JUMAAT, 28 JUN - UNICEF Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan satu bengkel latihan pengurusan kewangan Harmonised Approach to Cash Transfer (HACT) di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan baru-baru ini.

Pegawai UNICEF, Anne Albert berkata, bengkel itu bertujuan untuk memberikan pengetahuan kepada rakan strategik UNICEF di Sabah tentang garis panduan dan prosedur pengurusan serta pemindahan dana dari UNICEF. 

"HACT adalah satu prosedur kewangan yang direkabentuk oleh UNICEF untuk mempromosikan kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan oleh rakan-rakan strategik UNICEF.

“Biaya operasi UNICEF diterima sebahagian besarnya daripada sumbangan orang ramai, justeru kami perlu mengamalkan kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan untuk mengekalkan kepercayaan penyumbang kami," katanya ketika menyampaikan ceramah.

Sementara itu, pensyarah program komunikasi UMS, Lai Che Ching berkata, latihan tersebut sangat penting dan bermakna, kerana ia akan membantu dalam pengurusan kewangan untuk Unit Penyelidikan Komunikasi Pembangunan (C4D ) UMS nanti.

"Ia akan banyak membantu  khususnya dalam soal ketelusan pengurusan dana,” ujarnya yang hadir mewakili Unit C4D yang bakal ditubuhkan di universiti itu melalui dana sumbangan UNICEF.

Bengkel sehari tersebut turut dihadiri Pejabat Wilayah Asia Pasifik untuk Special Olympic bersama-sama dengan wakil dari Special Olympic Sabah serta wakil pejabat Bendahari dan Pusat Jaringan Industri dan Komuniti UMS.

KHAMIS, 27 JUN - Persidangan Pendidikan Kejuruteraan Asia ke-8 (ACEE 2019) anjuran bersama Fakulti Kejuruteraan (FKJ) dan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Korea Maritime Ocean University yang berlangsung di UMS memberi tumpuan kepada pendekatan inovatif dalam melaksanakan paradigma Pendidikan, Sains, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Persidangan itu menghimpunkan 60 peserta termasuk ahli akademik dari Jepun, China dan Korea Selatan yang bertujuan untuk memberi peluang pertukaran-pertukaran idea, pengalaman dan penyelidikan bersama dalam pendidikan kejuruteraan di kalangan pendidik, pelajar dan jurutera di Asia.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam ucapan perasmiannya sempena persidangan tersebut berkata, penekanan khusus perlu difokuskan pada praktikal dalam kejuruteraan inovatif dan pembaharuan dalam model pengajaran, khususnya dalam pelaksanaan paradigma pendidikan STEM.

“Dalam abad ke-21 ini, inovasi dalam pendidikan STEM dijadikan relevan dengan kemasukan projek pelbagai disiplin.

“Ini akan meningkatkan daya saing dalam pembangunan sains dan teknologi serta pembangunan tenaga kerja di Asia, khususnya dalam konteks Malaysia,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail.

Beliau turut berharap agar para peserta ACEE 2019 mendapat manfaat daripada persidangan tersebut dan menggunakan kapasiti mereka untuk menyumbang dan meningkatkan pengetahuan dalam bidang STEM.

Persidangan yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKJ, Prof. Madya Dr. Ismail Saad dan pensyarah kanan FPEP, Prof. Madya Dr Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul berlangsung selama tiga hari dan berakhir kelmarin.

 

 

KHAMIS, 27 JUN – Seramai 110 kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS)dari pelbagai gred jawatan telah menghadiri Bengkel Jawatankuasa Penyiasatan Kehilangan Aset Alih UMS baru-baru ini.

Bengkel yang berlangsung selama dua hari di Galeri Majlis, UMS itu dianjurkan oleh Sektor Pengurusan Harta dan Risiko, Jabatan Bendahari dengan kerjasama Unit Latihan, Jabatan Pendaftar

Bengkel itu dikendalikan oleh pegawai dari Unit Dasar Pengurusan Aset, Bahagian Pengurusan Aset Awam, Kementerian Kewangan Malaysia, Sairol Anuar Ibrahim yang berpengalaman luas mengendalikan kursus berkaitan kepada agensi persekutuan dan badan berkanun seluruh negara.

Sementara itu, Timbalan Bendahari Kanan, Mohamad Edrus Othman yang mewakili Bendahari UMS, Zallifah Shadan menyempurnakan acara penutupan bengkel tersebut berkata, beliau berharap agar para peserta bengkel dapat menggunakan ilmu dan kemahiran tambahan yang diperoleh daripada bengkel ini dengan sebaiknya.

