Pilih bahasa anda

Language

UMS Perkukuh Program KTP Ke Pantai Timur Sabah Melalui Prosedur Pembiusan Otak Secara Sedar

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) terus memperkukuhkan peranan dalam pemindahan ilmu dan kepakaran kepada komuniti profesional kesihatan menerusi pelaksanaan Program Knowledge Transfer Programme (KTP) yang memfokuskan kepada teknik pembiusan otak secara sedar atau Awake Craniotomy di Pantai Timur Sabah.

FPSK dalam satu kenyataan menjelaskan, program itu merupakan inisiatif strategik bagi memperluaskan akses kepada latihan klinikal berimpak tinggi, sekali gus meningkatkan keupayaan perkhidmatan pembedahan saraf di Sabah, khususnya di kawasan Pantai Timur.

Antara yang terlibat mengetuai perkongsian kepakaran dalam program tersebut ialah Pensyarah Kanan FPSK, Dr. Yeap Boon Tat yang juga merupakan pakar Neuroanestesiologi dan Neurokritikal FPSK dan Hospital UMS (HUMS)

Menerusi program itu beliau berkongsi pengalaman serta amalan terbaik dalam pengurusan anestesia bagi prosedur Awake Craniotomy ke atas salah seorang pesakit yang menghidap tumor otak di Hospital Tawau.

“Prosedur Awake Craniotomy merupakan teknik pembiusan yang membolehkan pesakit kekal sedar pada fasa tertentu semasa pembedahan otak bagi membantu pakar bedah memantau fungsi neurologi secara langsung.

“Pendekatan ini memerlukan kerjasama yang amat rapat antara pakar bius, pakar bedah saraf dan seluruh pasukan multidisiplin bagi memastikan keselamatan pesakit serta mencapai hasil pembedahan yang optimum,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan FPSK turut menyebut program KTP berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan kepada teknologi dan teknik terkini dalam bidang neuroanestesiologi, malah memperkukuhkan jaringan kerjasama antara UMS dan fasiliti kesihatan di Pantai Timur Sabah dalam usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Menerusi pelaksanaan program seumpama itu juga, UMS terus komited menjadi peneraju dalam pemindahan ilmu, pembangunan modal insan serta memperkukuhkan ekosistem kesihatan negeri menerusi kolaborasi strategik antara institusi akademik dan penyedia perkhidmatan kesihatan.

Usaha itu sekali gus mencerminkan komitmen UMS dalam merealisasikan agenda kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi yang memberi impak langsung kepada pembangunan masyarakat, selaras dengan aspirasi universiti sebagai "The Brain of Borneo”.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda