Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima sumbangan berjumlah RM 200,000 bagi pelaksanaan projek kajian dan pembudayaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) oleh universiti.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Synerlitz, Tan Sri Dato’ Setia Mohd Anwar kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly yang mewakili UMS dalam satu acara bersempena dengan Pertandingan Golf Amal Sempena Projek Loji Tenaga 100MW di Kimanis anjuran Synerlitz (M) Sdn Bhd.

Turut menyaksikan simbolik penyerahan Mock Cheque tersebut Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr Hj Safar Untong dan Ketua Pegawai Eksekutif Synerlitz, Datuk Michael Lee.

UMS dalam satu kenyataan memaklumkan, dana tersebut akan dimanfaatkan oleh Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS, di bawah pimpinan Pengarah PPST, ChM. Dr. Newati Wid, untuk melaksanakan projek kajian STEM dan inisiatif membudayakan STEM dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.

“UMS merakamkan penghargaan atas sumbangan ini, yang dijangka memberi impak besar kepada pendidikan sains dan teknologi serta menyumbang kepada pembinaan generasi masa depan yang lebih berdaya saing,” demikian kenyataan dari UMS.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih pengiktirafan terhadap aspek pematuhan sistem perakaunan standard dalam pengurusan kewangannya apabila dianugerahkan Sijil Pematuhan Sistem Perakaunan Standard bagi Agensi Kerajaan (SAGA) oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).

Penghargaan tersebut disampaikan oleh Akauntan Negara Malaysia, Nor Yati Ahmad kepada Bendahari UMS, Badrul Hisham Ismail, yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam Majlis Anugerah Sijil Pematuhan SAGA (MASS) Tahun 2024 yang berlangsung Wyndham Acmar Hotel, Klang baru-baru ini.

Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan kejayaan UMS dalam memenuhi standard pengurusan kewangan berasaskan Government Resource Planning (GRP 9.0) yang dikendalikan oleh vendor yang dilantik dan diintegrasikan dengan pelbagai subsistem kewangan dalaman universiti melalui kerjasama antara Jabatan Digital dan Jabatan Bendahari UMS.

Menurut Badrul, kejayaan tersebut hasil usaha bersama seluruh pasukan yang bekerja keras memastikan pematuhan kepada 12 kriteria fungsian dan 8 kriteria teknikal yang digariskan dalam Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia (SPANM) Bilangan 3 Tahun 2018.

“Alhamdulillah, anugerah ini membuktikan komitmen UMS untuk mengekalkan pengurusan kewangan yang telus, berintegriti, dan sistematik.

“Ini juga memperkukuh usaha kami untuk mengurangkan kesilapan serta memastikan penyata kewangan dapat disediakan dengan tepat dan terkini,” katanya.

Tambah beliau, pematuhan kepada piawaian tinggi tersebut diyakini dapat mempertingkatkan keberkesanan pengurusan sumber kewangan UMS, sekali gus menyokong objektif universiti sebagai institusi pengajian tinggi yang cemerlang.

“Semoga pengiktirafan ini menjadi pemacu kepada UMS untuk terus melangkah ke hadapan dengan lebih telus dan berkesan dalam pengurusan kewangan,” ujar Badrul.

Majlis anugerah tersebut turut menyaksikan penyertaan pelbagai agensi kerajaan yang diiktiraf atas kejayaan masing-masing dalam mengukuhkan pengurusan kewangan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh JANM.

 

Penganjuran Minggu Tanpa Sampah di Kampung Tanjung Aru Lama, Kota Kinabalu merupakan satu projek komuniti yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan rasa tanggungjawab penduduk setempat khususnya penduduk Kampung Tanjung Aru Lama terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

Program ini dianjurkan oleh pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan sokongan penaja utama, MyStarfish Foundation.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat, N22 Tanjung Aru, Mohd Reduan bin Datuk Hj Aklee.

