Minat mendalam terhadap sains pemakanan menjadi pendorong semangat graduan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Abdul Hakim Abdul Wahid menamatkan pengajian dengan cemerlang sehingga terpilih sebagai penerima anugerah Hadiah Zainal Abidin Bador pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-26.

Abdul Hakim yang dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pemakanan pada sidang kedua majlis tersebut berpendapat, program pengajian dalam bidang Nutrisi bukan hanya memfokuskan kepada peperiksaan atau hafalan semata-mata tetapi merujuk kepada cara memahami manusia itu sendiri secara keseluruhan.

”Dengan mengenali seseorang yang mampu memberi pengaruh dalam program pemakanan yang efektif, pada akhirnya kita dapat elakkan penyakit berjangkit sekali gus dapat kurangkan masalah kesihatan dalam komuniti,” katanya.

“Justeru itu, adalah perlu bagi generasi seterusnya untuk memperbanyakkan penyelidikan mengenai sains nutrisi dalam pemakanan.

“Dengan melakukan banyak penyelidikan, ini dapat memenuhi peluang pekerjaan serta melahirkan lebih ramai tenaga pengajar,” katanya.

Abdul Hakim turut berkongsi bahawa ibu bapanya merupakan pembakar semangat utama untuk menghabiskan pengajian dalam bidang tersebut, serta tempoh pandemik COVID-19 sebagai cabaran utama sepanjang pengajiannya di UMS.

”Motivasi diri terutamanya ibu bapa menjadi pendorong utama dalam menjayakan pengajian ini sejak asasi lagi.

“Berkenaan cabaran, situasi Perintah Kawalan Pergerakan sewaktu COVID-19 menyebabkan sesi pembelajaran yang tidak kondusif.

”Situasi tersebut telah menyebabkan sesi pembelajaran saya terganggu dan sukar untuk berfikir secara kritikal,” tambah beliau.

Abdul Hakim yang pada masa ini telah melanjutkan pengajian penyelidikan dalam bidang dietetik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menerima wang tunai berjumlah RM1,000.00 berserta sijil penghargaan menerusi penganugerahan Hadiah Zainal Abidin Bador yang diterimanya.

Abdul Hakim merupakan antara penerima skrol ijazah pada sidang kedua Majlis Konvokesyen UMS yang disampaikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

 

(artikel disediakan Norfaizah Abdullah, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)

 

Esther Masulah, graduan Ijazah Sarjana Program Psikologi Kaunseling di Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), menerima Ijazah Sarjana keduanya pada Majlis Konvokesyen UMS Kali ke-26.

Beliau yang pernah memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari UMS melalui Pusat Pendidikan Fleksibel (UMSFLEC) pada tahun 2010, memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Psikologi Kaunseling.

Menurut Esther, kepercayaan terhadap UMS telah memberi keyakinan kepada beliau untuk meneruskan perjalanan akademiknya dalam bidang yang berbeza.

“Kepercayaan saya kepada UMS telah menjadi asbab untuk melanjutkan sarjana kedua dalam bidang Psikologi Kaunseling.

“Saya memilih bidang ini kerana saya bercadang untuk menjadikannya sebagai kerjaya selepas bersara kelak, dengan tujuan membantu dalam kebajikan kaunseling,” katanya ketika ditemui selepas menerima skrol di Dewan Canselor UMS pada Sabtu.

Esther turut berkongsi beberapa cabaran yang dihadapi sepanjang pengajiannya.

Katanya sebagai salah seorang pengurus kanan di Sabah Electricity Sdn. Bhd., beliau perlu bijak menguruskan masa antara kerjaya, keluarga dan pengajian.

“Saya bekerja di Sabah Electricity Sdn. Bhd. sebagai pengurus kanan. Keadaan tersebut memerlukan saya untuk bijak membahagikan masa pada waktu malam dan hujung minggu untuk belajar.

