Muffin untuk Minggu Suai Mesra 2011
Persatuan Mahasiswa Sekolah Sains Makanan dan Pemakanan (PMSSMP) di bawah Exco Keusahawanan telah menubuhkan Unit Muffin bagi menyediakan tempahan muffin secara pukal sempena Minggu Suai Mesra (MSM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) tahun 2011. Unit ini terdiri daripada 22 orang petugas yang beroperasi di Makmal Bakeri SSMP.
Objektif aktiviti ini adalah untuk:
- Memberi peluang kepada mahasiswa/i untuk belajar tentang keusahawanan dan pengurusan perniagaan melalui pengalaman.
- Memberi pendedahan kepada mahasiswa/i tentang unit operasi dalam industri makanan.
- Memberi pendedahan kepada mahasiswa/i tentang cara penggunaan peralatan di dalam Makmal Bakeri SSMP.
- Menyediakan muffin yang berkualiti, sedap dan selamat dimakan untuk mahasiswa/i baru sempena Minggu Suai Mesra UMS 2011.
- Menaikkan nama SSMP sejajar dengan bidang kepakaran dalam sains dan teknologi makanan, yang juga meliputi sains pemakanan dan perkhidmatan makanan.
Secara tentatifnya, aktiviti penyediaan muffin ini bermula dari 2 – 11 September 2011, bermula dengan pencarian resepi-resepi dan formulasi muffin, pembelian bahan-bahan mentah secara pukal, ujian penilaian sensori terhadap penerimaan pengguna mengikut formulasi berbeza, pengubahsuaian formulasi, sehinggalah penghasilan muffin secara besar-besaran (pukal) atau dalam kuantiti yang banyak.
Secara umumnya, terdapat tiga perisa muffin yang ditempah dan disediakan, iaitu perisa oren, vanilla dan coklat. Di akhir aktiviti Unit Muffin, SSMP berjaya menyediakan 13500 biji muffin dengan 4500 biji muffin masing-masing berperisa oren, vanilla dan coklat sebagaimana yang ditempah mengikut masa yang ditetapkan. Muffin yang berjaya disediakan dipek secara berasingan dan dihantar ke Dewan Canselor untuk diagih-agihkan kepada mahasiswa/I baru UMS.