Pilih bahasa anda

Language

Bulan Digital UMS Pacu Ekosistem Kampus Bersedia AI

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus membawa agenda transformasi digital menerusi pembangunan ekosistem kampus yang bersedia memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab, beretika dan berkesan.

Transformasi digital UMS merangkumi penggunaan kecerdasan buatan (AI), analitik data dan automasi bagi meningkatkan kecekapan pengurusan, penyelidikan serta penyampaian perkhidmatan universiti.

Usaha itu turut merangkumi pembangunan Kinabalu Portal Versi 2 dan UMS AI Roadmap 2030 bagi menyediakan perkhidmatan digital yang lebih mesra pengguna serta hala tuju penerimagunaan AI secara terancang, bertanggungjawab dan beretika.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Dr. Raman Noordin, transformasi digital bukan sekadar melibatkan penggunaan teknologi baharu, malah merangkumi perubahan budaya kerja, pendekatan pengurusan serta keupayaan universiti meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan.

“Agenda pendigitalan perlu dilihat sebagai usaha strategik yang menyeluruh, merangkumi aspek pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, pentadbiran, pengurusan data serta penyampaian perkhidmatan kepada warga universiti.

“Hasrat kita adalah untuk membangunkan sebuah universiti yang bukan sahaja menggunakan teknologi digital, malah mampu memanfaatkan data dan kecerdasan buatan secara strategik dalam proses membuat keputusan serta penciptaan nilai, jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasamian Bulan Digital UMS 2026, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Digital UMS, Profesor Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim berkata, penganjuran program tersebut diwujudkan sebagai platform untuk memperkukuh kesedaran, pengetahuan dan penglibatan warga universiti terhadap kepentingan teknologi digital, data dan kecerdasan buatan dalam kehidupan seharian serta persekitaran pekerjaan.

“Selaras dengan aspirasi “Towards the Future of AI-Ready Campus”, kita ingin membina budaya digital yang lebih progresif, inovatif dan inklusif dalam kalangan seluruh warga kampus, ujarnya.

Dalam pada itu, satu sesi pertukaran dokumen antara Jabatan Digital UMS dengan Raffcom Technologies Sdn. Bhd. (RAFFTECH) turut dilaksanakan sempena majlis berkenaan.

Kerjasama tersebut bertujuan memajukan penyelidikan, pembangunan, inovasi, keselamatan siber, Digital Trust, pemindahan teknologi dan pengkomersialan hasil penyelidikan.

Pelbagai pengisian telah dilaksanakan seperti sesi perkongsian ilmu, forum dan townhall, pameran teknologi, aktiviti berkaitan kecerdasan buatan, keselamatan siber, pertandingan digital, e-sukan serta pameran dan jualan peralatan ICT.

Turut hadir, Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Pengarah Jabatan Digital UMS merangkap Ketua Pegawai Teknologi UMS, Ts. Effendy Hadis.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda