Oleh: Prof Madya Dr Habibie Ibrahim, Pakar, Perlindungan dan Pemulihan Akhlak Kanak-Kanak, Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial, UMS
Kebelakangan ini semakin meningkat kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang melibatkan golongan remaja. Tidak kiralah sama ada remaja lelaki mahupun perempuan. Kejadian boleh berlaku yang tanpa diduga, tidak pernah difikirkan berlaku apatah lagi pada masa dan lingkungan yang dianggap selamat seperti di lingkungan keluarga sendiri, kediaman dan sekolah. Kejadian-kejadian yang berlaku itu menuntut kesedaran dan empati yang tinggi semua pihak yang berada di sekeliling kanak-kanak dan remaja berisiko.
Dari sudut Psikologi, usia anak-anak remaja dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Remaja Awal usia antara 10-13 tahun, di usia ini pemikiran mereka masih lebih kepada zaman kanak-kanak. Remaja Pertengahan usia antara 14-17 tahun di mana mereka seronok mencari identiti, lebih mementingkan rakan dan menuntut kebebasan. Remaja Akhir pula usia antara 18-21 tahun di mana di usia ini mereka telah matang, lebih rasional dan ada pemfokusan tentang masa depan. Dari sudut Perundangan pula, Akta Kanak-Kanak 2001 mentakrifkan umur seorang kanak-kanak adalah di bawah 18 tahun. Justeru,remaja yang berusia 17 tahun ke bawah masih terikat di bawah Akta Kanak-Kanak. Contohnya, Mahkamah Kanak-Kanak bagi pesalah juvana.
Dari sudut Teori, mengambil Teori Ekologi Sistem oleh Urie Bronfenbrenner mengatakan percanggahan nilai atau kepercayaan antara remaja dan sistem-sistem terdekat seperti ibu bapa/keluarga boleh menyebabkan remaja tersepit antara untuk mematuhi ibu bapa atau menurut kehendak dan diterima oleh rakan sebaya terutamanya dalam kalangan kanak-kanak awal remaja yang masih belum boleh berfikir secara rasional.
Keluarga berisiko pula merujuk kepada institusi keluarga yang menghadapi pelbagai tekanan dan krisis yang boleh menghalang ibu bapa untuk berperanan secara baik. Ini boleh menjejaskan keupayaan ibu bapa dan keluarga melengkapkan persekitaran yang sihat dan menyokong perkembangan anak-anak. Struktur keluarga dan tekanan sosioekonomi masa kini adalah antara faktor risiko. Tidak dapat disangkal bahawa keluarga yang berisiko mempunyai hubungan kepada punca utama yang menyebabkan remaja berisiko. Ini mungkin boleh berlaku kerana kurang mempamerkan kasih sayang, aktiviti pemantauan, dan kestabilan di rumah. Namun, ketahuilah bahawa remaja begitu dahagakan dan memerlukan perhatian dari ibu bapa dan orang-orang terdekat di sekeliling mereka. Mereka inginkan perlindungan, sokongan, kepercayaan dan kejujuran dari ibu bapa dan ahli keluarga. Remaja menyukai sekiranya mereka diberikan perhatian dan kepercayaan sepenuhnya.
Apa yang diperlukan namun mungkin kurang diberikan perhatian oleh ibu bapa masa kini adalah komunikasi. Komunikasi yang berkesan antara remaja dan keluarga adalah nadi utama dalam memastikan kelangsungan perkembangan emosi, psikologi, dan sosial remaja. Ia bukan sekadar perbualan harian, tetapi medium kritikal yang bertindak sebagai jambatan penghubung bagi membimbing dan memahami remaja yang sedang berhadapan dengan pelbagai tekanan transisi. Ibu bapa dituntut agar berkomunikasi dengan anak remaja secara sihat. Selalu memberikan nasihat berguna, membimbing anak remaja dengan penuh kasih sayang, tidak memberikan tekanan dan amaran, selalulah bertanyakan khabar dan perkembangan, ketahui dan fahami pergaulan remaja bersama rakan, menyatakan apa boleh dan tidak boleh serta dapat menerangkan dengan sempurna dengan logil akal.
Rakan-rakan sebaya, guru dan sekolah adalah ekosistem utama kanak-kanak dan remaja di luar rumah. Kepada rakan sebaya, persahabatan yang sihat boleh memberikan sense of belonging. Jadilah sahabat yang empati yang boleh menyelamatkan rakan anda. Kepada guru, anda adalah ibu bapa kedua kepada anak murid anda. Teruskan menjadi guru yang prihatin. Sekolah pula diharapkan boleh menjadi persekitaran yang selamat untuk semua murid supaya mereka dapat belajar dan membesar dengan tenang selain sekolah menerapkan nilai murni dan pembentukan disiplin murid.
Kejiranan dan masyarakat sekeliling bersama kita untuk lebih prihatin dan mengambil berat ke atas tingkah laku anak-anak muda di sekeliling kita. Kita adalah lapisan selepas keluarga dan sekolah kepada remaja di sekitar kita. Prihatin kita adalah dengan niat yang baik dan bukannya membentuk stigma atau melabel remaja dengan menghukum. Tegurlah remaja secara lembut dan berhikmah. Hubungkan remaja dan keluarga berisiko kepada perkhidmatan-perkhidmatan profesional yang diperlukan.
Ibu bapa dan keluarga, rakan sebaya, sekolah dan institusi lain dalam masyarakat bersama kita berfungsi dan menjalankan peranan dalam bentuk ‘partnership’ untuk mengurangkan malah menghapuskan gejala-gejala remaja dan keluarga berisiko di dalam komuniti kita.