“Antara cabaran lain semasa pengajian adalah sesi kaunseling yang sepatutnya dijalankan secara bersemuka terpaksa dilakukan secara dalam talian dan ianya menyukarkan saya dan rakan-rakan seperjuangan untuk mendapatkan pelanggan bagi sesi kaunseling.

"Tempoh masa yang panjang, dari 2019 hingga 2024, adalah satu perjalanan yang penuh cabaran bagi saya untuk menyelesaikan pengajian sarjana kedua ini," katanya.

Esther juga berharap pengajiannya dapat memberi inspirasi kepada anak-anaknya untuk terus melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

“Saya berharap agar pencapaian ini dapat mendorong anak-anak saya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Kalau mak kamu boleh buat, kamu pun boleh buat,” ujarnya sebak.

 

“Saya belajar untuk mendapatkan yang lebih baik buat keluarga, dan kejayaan ini adalah janji saya untuk mereka”.

Demikian ungkapan kegembiraan Muhammad Afiq Arlan, graduan cemerlang Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terpilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan dan Bakti Siswa HiUMS (B40) pada Majlis Konvokesyen UMS Kali Ke-26.

Anak kelahiran Kampung Jawa 2, Sandakan itu tidak menjadikan kehidupan berada dalam golongan keluarga B40 sebagai penghalang buat dirinya, malah kedua-dua ibu bapa menjadi pembakar semangat utamanya dalam mencapai kejayaan sepanjang pengajian di UMS.

”Alhamdulillah semasa pengajian saya telah mendapat biasiswa dari Pusat Zakat Sabah bermula dari tahun kedua pengajian.

“Ayah saya bekerja sebagai pemandu lori, manakala ibu saya merupakan suri rumah sepenuh masa.

“Pada masa ini saya sudah bekerja di salah sebuah syarikat kewangan Islam di Kuala Lumpur sebagai Compliance Executive, dan saya menyasarkan untuk terus bekerja dan menimba pengalaman sebanyak mungkin, serta terus berusaha mencapai tahap yang lebih tinggi dalam kerjaya,” katanya.

Afiq menambah, beliau memilih bidang kewangan Islam kerana agama serta minatnya untuk belajar mengenai kewangan dari aspek syariah.

Beliau turut berharap agar lebih ramai pelajar khususnya dalam golongan keluarga B40 diberi bantuan untuk memudahkan mereka menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi.

“Harapan saya juga agar agensi kerajaan dan universiti dapat bekerjasama dalam memberikan bantuan kewangan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan agar dapat mengurangkan kadar pengangguran,” ujar Afiq.

Afiq menerima penganugerahan ijazah pada sidang kedua Majlis Konvokesyen UMS yang disampaikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

Hari pertama Majlis Konvokesyen UMS Kali ke-2 yang berlangsung di Dewan Canselor UMS, menyaksikan seramai 1,024 graduan merangkumi 359 pada sidang pertama, dan 665 pada sidang kedua menerima skrol ijazah masing-masing.

 

(artikel disediakan Norfaizah Abdullah, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)

 

Sokongan dan dorongan ibu bapa menjadi kekuatan graduan Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Celine Jimmey Lucas untuk cemerlang dalam pengajian sehingga meraih Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-26 hari ini.

Celine, 24, telah dinobatkan gelaran tersebut setelah memperoleh keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.96 bagi Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi Pemuliharaan).

Beliau menerima penganugerahan tersebut pada Sidang Pertama Konvokesyen UMS yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Juhar Datuk Haji Mahiruddin di Dewan Canselor UMS.

Menurut Celine, faktor utama bagi kejayaan yang diperoleh pada konvokesyen UMS kali ini adalah sokongan tanpa henti daripada ibu bapa.

“Sudah tentu ibu bapa saya, Jimmey Lucas dan Cecilia Garcia merupakan sumber inspirasi kerana merekalah yang telah memberi kami kekuatan sejak kecil lagi.

“Saya tahu betapa penatnya mereka berdua membesarkan kami, justeru saya amat berharap agar anugerah ini dapat membanggakan ibu bapa saya,” katanya.