Wakil dari Jabatan Urusan Sisa Pepejal Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jecky Jarimal menyatakan bahawa program ini berupaya memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan penduduk Kampung Tanjung Aru Lama dan Baru.

“Kami dari DBKK akan terus menyokong program seperti ini, sama ada dianjurkan oleh UMS mahupun pihak lain pada masa akan datang. Teruskan usaha ini kerana ia adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Selain itu, Ketua Badan Bukan Kerajaan (NGO) Trash Hero Kota Kinabalu, Zurainee Kula memuji inisiatif yang dianjurkan oleh UMS dan menyatakan bahawa program ini amat relevan dengan keadaan semasa.

“Inisiatif seperti ini dapat menyebarkan kesedaran kepada masyarakat, terutamanya kepada penduduk kampung. Program ini patut dicontohi oleh komuniti lain,” ujarnya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh rakan-rakan penganjur, termasuk Komuniti Kampung Tanjung Aru Lama, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Kota Kinabalu, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Shan Tao, Sabah Environmental Protection Association (SEPA), Trash Hero, dan To Earth with Love.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyokong aspirasi Pelan Tindakan Keusahawanan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) 2021-2025 menerusi penganjuran Bulan Keusahawanan dan Kerjaya UMS 2024 (BKKUMS 2024), baru-baru ini.

Penganjuran BKKUMS 2024 membuktikan komitmen UMS dalam memperkukuhkan ekosistem keusahawanan di Sabah, di samping melahirkan graduan yang tidak hanya menjadi pencari kerja tetapi juga pencipta peluang pekerjaan.

Majlis penutupan yang berlangsung di Pusat Islam UMS telah disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Fazidah Mustafa.

Fazidah berkata keusahawanan bukan sekadar soal keuntungan tetapi adalah seni mencipta nilai diri dan pemangkin perubahan masyarakat, khususnya komuniti setempat.

“Penglibatan IPT dalam memperkasa agenda keusahawanan sosial sangat penting bagi melahirkan generasi muda yang inovatif, berdikari, dan prihatin terhadap komuniti,” katanya.

Fazidah turut menyeru pelajar untuk memanfaatkan teknologi terkini seperti Artificial Intelligence (AI), FinTech, dan Internet of Things (IoT) dalam mencetus idea perniagaan baharu.

"Penguasaan teknologi disruptif ini memberikan nilai tambah kepada pelajar, menjadikan mereka bukan hanya pencari pekerjaan, tetapi pencipta peluang pekerjaan.

“Harapan saya agar semua pihak, termasuk institusi pengajian tinggi, industri, dan agensi kerajaan, terus memperkukuhkan kerjasama bagi memastikan usaha melahirkan lebih ramai usahawan muda yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa dapat direalisasikan,” tambahnya.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Ikon Keusahawanan UMS 2024 (AIKUMS 24), yang memberi pengiktirafan kepada usahawan pelajar, tenaga pengajar, dan institusi yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang keusahawanan.

Penganugerahan tersebut diharap dapat menjadi sumber inspirasi kepada semua pihak untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang keusahawanan.

Statistik kebolehpasaran graduan di seluruh IPT bagi tahun 2023 yang mencapai 89.8% jelas menunjukkan keberkesanan program seumpama ini dalam membina bakat muda yang bersedia menghadapi cabaran global.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang penganjuran BKKUMS 2024 termasuk ‘Social Enterprise Day 2024: Zon Borneo’ yang disambut bersempena Hari Keusahawanan Sosial Sedunia (SE World Day).

Acara lain yang mendapat perhatian adalah Entrepreneurship Innovation Showcase 2024 (EIS'24), yang menghimpunkan 42 penyertaan dari pelbagai institusi pengajian tinggi di Sabah. Pertandingan ini menjadi platform bagi mahasiswa mempamerkan inovasi mereka dalam bidang keusahawanan.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan ulang tahun penubuhannya ke-30 dengan misi menawan puncak Gunung Kinabalu menerusi Program UMS Lambang Puncak Jaya yang diketuai Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

Lebih menarik, Kasim yang tiba di puncak gunung kira-kira jam 6 pagi bersama-sama sekumpulan pelajar dari Kelab Robotik UMS yang melakar sejarah dengan membawa robot ciptaan mereka yang boleh bergerak di permukaan tidak rata untuk mengibarkan bendera UMS di puncak Gunung Kinabalu.

