RABU, 14 SEPTEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) menghantar enam pelajar mengikuti Program Mobiliti Berkredit di Universitas Mercu Buana (UMB), Indonesia baru-baru ini.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Alumni FPP, Dr. Getrude Cosmas berkata, kesemua pelajar yang terlibat merupakan pelajar daripada Program Industri dan Organisasi, Program Pembangunan Belia dan Komuniti  serta Program Psikologi Kanak-kanak dan Keluarga.

“Mereka akan mengikuti program tersebut selama satu semester atau enam bulan sebelum kembali semula ke UMS,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang turut mengetuai rombongan pelajar tersebut ketika berangkat ke Jakarta turut mengongsikan pengalaman apabila disambut mesra oleh pelajar UMB yang pernah mengikuti program yang sama di UMS.

“Saya bersama semua pelajar UMS yang terlibat menerima layanan yang baik dan kami turut diberi taklimat dan penerangan terperinci berkaitan dengan kampus UMB semasa majlis penyerahan pelajar UMS kepada UMB di sana.

“Kami sangat berterima kasih kerana kami turut dialu-alukan dalam majlis tersebut oleh enam pegawai utama UMB yang diketuai Wakil Rektor Bidang Kelembagaan dan Sumber Daya,  Dr. Purwanto SK,” tambah Dr. Getrude.

Para pelajar UMS turut dibawa melawat ke sekitar UMB termasuk ke Fakultas Psikologi, Perpustakaan, Pusat Latihan Pelajar, Pusat Penyelidikan dan beberapa kawasan menarik di kampus berkenaan.

Turut berangkat sama ke UMB Jakarta ialah Penolong Pendaftar FPP, Jamal Atong.

Sementara itu, Dr. Getrude juga berkata, kerjasama yang dijalinkan antara UMS-UMB menerusi program berkredit banyak memberikan peluang kepada pelajar daripada program Psikologi untuk mendapatkan pengalaman baharu dan ilmu yang mungkin berbeza dengan persekitaran di UMS.

“Terdapat beberapa kursus psikologi yang tidak ditawarkan di FPP ditawarkan di UMB seperti Psikologi Forensik dan Analisis Kesulitan Belajar,” katanya.

Untuk rekod enam pelajar UMS yang terpilih mengikuti program mobiliti itu ialah Chiew Hing Chun, Noor Syazlin Noh, Nurul Nabila Burhanuddin, Dhasni Chander, Ruvina Indran dan Herdanarena Samsuddin.

Sumber: Fakulti Psikologi dan Pendidikan

SELASA, 13 SEPTEMBER – Sebanyak 10 ekor lembu dikorbankan oleh pihak Universiti Malaysia Sabah bersempena dengan sambutan Aidiladha peringkat UMS.

Lima ekor lembu disembelih di perkarangan Masjid UMS pagi tadi, manakala selebihnya disembelih di perkarangan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, Masjid UMS, dan di Kampung Giling, Tuaran pada pagi Hari Raya Aidiladha, kelmarin.

Menurut Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan UMS, Ustaz Razali Saibin, acara penyembelihan pada pagi tadi melibatkan seramai lebih 50 warga kakitangan UMS, dan bermula dengan taklimat ringkas oleh Konsultan Penyembelihan Halal, Ustaz Sablee Abdul Rahman.

“Taklimat awal diberikan adalah bagi memperingatkan kembali kaedah penyembelihan mudah yang diajar dalam satu siri kursus yang dianjurkan sebelum ini.

“Penglibatan golongan muda dalam acara ibadah korban pada kali ini amat menggalakkan, dan perkembangan ini sesuatu yang positif memandangkan tenaga muda sememangnya diperlukan bagi aktiviti-aktiviti menumbangkan lembu-lembu korban tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Sablee turut berharap agar golongan muda terus melibatkan diri dalam aktiviti penyembelihan dan ibadah Qurban kerana ibadah ini berkait rapat dengan makanan seharian masyarakat.

“Golongan belia wajar mempelajari teknik penyembelihan haiwan secara mudah dan halal bagi memastikan sumber daging halal sentiasa berterusan.

“Anak muda seawal usia 12 tahun boleh mula mempelajari kaedah penyembelihan, dimulakan dengan penyembelihan ayam atau kambing, kerana ini adalah satu kemahiran yang mereka boleh amalkan di mana-mana sahaja,” ujarnya.

SELASA, 13 SEPTEMBER - Hampir seribu mahasiswa menjayakan Sambutan Hari Raya Aidiladha peringkat Kolej Kediaman E, semalam.

Menurut Timbalan Pengetua Kolej, Mohd Hilmey Saili, majlis tersebut merupakan anjuran bersama Kelab Nur Eman dan Exco Pembangunan Sahsiah dan Modal Insan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) kolej berkenaan.

“Selain hidangan pelbagai juadah, sambutan ini diserikan  lagi dengan Lafaz Takbir Raya, tayangan montaj dan nyanyian lagu raya daripada pelajar.

“Majlis yang bermula pada jam 8.00 - 10.00 malam itu turut sama-sama dimeriahkan oleh pelajar dari Kolej Kediaman Tun Mustapha dan Kolej Kediaman Tun Fuad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Hilmey berkata, program tersebut bertujuan meraikan warga Kolej Kediaman E yang tidak berkesempatan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga.

“Di samping itu, melalui penganjuran program seumpama ini, ia mampu mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan pengurusan kolej bersama mahasiswa  khususnya yang tinggal di Kolej Kediaman E, UMS,” tambahnya lagi

Majlis turut dihadiri para felo, JAKMAS, Majlis Ketua-Ketua Blok (MKKB) dan Majlis Ketua-Ketua Kelab (MKKK) Kolej Kediaman E.

JUMAAT, 09 SEPTEMBER - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, kerjasama tiga penjuru menjadi cara terbaik di peringkat antarabangsa untuk menentukan pembangunan mampan serta pengurusan pemuliharaan ekosistem di negara-negara membangun secara bersepadu.

Katanya, langkah itu akan dicapai menerusi Program Latihan Negara Ketiga (TCTP) Sabah yang dijalankan bagi pusingan ketiga tahun ini.

“Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) selaku institusi latihan akan menyelaraskan aktiviti TCTP dengan pejabat Sumber Asli (NRO) Kerajaan Negeri.

“Penyelarasan aktiviti oleh NRO ini disokong penuh oleh pelbagai agensi termasuklah Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Taman-Taman Sabah (TTS) dan Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC).

“Program latihan ini juga akan diletakkan di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang kini di bawah bidang kuasa Kementerian Luar Negeri Malaysia,” katanya ketika merasmikan pelancaran TCTP Sabah 2016 yang bertemakan ‘Kursus Biodiversiti Bersepadu dan Latihan Pemuliharaan Ekosistem’, kelmarin.

Datuk Harun berkata, MTCP dan Kerajaan Jepun melalui Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) akan bersama-sama membiayai program latihan berkenaan.

“Para peserta TCTP tahun ini adalah dari Negara India, Uganda, Botswana, Afrika Selatan, Myanmar, Sri Lanka, Vietnam, Kemboja, Filipina dan Thailand,” katanya.

Justeru beliau berharap agar kerjasama itu akan terus terjalin di antara organisasi yang terlibat sekali gus menjadikan Sabah sebagai model kecemerlangan pemuliharaan biodiversiti dan ekosistem peringkat kebangsaan, serantau  dan seluruh dunia.

JUMAAT, 26 OGOS Program Daycare Pusat Minda Lestari (PML) dengan kerjasama Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah telah menganjurkan pertandingan mewarna sempena bulan kemerdekaan baru-baru ini.

Bertempat di Bilik Koleksi Kanak-Kanak Perpustakaan UMS, pertandingan ini antara lain bertujuan memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan murid-murid Daycare PML.

Pertandingan tersebut terbahagi kepada tiga kategori iaitu peringkat 4 tahun, 5 tahun dan 6 tahun.

Bagi kategori 6 tahun, johan disandang oleh adik Ahmad Nadzhan Adzraei Hasmadi, manakala adik Nurul Hannan Dammed dan adik Mohd Fauzan Harith masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.

Kategori 5 tahun pula menyaksikan adik Nurul Junainah Muhammad Naseef muncul johan, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh adik Nurul Safiyyah Zahira Mayga dan adik Aryan Hasif Lai Latif Lai.

Adik Irsyad Ruzaini Bin Rahmat pula muncul johan bagi kategori 4 tahun, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing dimenangi adik Amanda Alisha Mohd Hilmey dan adik Aisyah Humaira Mustapha.

Pertandingan sebegini giat dijalankan oleh PML bagi memberi peluang terhadap perkembangan sosio emosi murid, selain memperkembangkan daya intelek dan melatih perkembangan motor halus ke arah perkembangan yang lebih baik.

Sumber: Pusat Minda Lestari UMS