Pilih bahasa anda

Language

UMS Bantu BAKAT Jana Pendapatan Menerusi Projek Madu Kelulut

 

Projek keusahawanan madu kelulut hasil kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kementerian Pertahanan Malaysia menerusi Program Ekonomi MADANI berjaya membantu ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) di Kem Sri Kinabatangan menjana pendapatan sekitar RM3,000.

Pendapatan itu diperoleh menerusi penjualan madu kelulut asli, sabun wajah, sabun skrap dan gubahan produk madu kelulut yang mendapat sambutan menggalakkan.

Projek fasa kedua yang berlangsung selama enam bulan sehingga September 2026 itu melibatkan pemasangan 40 log kelulut di Taman Madu Meloponini 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD) Kem Sri Kinabatangan yang siap sepenuhnya pada Jun 2026.

Projek tersebut diselaraskan oleh Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM), UMS melalui Fakulti Pertanian Lestari (FPL) UMS dan diketuai oleh Dr. Salumiah Mijin.

Menurut Salumiah, seramai 30 peserta BAKAT mengikuti kursus berkaitan prinsip asas penternakan kelulut, penyediaan dan pengurusan ladang, khasiat serta penuaian madu, selain latihan praktikal pemprosesan produk dan pembuatan sabun berasaskan ibu roti, madu dan propolis.

“Projek tersebut bertujuan memindahkan ilmu dan kemahiran penternakan kelulut kepada komuniti, di samping mengembangkan pengetahuan tentang produk hiliran serta memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan peserta.

“Tuaian kedua dijangka dilaksanakan pada Disember 2026 dengan sasaran pendapatan sehingga RM5,000 menerusi penjualan madu kelulut dan pelbagai produk baharu,” jelasnya.

Pasukan penyelidik projek tersebut terdiri daripada Profesor Dr. Suzan Benedick @ Sarah Abdullah, Dr. Dk. Norhajijah Ak. Mohiddin dan Profesor Dr. Abdul Hamid Ahmad.

Selain itu projek tersebut turut dibantu oleh Profesor Madya Dr. Assis Kamu, Profesor Dr. Jualang @ Azlan Gansau, Dr. Robin Lim Ah Hee dan Dr. Kimberly AK Ador.

Pelaksanaan projek di pihak 22 RAMD Kem Sri Kinabatangan pula diketuai oleh Ketua Kompeni Markas kem berkenaan, Mejar Mohd Syafarisyam Abdul Azis.

Tambah Salumiah, projek itu turut menerima maklum balas positif daripada Panglima Markas Briged Kelima Infantri Malaysia, Briged Jeneral Abdul Razak Haron semasa lawatan rasmi ke Taman Madu Meloponini 22 RAMD Kem Sri Kinabatangan pada 16 Ogos 2026.

Inisiatif tersebut diharap dapat meningkatkan pengetahuan peserta, menggalakkan penghasilan produk inovatif yang berdaya saing serta membina ekosistem keusahawanan kelulut yang mampan demi kesejahteraan komuniti.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda