
Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memberi penekanan terhadap usaha mengetengahkan inovasi pengajaran dan pembelajaran (P&P) digital dalam kalangan warga akademiknya menerusi penganjuran pertandingan E-Learning, Learnovation, Empowerment, Accessibility And Digitalization Competition (eLEAD’26).
Pertandingan yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu memberi tumpuan kepada inovasi dalam bidang P&P yang merupakan teras utama tugas akademik di universiti bagi menggalakkan warga akademik menghasilkan pendekatan pengajaran yang lebih kreatif, interaktif dan berteraskan teknologi.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi berkata, pertandingan itu bukan sekadar medan inovasi, malah menyokong usaha universiti memperkukuh budaya pengajaran kreatif serta transformasi pendidikan tinggi.
"Sebagai sebuah universiti yang beraspirasi menjadi The Brain of Borneo, UMS perlu sentiasa berada di barisan hadapan dalam meneroka pendekatan pedagogi yang lebih kreatif, inklusif dan berimpak tinggi.
"Justeru itu, eLEAD merupakan medan terbaik untuk memangkin cetusan idea baharu, berkongsi amalan terbaik, membina jaringan kolaborasi serta menghasilkan penyelesaian pendidikan yang memberi manfaat kepada pelajar, masyarakat dan negara.
“Di sinilah pensyarah berpeluang untuk meneroka teknologi baharu dalam pendidikan, di mana mereka mengadaptasi teknologi terkini dan pendekatan-pendekatan baharu yang lebih relevan supaya dapat memberikan yang terbaik kepada pelajar,” katanya dalam ucapan perasmian penutupan program berkenaan di sini.
Tambah beliau, penyertaan pertandingan itu yang meningkat kepada 32 peserta pada tahun ini berbanding 14 peserta pada tahun lalu menunjukkan budaya inovasi dalam kalangan warga akademik UMS semakin berkembang.
Dalam pada itu, Rossita memaklumkan para pemenang eLEAD turut berpeluang mewakili UMS ke International University Carnival on E-Learning (IUCEL) 2026, sekali gus membawa inovasi pendidikan universiti ke peringkat nasional dan antarabangsa.
Inisiatif seperti eLEAD katanya selaras dengan Bidang Keberhasilan Utama (KRA) ke- 2 universiti, iaitu Kecemerlangan Akademik, selain menjadi sebahagian daripada perancangan strategik UMS untuk terus responsif terhadap perubahan landskap pendidikan tinggi.
"Teknologi tidak seharusnya menggantikan peranan pensyarah, sebaliknya membantu mereka menjadi pendidik yang lebih kreatif, reflektif dan berfokus kepada pembangunan insan," tegasnya.
Rossita turut berharap pertandingan eLEAD akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan inovasi pendidikan di UMS serta melahirkan lebih banyak penyelesaian pengajaran berimpak tinggi yang mampu meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar dan mengukuhkan kecemerlangan akademik universiti.
Pada majlis tersebut, seramai 32 peserta menerima pingat pertandingan, merangkumi 11 pemenang pingat emas, 11 pingat perak dan 10 pingat gangsa.
Selain anugerah utama pertandingan, eLEAD'26 turut memberikan pengiktirafan kepada inovasi-inovasi cemerlang menerusi tiga anugerah khas.
Anugerah Best iOER/OER dimenangi oleh Profesor Dr. Fong Soon Fook dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) menerusi projek Human-Centric Cybergogy in Action: Fostering Educational Symbiosis Through OPENBOOK@UMS.
Anugerah Best Trend-Setter pula dimenangi oleh Dr. Rosalyn R. Porle dari Fakulti Kejuruteraan (FKJ) melalui projek Interactive Learning Modules for Digital Signal Processing Course.
Sementara itu, Anugerah Best Micro-Flexible disandang oleh Dr. Nurhazwani Yusoff Azudin, juga dari FKJ menerusi projek i-COMPASS: A Human-AI Symbiotic Learning Ecosystem for Chemical Engineering Computation.
Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik, Prof. Madya Dr. Darmesah Gabda dan Pengerusi eLEAD’26, Dr. Norhuda Salleh


