pembedahan yang lebih moden, kurang invasif serta luka yang lebih kecil.

Salah satu inovasi pembedahan tersebut ialah kaedah pembedahan mastektomi endoskopik, satu kaedah pembuangan tisu payudara berserta kanser payudara menggunakan peralatan kamera melalui bukaan luka yang minimal.

 

Apakah itu Pembedahan Mastektomi Endoskopik?

Pembedahan mastektomi endoskopik ialah prosedur pembedahan di mana pakar bedah menggunakan kamera dan alat khas untuk membuang tisu payudara melalui bukaan luka yang kecil, biasanya tersembunyi di bawah kawasan ketiak atau lipatan kulit.

Berbeza dengan mastektomi konvensional yang melibatkan potongan besar pada bahagian hadapan dada dan kesan luka jelas kelihatan, teknik ini memberi hasil kosmetik yang lebih baik selepas pembedahan.

 

Sejarah Perkembangan Teknik Ini

Teknik pembedahan secara laparoskopik ( key-hole) mula digunakan secara meluas di Malaysia dalam pelbagai bidang pembedahan sejak tahun 1990-an, terutamanya dalam pembedahan abdomen dan ginekologi.

Dengan kemajuan teknologi optik dan instrumen pembedahan, penggunaannya telah berkembang ke bidang pembedahan payudara sekitar awal tahun 2000-an.

Negara-negara seperti Korea Selatan, Taiwan dan Jepun antara pelopor dalam memperkenalkan pembedahan mastektomi endoskopik, sebelum ia mula diterima di seluruh dunia.

Di Sabah, ianya telah dimulakan sejak tahun 2024 dan sehingga kini ianya menjadi satu pilihan pembedahan yang baik untuk sesetengah pesakit yang sesuai terutamanya yang masih diperingkat awal kanser ataupun ketulan kanser payudara yang telah mengecil setelah menerima rawatan onkologi.

Ini kerana data menunjukkan hampir keseluruhan pesakit yang dirawat dengan kaedah ini mencapai margin pembedahan yang bersih, malah kadar komplikasi pembedahan yang rendah serta ianya mencapai tahap kepuasan pesakit terhadap hasil estetik yang tinggi.

Ini kerana bukaan luka pembedahan yang jauh lebih kecil dan terselindung serta kulit dan areolar yang asal juga dapat di kekalkan, dengan purata bukaan luka hanya 4-5 sentimeter berbanding dengan kaedah konvensional 10-15 sentimeter.

 

Alternatif kepada Pembedahan Mastektomi Konvensional

Pembedahan mastektomi endoskopik kini dilihat sebagai alternatif kepada kaedah tradisional, terutamanya bagi pesakit yang berada pada peringkat awal kanser payudara atau mereka yang memerlukan pembuangan payudara sebagai langkah pencegahan (prophylactic mastectomy) bagi wanita yang belum menghidap kanser payudara tetapi mempunyai risiko yang sangat tinggi.

Sebagai contoh, mereka yang dikenal pasti mempunyai masalah genetik BRCA1 atau BRCA 2. Teknik ini juga selaunya di gabungkan dengan pembedahan rekonstruksi payudara (breast reconstruction) pada masa yang sama bagi membantu mengekalkan bentuk asal samada menggunakan implan ataupun tisu dari tubuh pesakit itu sendiri.

Walau bagaimanapun, tidak semua pesakit sesuai untuk prosedur ini. Pemilihan pesakit bergantung kepada beberapa faktor seperti saiz tumor, keterlibatan tumor kepada kulit, dan tahap penyakit. Oleh itu, perbincangan bersama pakar bedah payudara adalah sangat penting sebelum membuat keputusan.

 

Kelebihan Mastektomi Endoskopik

Antara kelebihan utama teknik ini ialah:

i. Parut yang minimal dan terselindung – Luka pembedahan lebih kecil dan sering tersembunyi, memberikan hasil kosmetik yang lebih baik.

ii. Kurang kesakitan selepas pembedahan – Bukaan luka yang kecil biasanya menyebabkan kurang trauma kepada tisu oleh itu kesakitan selepas pembedahan juga berkurangan.

iii. Pemulihan lebih cepat – Pesakit boleh kembali kepada aktiviti harian dengan lebih awal berbanding kaedah konvensional.

iv. Sesuai untuk digabungkan bersama pembedahan rekonstruksi payudara– Pembedahan rekonstruksi payudara dapat di jalankan secara Bersama dengan pembedahan kanser payudara.

Namun begitu, teknik ini mengambil masa hampir 10%-20% lebih lama berbanding dengan teknik konvensional namun ianya bergantung kepada saiz payudara dan beberapa factor lain.

Ianya juga memerlukan peralatan pembedahan yang berbeza serta memerlukan latihan kepakaran yang khusus. Ianya merupakan satu langkah kehadapan sebelum seseorang pakar bedah payudara memulakan pembedahan mastektomi secara robotik.

 

Kesimpulan

Pembedahan mastektomi endoskopik merupakan satu kaedah terkini dalam rawatan kanser payudara yang menawarkan pilihan lebih baik dan estetik kepada pesakit.

Walaupun ia tidak menggantikan sepenuhnya kaedah konvensional, teknik ini memberi harapan baharu terutama bagi pesakit yang sesuai dan bagi mereka yang mementingkan kualiti hidup selepas pembedahan.

Dengan kesedaran yang semakin meningkat dan kepakaran pembedahan yang terus berkembang, pendekatan ini dijangka menjadi semakin meluas di masa hadapan.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda