
Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Kejuruteraan (FKJ) terus meningkatkan kompetensi praktikal pelajar dalam bidang ukur kejuruteraan menerusi program Survey Camp SCMMXXVI yang berlangsung di Kundasang, baru-baru ini.
Menurut kenyataan dari FKJ, program yang diketuai oleh pensyarah kanan di FKJ, Profesor Madya Sr. Ts. Dr. Asmawan Mohd. Sarman itu melibatkan penyertaan 63 orang pelajar Tahun Dua Program Kejuruteraan Awam di bawah kursus KA20801 Survey Camp.
Program berkenaan turut melibatkan warga akademik di FKJ, antaranya Ir. Dr. Nelly Majain, Ts. Dr. Elis Mardzianah Datuk Hj. Mazlan, Ts. Dr. Muhd Fauzy Sulaiman, Nur Afini Septiyana Normat dan Dayang Masliah Marsuka.
“Program ini antara lain bertujuan untuk memberi pengalaman pembelajaran berasaskan amali yang menghubungkan teori di bilik kuliah dengan aplikasi sebenar di lapangan.
“Sepanjang program berlangsung, para pelajar melaksanakan pelbagai aktiviti ukur kejuruteraan termasuk Open Traverse Survey, Closed Traverse Survey, Levelling, Tacheometry, Detail Survey, Setting Out, As-Built Survey serta reka bentuk digital menggunakan Autodesk Revit.
“Pelajar turut mengumpul, menganalisis dan memproses data lapangan menggunakan perisian AutoCAD dan QGIS bagi menghasilkan pelan traverse, peta kontur, lukisan kejuruteraan serta cadangan susun atur tapak,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Kenyataan itu turut menjelaskan, program berkenaan turut merangkumi sesi pembentangan projek dan Individual Field Test yang memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran dalam mengendalikan peralatan ukur, menjalankan pengukuran lapangan dan menyelesaikan tugasan kejuruteraan dalam situasi sebenar.
Inisiatif tersebut sekali gus membantu meningkatkan keyakinan diri, pemikiran kritis, kemahiran komunikasi, kepimpinan serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
Program diakhiri dengan majlis penutup yang mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar menerusi beberapa kategori pertandingan, termasuk Survey Race, Pertandingan Poster Individu, Pertandingan Video Montaj Berkumpulan, Best Group Survey Camp, Best Individual Male dan Best Individual Female.