Mengulas lanjut berkaitan program pengajian yang dipilih, Celine berkata beliau terdorong oleh minatnya terhadap haiwan serta pengaruh abangnya yang berada dalam bidang perhutanan.

“Saya meminati haiwan dan perkara berkaitan pemuliharaan haiwan yang merupakan satu usaha yang baik dan bermanfaat kepada manusia.

“Justeru itu, gabungan terhadap minat kepada haiwan dan pengaruh abang dalam bidang perhutanan mendorong saya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam program Biologi Pemuliharaan,” katanya.

Beliau turut berkongsi cabaran serta rahsia kecemerlangan sehingga memperoleh anugerah pada konvokesyen kali ini.

“Cabaran sepanjang di UMS adalah pada tahun pertama pengajian kerana ketika itu berada dalam fasa transisi kepada pengajian secara fizikal setelah beberapa bulan berada di rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.

“Ketika itu agak sukar untuk beradaptasi dengan suasana secara fizikal sebab sudah lama terperap di rumah dan kurang komunikasi dengan orang di luar, namun syukur akhirnya perkara ini dapat diatasi.

“Tips yang boleh saya kongsikan adalah doa, cari potensi diri dan luaskan pengalaman dan pengetahuan sebanyak mungkin,” katanya, selain turut menyampaikan penghargaan kepada pensyarah, dan rakan-rakan yang menyokongnya sepanjang melanjutkan pelajaran di UMS serta berkongsi petua untuk memperoleh kejayaan dalam aspek akademik.

Seramai 4,493 graduan UMS diraikan pada majlis konvokesyen kali ini yang berlangsung dari 7 hingga 10 Disember.

 

(artikel disediakan Muhammad Yatimi Saliman, Pelajar Laihan Industri, Pusat Komunikasi Korporat UMS)

 

Bekas peguam syariah, Datin Saidatul Badru Mohd Said Keruak, 74, menjadi tumpuan apabila menjadi graduan tertua menggenggam Ijazah Doktor Falsafah sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah ke-26.

Ibu kepada 3 anak dan 3 cucu itu berkata, usia bukanlah penghalang kepada sesuatu kejayaan asalkan ia diiringi dengan semangat dan keinginan yang tinggi.

“Saya inginkan kejayaan saya ini menjadi penyuntik semangat kepada warga belia di luar sana yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang yang lebih tinggi.

"Jangan terlalu fokus kepada umur, apa yang penting adalah kemahuan dan semangat kerana proses dan perjalanan menuntut ilmu ini bukan mudah,” katanya.

Tambahnya, dia juga pernah ditawarkan pengajian oleh Universiti Islam Antarabangsa, namun lebih memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sejarah di UMS kerana ingin kembali semula ke tempat asal.

“Saya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana di Universiti Malaya. Pada peringkat Sarjana Muda, ketika itu saya sudah pun mempunyai cucu dan berusia 40 tahun. Kemudian, saya menyambung semula pengajian ke peringkat Sarjana pada usia 55 tahun.

”Saya mengambil peluang melanjutkan pelajaran sewaktu anak-anak saya sudah tamat pengajian dan mempunyai kerjaya dalam bidang masing-masing.

“Dalam masa yang sama, saya juga bermula sebagai setiausaha pada tahun 1970 di Pejabat Ketua Menteri Sabah di bawah pimpinan Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun,” tambahnya lagi.

Beliau yang berasal dari Kota Belud Sabah itu mengungkapkan rasa terima kasih kepada suami, anak-anak serta cucu kerana telah menjadi semangat dan pendorong terbesar sepanjang tempoh pengajian.

Graduan warga emas berkenaan menerima skrol Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sejarah yang disampaikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada Majlis Konvokesyen UMS ke-26.

Seramai 359 graduan telah menerima ijazah masing-masing yang terdiri daripada doktor falsafah, doktor perubatan dan sarjana penyelidikan di Dewan Canselor, UMS.

 

(artikel disediakan Norafiqa Samil, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)