“Kita juga berharap agar kerjasama erat antara UMS dan Bahagian Pengurusan Aset Awam Kementerian Kewangan akan berterusan khususnya dalam program-program pemindahan ilmu seperti ini,” ujar beliau.

 

RABU, 26 JUN 2019 -  Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) diharap agar terus mengorak langkah melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat bukan sahaja kepada ahli malah kepada masyarakat setempat.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, sebagai sebuah kelab yang dipelopori oleh wanita, beliau amat kagum dengan perkembangan kelab itu yang banyak membuat perubahan sejajar dengan perubahan yang dibawa oleh universiti.

”Saya yakin melalui barisan kepimpinan KESUMBA serta ahli jawatankuasa, maka kelab ini akan terus maju dan dapat merealisasikan matlamat kelab yang antara lain berusaha meningkatkan imej dan nama baik universiti melalui hubungan kerjasama serta penganjuran aktiviti yang memberi manfaat kepada ahli.

“Sehubungan dengan itu, bersempena dengan Mesyuarat Agung ini, saya berharap semua ahli KESUMBA dapat mencapai kata sepakat dan objektif yang ingin dicapai.

 “Gunakan peluang dan ruang ini sebaiknya bagi memperkukuh pencapaian dan hala tuju KESUMBA di masa akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kesumba kali ke-22, di sini hari ini.

Prof. Datuk Dr D Kamarudin turut  mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada warga KESUMBA dan memohon kemaafan sekiranya terkasar bahasa atau terdapat sebarang perbuatan menyinggung perasaan sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua atas kerjasama dan sokongan diberikan selama ini, hanya Allah SWT dapat membalasnya,” katanya.

Mesyuarat Agung Tahunan KESUMBA pada kali ini turut menyaksikan pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang baharu.

Hadir sama Yang Dipertua KESUMBA, Datin Roha Asmara; Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof; dan Bendahari UMS, Zallifah Shadan.

 

 

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertekad untuk menjadi pusat penyebaran ilmu pengajian bagi melahirkan pendidikan tinggi yang berkualiti kepada pelajar dan cendekiawan di peringkat global mahupun setempat.

Menurut Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, UMS bertekad untuk menyediakan bimbingan dan peluang pembelajaran dalam suasana persekitaran yang menekankan inovasi dan bakat.

“Sejak ditubuhkan, UMS telah memberikan usaha yang konsisten dengan menyediakan ahli akademik yang berkebolehan, membangunkan infrastruktur dan mekanisme moden, dan juga disokong oleh pihak pengurusan yang menyediakan dasar berkesan dalam usaha memupuk pemikiran kritis di kalangan generasi muda,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Minggu Suai Mesra Asasi Sains Sesi 2019/2020 Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS, kelmarin.

Terdahulu Prof. Dr. D Kamarudin menyeru seluruh warga UMS untuk meletakkan nilai keikhlasan dan menetapkan fikiran yang satu untuk menyempurnakan matlamat agar sentiasa melangkah maju ke hadapan.

“Kita tidak mahu menoleh lagi ke belakang, kita harus bersatu dan menggembleng tenaga bersama-sama agar kita semua berjaya ke destinasi yang dituju tanpa ada seorang yang tertinggal di belakang,” ujarnya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Rasid Mail.

Beliau turut menasihatkan agar para pelajar baharu Asasi Sains untuk mengambil peluang dan memanfaatkan sebaiknya kehidupan kampus sebagai bekalan memasuki alam pekerjaan kelak.

“Selain bekalan transkrip akademik yang dibawa untuk memasuki alam pekerjaan, aspek-aspek lain seperti keterlibatan dalam aktiviti universiti dapat meningkatkan tahap keyakinan diri. Saya doakan agar anda semua memperkukuhkan iltizam dan menzahirkan usaha menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh demi melakar masa depan yang lebih terjamin,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengarah PPST, Profesor Madya Dr. Sazmal Effendi Arshad menyatakan seramai 240 pelajar yang berasal dari seluruh Malaysia berjaya mengikuti pengajian Asasi Sains UMS pada tahun ini.

Tambah beliau, PPST akan terus memikul tanggungjawab dan amanah untuk sentiasa mendahulukan agenda universiti dalam program asasi sains yang bertujuan memberi pendedahan asas sains yang kukuh kepada para pelajar sejajar dengan kemudahan universiti yang disediakan.

“Harapan kita agar PPST dapat meneruskan misi untuk menyediakan lebih ramai lagi pelajar bagi mengikuti program sains di peringkat prasiswazah pada masa akan datang,” katanya.