
Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) memperkukuh jaringan pengantarabangsaan menerusi penganjuran Seminar Antarabangsa UMS–Universitas Airlangga (UNAIR) 2026 dan sesi perbincangan kerjasama akademik selama dua hari, baru-baru ini.
Program yang berlangsung di FSSK itu menghimpunkan ahli akademik dan mahasiswa kedua-dua institusi bagi memperluas perkongsian ilmu serta meneroka kerjasama strategik dalam pendidikan tinggi dan penyelidikan.
Dekan FSSK UMS, Profesor Dr. Asmady Idris berkata, penganjuran program berkenaan menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan akademik antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.
“Kerjasama ini membuka peluang kepada kedua-dua institusi untuk berkongsi kepakaran dan memperluas jaringan akademik, sekali gus memberikan manfaat kepada ahli akademik serta mahasiswa.
“Selain perkongsian ilmu menerusi seminar, perbincangan turut memberi tumpuan kepada potensi pelaksanaan program ijazah berganda (double degree), mobiliti pelajar dan staf akademik, pengajian pascasiswazah serta penyelidikan dan penerbitan ilmiah bersama,” katanya.
Pada hari pertama, seminar antarabangsa itu menampilkan empat pembentangan akademik oleh wakil UMS dan UNAIR yang membincangkan pelbagai isu berkaitan masyarakat, sejarah, sempadan dan perkembangan media.
Dua pembentang dari UNAIR ialah Dr. Johny Alfian Khusyairi yang membentangkan tajuk Pembentukan Keagamaan Komunitas Madura Hindu dan Dr. Dewi Meyrasyawati menerusi pembentangan Cross-Media Literary Production: Transformation from Instagram and WhatsApp to a Short Story Anthology.
Sementara itu, UMS diwakili Dr. Fauzie Sarjono yang membentangkan tajuk The Malaysia-Indonesia Border: Authority-Defined and Everyday Perspectives, serta Dr. Eko Prayitno Joko menerusi pembentangan Mendekonstruksikan “Historiografi Nasional” melalui “Historiografi Pembebasan”: Suatu Keperluan Mendesak.
Program hari pertama turut menyaksikan sesi perbincangan awal mengenai potensi kerjasama akademik antara kedua-dua universiti.
Program pada hari kedua kemudiannya diteruskan dengan sesi perbincangan khusus bagi memperincikan cadangan kerjasama akademik yang dikemukakan oleh delegasi UNAIR.
Perbincangan itu meliputi empat bidang utama, iaitu program ijazah berganda, mobiliti akademik dua hala, pengajian pascasiswazah serta penyelidikan dan penerbitan bersama.
Pihak UMS turut mengemukakan maklum balas dan cadangan kerjasama menerusi Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa), Dr. Fauzie Sarjono; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersialan), Dr. Badariah Saibeh; serta Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar, Alumni dan Pengajian Pascasiswazah), Dr. Kee Y. Sabariah Kee Mohd Yussof.
Sesi tersebut turut memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk mengenal pasti bidang keutamaan serta membincangkan tindakan susulan bagi merealisasikan potensi kerjasama yang lebih berstruktur.
Dalam perkembangan lain, Pengarah Program, Dr. Mohamad Ikhram Mohamad Ridzuan, yang juga merupakan Profesor Adjung (Felo Akademik) di Universitas Airlangga, Surabaya, Indonesia, merakamkan penghargaan kepada delegasi UNAIR, barisan pengurusan FSSK serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
“Kami amat berbesar hati dengan kehadiran delegasi UNAIR dan berpuas hati kerana keseluruhan program selama dua hari ini dapat dilaksanakan dengan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan.
“Lebih penting, perbincangan yang berlangsung amat produktif dan membuka ruang kepada kedua-dua institusi untuk mengenal pasti peluang kerjasama yang boleh diterjemahkan kepada inisiatif akademik dan penyelidikan bersama pada masa hadapan.
Penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan UMS untuk memperluas jaringan akademik serantau, meningkatkan peluang mobiliti antarabangsa serta memperkukuh penyelidikan rentas sempadan, selaras dengan aspirasi universiti sebagai The Brain of Borneo.


