
Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Program UniMADANI di bawah Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) menyemai amalan pengkomposan dalam kalangan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongkol melalui Projek Penghasilan Baja Kompos dan Cecair Nutrien daripada Sisa Dapur Komuniti.
Projek yang berlangsung dari November 2025 hingga Oktober 2026 itu memberi pendedahan kepada warga sekolah tentang kaedah mengurus sisa dapur, khususnya sisa organik untuk menghasilkan baja kompos dan cecair nutrien yang boleh dimanfaatkan bagi tanaman.
Ketua Projek, Dr. Fera Cleophas berkata inisiatif tersebut bertujuan membina pengetahuan dan kemahiran warga sekolah supaya mereka dapat meneruskan amalan pengkomposan secara kendiri selepas projek berakhir.
“Pemindahan ilmu menerusi projek ini diharap dapat memberi manfaat berterusan kepada warga SMK Bongkol, khususnya dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan pengurusan sisa organik secara lestari.
“Semoga ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat terus diamalkan serta dikembangkan kepada komuniti setempat, walaupun tempoh pelaksanaan projek telah berakhir,” ujarnya.
Sepanjang projek, peserta menjalani latihan amali merangkumi penyediaan bahan kompos, pemantauan suhu dan kelembapan, pengudaraan serta penyelesaian masalah yang timbul sepanjang proses pengkomposan.
Selain itu, peserta juga didedahkan dengan kaedah menghasilkan dan menggunakan cecair nutrien menerusi sesi perkongsian ilmu, demonstrasi dan pemantauan secara berterusan.
Pelaksanaan projek di sekolah itu diselaraskan oleh guru pembimbing, Eva Carolina Edward, dengan sokongan pihak pengurusan SMK Bongkol, termasuk Pengetua, Meijil Totong dan Penolong Kanan, Winah Matanggi.
Projek berkenaan turut melibatkan penyelidik FST UMS iaitu Profesor Madya Dr. Mohd Khalizan Sabullah, Ts. Dr. Nur Zaida Zahari, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Zul Hilmey Makmud, Profesor Dr. Kawi Bidin serta Profesor Dr. Sahibin Abd Rahim.


