Pilih bahasa anda

Language

UMS - JxAAS Bangunkan Teknologi Mikroalga


 
Universiti Malaysia Sabah (UMS) membangunkan teknologi berasaskan mikroalga bagi menyokong kelestarian industri akuakultur menerusi penyelidikan yang memfokuskan rawatan air sisa serta penggunaan semula nutrien dan sumber buangan bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran.
 
Penyelidikan yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS dengan kerjasama Jiangxi Academy of Agricultural Sciences (JxAAS), China tersebut menerima pembiayaan kira-kira RM470,000 di bawah Program Kerjasama Sains dan Teknologi Antarabangsa Wilayah Jiangxi dan akan dilaksanakan sehingga November 2028.
 
Projek berkenaan menumpukan kepada pembangunan teknologi mikroalga yang berupaya merawat air sisa akuakultur, di samping memanfaatkan semula nutrien yang terkandung dalam sisa buangan untuk menyokong pengeluaran yang lebih cekap, menjimatkan sumber dan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
 
Pengarah Institut Penyelidikan Bioteknologi UMS, Profesor Dr. Jualang Azlan Gansau berkata, penyelidikan tersebut bukan sahaja membuka ruang kepada pembangunan penyelesaian bioteknologi yang inovatif, malah berpotensi menyumbang kepada pembangunan industri akuakultur yang lebih mampan.
 
"Kerjasama ini turut memperluaskan perkongsian kepakaran antara penyelidik Malaysia dan China, selain menyokong pembangunan modal insan serta penghasilan teknologi yang mampu dimanfaatkan oleh industri akuakultur di Malaysia dan rantau ini," katanya.
 
Delegasi JxAAS yang diketuai Pengarah Institut Keselamatan dan Piawaian Penyelidikan Produk Pertanian, Profesor Dr. Siming Li bersama dua penyelidik kanan mengadakan lawatan kerja selama empat hari ke UMS bermula 7 hingga 10 Julai bagi memperincikan pelaksanaan projek penyelidikan tersebut.
 
Tambah Jualang, delegasi JxAAS turut mengikuti aktiviti pensampelan dan pengasingan mikroalga bersama penyelidik UMS, selain mengadakan beberapa sesi perbincangan teknikal berkaitan pembangunan teknologi dan pelaksanaan penyelidikan.
 
“Mereka turut melawat Akuarium dan Muzium Marin UMS, makmal penyelidikan IPB serta kemudahan penetasan Institut Marin Borneo (IMB) bagi meninjau kemudahan penyelidikan yang menyokong pelaksanaan projek.
 
“Bagi memperluaskan manfaat penyelidikan kepada industri, delegasi turut mengadakan lawatan ke Perbadanan Pembangunan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) bagi meneroka potensi pemindahan teknologi, pengkomersialan hasil penyelidikan serta aplikasi inovasi dalam sektor akuakultur negara,” ujar beliau.
 
Kerjasama tersebut mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam menerajui penyelidikan berasaskan sains dan inovasi yang mampu menghasilkan penyelesaian teknologi hijau, sekali gus menyokong pembangunan industri akuakultur yang lebih berdaya tahan dan lestari.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda