RABU, 27 MAC – Penganjuran Biodiversity Festival @ ITBC anjuran Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu menjadi platform terhadap memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penjagaan biodiversiti khususnya di negeri Sabah.

Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Monica Suleiman berkata, penganjuran festival tersebut juga antara lain memberi ruang kepada agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dengan aktiviti pemuliharaan biodiversiti di Sabah untuk bersama-sama menyampaikan pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan penjagaan alam sekitar, sekali gus mewujudkan interaksi di antara institut dengan masyarakat melalui pengisian aktiviti yang dapat memberikan semangat dan pengetahuan.

“Antara aktiviti yang diadakan sempena Biodiversity Festival 2019 adalah seperti Bird Watching, Fun Shooting Archery, Bengkel Fotografi, Young Scientist at Work, Board Games, Galeri BORNEENSIS Open Day,  ceramah berkenaan kepelbagaian Biologi, Spelling Bee, tayangan video, pertandingan mewarna, pertandingan pakaian ‘Mascot’ serta penyertaan oleh peniaga Food Trucks.

“Aktiviti utama pula adalah program Rakan BORNEENSIS yang menyasarkan penglibatan generasi muda dari sekolah rendah dan menengah dengan tujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran kepada pelajar sekolah terhadap kepentingan pemeliharaan alam semula jadi ke arah persekitaran lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Biodiversity Festival @ ITBC 2019 dan Majlis Penutupan Rakan BORNEENSIS 2019 yang berlangsung di perkarangan bangunan IBTP, pagi tadi.

Tambah Dr. Monica, Biodiversity Festival 2019 yang terbuka kepada orang awam itu diharap mampu membawa manfaat kepada semua pihak lantas melahirkan generasi muda yang lebih mencintai alam semula jadi khusus kepada biodiversiti kerana alam flora dan fauna sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan seharian masyarakat.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin melalui teks ucapan perasmian yang disampaikan oleh Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam, Prof. Dr. Baba Musta berkata, pihak pengurusan UMS menyambut baik segala usaha dan pencapaian IBTP sebagai sumber rujukan berbagai pihak luar dan dalam negara mengenai hal-hal kepelbagaian biologi dan pemuliharaan.

“Melalui program Rakan BORNEENSIS yang telah dilaksanakan sejak 2015 misalnya memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai pelbagai ilmu serta kemahiran berkaitan dengan penghayatan kepelbagaian serangga, tumbuhan, mamalia, burung dan sebagainya.

“Setelah melaksanakan program ini selama tiga hari dengan penglibatan seramai 39 orang murid dari 12 sekolah menengah, 9 sekolah rendah dan 1 home school, saya melihat ini sebagai suatu perkembangan yang positif tahun ini.

“Sekiranya jumlah tersebut bertambah tahun hadapan, mungkin ada keperluan IBTP mengadakan program berkenaan di daerah-daerah lain di seluruh Sabah pula,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Prof. Dr. Baba Musta kemudiannya menyampaikan sijil peserta program Rakan BORNEENSIS kepada 39 peserta.

SELASA, 26 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Pengurusan EcoCampus bersama-sama Young Leaders For Sustainability (YL4S) Group telah menganjurkan bersama Program ‘No Trash In Stash (NTrIS) 4.0 Programme 2019: Zero Plastic Heroes’ baru-baru ini.

Program yang berlangsung di Bilik Seminar Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS dan Pantai ODEC UMS antara lain adalah bertujuan untuk memberikan kesedaran tentang pencemaran plastik dan kesannya terhadap keharmonian alam sekitar, sosial dan ekonomi persekitaran serta memberikan motivasi kepada kumpulan sasaran, iaitu para pengusaha kafeteria dan gerai makanan di UMS untuk terlibat secara langsung dalam iltizam UMS menuju ke arah ‘kampus sisa sifar’ seperti yang telah diumumkan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam amanat beliau pada 15 Mac lalu.

Pemangku Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus UMS, Kueh Boon Hee @ Kelvin berkata, penganjuran program tersebut adalah selari dengan Agenda EcoCampus yang diangkat oleh UMS sejak Februari 2013 dengan berpaksikan lima nilai teras dan enam elemen utama berkisarkan hasrat untuk menjadikan UMS sebagai rujukan serantau dan sedunia dalam pengawasan alam sekitar melalui kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, pembangunan infrastruktur, pengurusan, amalan operasi dan pengalaman kampus.

“Agenda EcoCampus dilaksanakan bukan hanya untuk para siswa-siswi dan kakitangan UMS, malahan turut ditujukan kepada para pemegang taruh termasuklah para pengusaha kafeteria dan gerai makanan kita.

“Pengalaman kampus dan gaya hidup hijau berteraskan EcoCampus mampu memberikan kelebihan dalam jangka masa panjang melalui pengurangan pencemaran dan mewujudkan alam sekitar yang lestari, manakala manfaat dalam jangka masa pendek pula membolehkan peningkatan hasil pendapatan dalam perniagaan melalui tarikan terhadap amalan hijau serta aspek kelestarian alam sekitar yang ditonjolkan oleh para pengusaha kafeteria dan gerai makanan,” katanya.

Tambah beliau, satu kajian kes terhadap satu rangkaian restoran di Bangkok yang telah memperkenalkan penggunaan batang kangkung sebagai penyedut minuman pada tahun lalu telah menjadi sensasi dan mempopularkan restoran tersebut.

Sementara itu, salah seorang ahli YL4S yang merupakan Ketua Projek ‘No Plastic Straw Campus Action Agenda’, Imelda Geoffrey berpendapat penggunaan penyedut minuman plastik dalam kehidupan seharian sebenarnya tidak diperlukan.

“Secara kontrasnya, kita tidak menggunakan penyedut minuman untuk minum di rumah.

“Bahan plastik hampir bersifat ‘abadi’ kerana mudah terurai dan membentuk plastik mikro atau nano yang sudah pun terbukti secara saintifik telah memasuki ikan yang dimakan di lautan, garam, air minuman dan tubuh badan manusia, dan kita harus melakukan tindakan sewajarnya bagi membendung perkara ini daripada terus melarat,” ujar beliau.

Pada program tersebut, turut berlangsung aktiviti demonstrasi pembersihan pantai selama 30 minit yang menyaksikan sejumlah 41.8 kg sampah sarap berjaya dikumpulkan, dengan botol plastik (9 kg), bahan buangan berasaskan kain (7 kg) dan pembalut plastik (5 kg) antara bahan yang terkumpul, sekali gus memberi bayangan kepada peserta program terhadap impak negatif pencemaran sampah sarap bahan buatan manusia, khususnya pencemaran plastik serta keperluan untuk usaha berterusan dan penglibatan yang tegar dalam pengurangan sisa buangan di kampus UMS.

ISNIN, 25 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS)  berusaha untuk mencapai kecemerlangan akademik dalam pelbagai bidang dengan memperoleh pelbagai pencapaian dan pengiktirafan antarabangsa.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, usaha itu merangkumi aspek  pembelajaran dan pengajaran, penyelidikan dan penerbitan, perkhidmatan sosial, serta  pengkhususan yang seimbang dalam pengetahuan dan perkembangan personaliti pelajar.

“Ia seiring dengan harapan universiti untuk menjadi sebuah institusi yang pakar dalam melatih serta melahirkan tenaga sumber manusia yang mampu bersedia mendepani kepesatan perkembangan dan cabaran masa depan (future-proof human resource).

“Dalam masa sama, ia membolehkan universiti ini mewujudkan modal insan yang bersedia menyumbang ke arah kemajuan masyarakat sejagat dan negara,” katanya.

Datuk Dr. D Kamarudin berkata demikian pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) yang bertemakan “Meet & Greet, Local, International Students and Postgraduates”, di Ruang Legar Bangunan PPIB, hari ini.  Teks ucapan beliau disampaikan Penolong Naib Canselor, Prof. Dr. Marcus Jopony.

Menurut Datuk Dr. D Kamarudin, UMS sentiasa komited sepenuhnya untuk mencapai standard kualiti tertinggi dalam aspek akademik dan bukan akademik.

“Sejak penubuhannya, UMS telah menghasilkan sumber manusia, pakar dan profesional dalam pelbagai bidang.

“Dengan visi melahirkan pendidikan berkualiti tinggi kepada siswa-siswi tempatan dan global, para pelajar prasiswazah dan pascasiswazah menerima bimbingan dan peluang pembelajaran dalam persekitaran yang menghargai bakat dan inovasi,” jelasnya.

Program Hari Terbuka yang diadakan sehingga 29 Mac 2019 itu turut diisi dengan kempen derma darah, gerai jualan, persembahan pelajar antarabangsa dan acara kebudayaan.

Hadir sama pada majlis perasmian, Dekan PPIB, Prof. Dr. Jualang @ Azlan Abdullah Gansau.

 

 

ISNIN, 25 MAC - Program Khidmat Komuniti Universiti Malaysia Sabah (UMS) Menaiktaraf Bangunan Kelas Tahun Tiga di Sekolah Kebangsaan Tampulan, Telipok merupakan inisiatif daripada UMS sebagai usaha untuk membantu sekolah daif sekitar negeri Sabah.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk K Y Mustafa berkata, ini juga adalah usaha UMS dalam membantu pembangunan pendidikan di Sabah, di samping menjadi medium kepada para pelajar untuk bergiat aktif dalam hal ehwal sukarelawan bagi mencurah bakti sesuai dengan idea memasyarakatkan siswa.

“Projek yang turut dibantu oleh Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS ini telah dilaksanakan oleh Kelab Penyayang UMS yang terdiri daripada pelajar UMS seramai 15 orang, dan telah bermula sejak bulan Oktober 2018 sehingga projek ini selesai dan sedia untuk digunakan.

“Saya dimaklumkan, sepanjang projek ini dijalankan, pihak sekolah bersama dengan penduduk kampung sekitar SK Tampulan turut sama membantu dan memberi tunjuk ajar kepada sukarelawan UMS yang terlibat dalam memastikan projek ini dapat dilaksanakan seperti yang telah dirancang, dan sudah pasti nilai tambah yang diperolehi oleh pelajar yang terlibat ini akan menjadi pengalaman bermakna buat mereka sebagai kegunaan dimasa hadapan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program tersebut di SK Tampulan, Telipok.

Tambah Datuk K Y Mustafa, nilai tambah yang diperoleh tersebut bertepatan dengan nilai-nilai dalam Pendidikan yang ditekankan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik iaitu Sayang (Love), Kegembiraan atau Kebahagiaan (Happiness) dan Saling Menghormati (Mutual Respect).

“Setelah  bangunan ini dinaiktaraf kita berharap agar murid-murid dapat melalui proses pelajaran dan pembelajaran  dengan lebih kondusif dan semoga usaha ini mampu menjadi sumber motivasi kepada para pelajar untuk terus cemerlang.

“Sebagai  institusi pendidikan tinggi yang berada di negeri ini, UMS sentiasa komited untuk terus menjalinkan hubungan bersama dengan sekolah-sekolah sekitar Sabah untuk sama-sama berbakti dan menyumbang dalam memastikan pendidikan di Sabah tidak ketinggalan.

“Tambahan pula, Menteri Pendidikan sendiri telah meletakkan keutamaan dalam membantu sekolah-sekolah daif yang ada di Sabah sebagaimana yang disebutkan dalam amanat beliau pada awal tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Mistirine Radin berkata, SK Tampulan, Telipok amat bertuah kerana menjadi pilihan Kelab Penyayang UMS untuk menjalankan khidmat komuniti.

Katanya, sekolah tersebut sememangnya menghadapi keperluan mendesak kerana sebelum ini keadaan kelas yang asal adalah daif dan tidak kondusif bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran, dan telah berlaku sekian lama sehingga menggangu tumpuan murid ketika belajar dan guru yang mengajar juga terjejas terutama semasa keadaan cuaca melampau.

“Projek Menaiktaraf Kelas Tahun Tiga ini adalah hadiah yang sangat bernilai kepada sekolah ini, khususnya kepada murid-murid yang akhirnya dapat mengalami suasana kelas sebenar.

“Kemudahan ini diharap dapat meningkatkan lagi semangat mereka untuk hadir ke sekolah, sekali gus melonjakkan prestasi dalam bidang akademik dan kokurikulum, serta guru-guru juga akan lebih mudah mengaplikasikan pedagogi dan pembelajaran abad ke-21” katanya dalam teks ucapan yang disampaikan oleh wakil beliau, Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Terry Henry.

Pada majlis tersebut, Datuk K Y Mustafa menandatangani plak perasmian kelas tahun tiga serta memotong reben sebagai simbolik kepada perasmian naiktaraf kelas tersebut.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali; Guru Besar SK Tampulan, Fo Nee Khen; Pemaju Mukim Inanam, Ronny Roger Biun yang mewakili ADUN Inanam, Kenny Chua Teck Ho; dan Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof.

JUMAAT, 22 MAC - Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS), menandatangani Surat Niat (LoI) dengan Exorin Technologies Sdn. Bhd. di  FKJ, baru-baru ini.

Melalui kerjasama itu, enam buah bas UMS akan digunakan untuk menguji kecekapan produk Exorin bagi mengurangkan pelepasan ekzos berbahaya dan asap hitam seperti karbon monoksida, hidrokarbon dan pelepasan karbon hitam yang merupakan pencemar utama pelepasan diesel.

Dekan Fakulti Kejuruteraan UMS, Prof. Ir. Dr. Abdul Karim Mirasa berkata, LoI itu akan menjadi peluang terbaik untuk UMS untuk belajar tentang industri hijau, dan menggunakan teknologi ini untuk menjadi penghubung kepada industri.

"UMS dan pasukan Exorin bekerja keras untuk menjadikan teknologi ini tersedia untuk semua orang dalam bentuk produk yang cepat, mudah dan pantas agar semua pihak dapat memainkan peranan untuk berkongsi tanggungjawab global dalam menjaga alam sekitar.

“Teknologi ini akan menjadi sebuah penyelesaian untuk memerangi pencemaran yang semakin meningkat dan mengurangi perubahan iklim,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Prof. Ir. Dr. Kasim, teknologi itu berpotensi untuk menjimatkan kos kepada industri tempatan ke arah industri berkarbon rendah.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Exorin Technologies Sdn. Bhd, Clement Lee Nyuk Yin berkata teknologi yang dihasilkan syarikat itu terbukti berfungsi pada setiap enjin diesel.

“Sekarang dengan para pakar UMS untuk meningkatkan dengan formulasi, kami mengambil kesempatan ini untuk meminta setiap industri Malaysia memberi peluang kepada produk tempatan Sabah untuk menghasilkan dan mengeluarkan produk ini.

“Tujuan Exorin adalah untuk memelihara alam sekitar dan untuk generasi akan datang,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FKJ UMS, Dr. Abu Zahrim Yaser.