Kasim bersama rombongan ekspedisi memulakan cabaran sekitar jam 9.50 pagi selepas acara pelepasan peserta di Timpohon Gate yang turut dihadiri Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Mohd. Raffie Janau; Pengarah Pusat Sukan, Ahmadi Nurdin; Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Dr. Rizal Zamani Idris; dan Pengarah Pusat Pengurusan OKU UMS, Dr. Zaiton Mohamad.

Beliau yang tiba di Laban Rata pada jam 4.20 petang memulakan perjalanan ke puncak gunung seawal jam 2.45 pagi selepas bermalam dan tiba di puncak gunung kira-kira jam 6 pagi.

Program tersebut yang disertai oleh 30 orang staf dan pelajar UMS adalah simbolik kepada sambutan ulang tahun UMS ke-30 dan Majlis Konvokesyen UMS ke-26 yang akan diadakan pada 7 hingga 10 Disember ini.

Antara yang mengiringi Kasim dalam cabaran ke puncak Gunung Kinabalu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Pengarah Pusat Alumni UMS, Dr. Kamisan Pusiran; dan mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS Sesi 2023/2024, Roslan Abdullah yang mengetuai kumpulan pelajar UMS.

Turut serta dalam misi tersebut adalah kakitangan dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UMS, anggota keselamatan, pasukan perubatan dari Hospital UMS, MPP Sesi 2023/2024, pelajar daripada Fakulti Kejuruteraan (FKJ) yang terlibat dalam pembuatan robotik, atlet-atlet UMS yang pernah mewakili dan mengharumkan nama UMS di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, dua pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) serta seorang pelajar antarabangsa dari negara Jepun.

Dalam pada itu, Presiden Kelab Robotik UMS, Mohd Ghazali Shafie Mohd Razalie yang mengetuai cabaran mengibarkan bendera UMS di puncak Gunung Kinabalu dengan robot ciptaan kumpulan pelajar FKJ menjelaskan, robot berbentuk kereta itu dicipta menggunakan varian empat roda bagi mekanisme suspensi rocker-bogie, iaitu versi ringkas daripada reka bentuk enam roda yang digunakan dalam Mars Rover yang dibangunkan oleh NASA dan agensi angkasa lain bagi membolehkannya bergerak di permukaan tidak rata.

“Sistem ini dipilih kerana keupayaannya yang cemerlang untuk merentasi permukaan lasak sambil mengekalkan kestabilan.

“Reka bentuk ini membolehkan pergerakan bebas di setiap sisi, memberikan keupayaan mekanisme untuk menyesuaikan diri dengan permukaan yang tidak rata dengan fleksibiliti yang luar biasa.

“Sistem ini mengagihkan beban secara sekata pada roda dan memastikan sentuhan yang konsisten dengan tanah, walaupun di permukaan yang mencabar, selain gerakan "rocking" membantu menyerap hentakan daripada halangan, meningkatkan prestasi di kawasan lasak,” katanya.

Beliau menambah, robot ciptaan tersebut lebih kos efektif, lebih ringan, dan mudah dibina serta ringan yang memudahkan mereka untuk mengangkut robot tersebut ke puncak gunung.

Program UMS Lambang Puncak Jaya diilhamkan oleh Bahagian Pembangunan Pelajar JHEP UMS sebagai inisiatif untuk menunjukkan warga UMS dengan pelbagai latar belakang bersama-sama melalui perjalanan mencabar dalam membangunkan universiti sehingga mampu meraih pelbagai bentuk pengiktirafan dan kecemerlangan.