JUMAAT, 30 Ogos – Penerbit Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Bengkel Penerbitan Ilmiah 2019 dengan tema ‘Daripada Tesis Kepada Buku’ yang diadakan di Bilik Galeri Pusat Islam UMS, baru-baru ini.
Bengkel yang bertujuan membimbing para peserta untuk mengembangkan dan mengubah suai tesis kepada manuskrip untuk diterbitkan itu telah dikendalikan oleh pensyarah di Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Emeritus Datuk Dr. Othman Lebar.
Pada perasmian penutupan bengkel tersebut, Pengarah Penerbit UMS, Profesor Madya Dr. Asmiaty Amat berkata, menerusi pemindahan tesis ke buku, ia dapat meningkatkan jumlah penerbitan serta menawarkan lebih banyak pilihan bahan bacaan kepada orang awam yang mampu memberi impak kepada masyarakat serta membawa nilai ekonomi.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasarkan penerbitan buku bagi setiap universiti awam sebanyak 50 judul setahun namun Penerbit UMS menerima jumlah manuskrip yang kurang daripada 30 setahun. Hal demikian, dapat diatasi dengan kupasan ilmu yang diberikan bengkel ini diharap membantu kepada para peserta bahawa dengan menggunakan format dan teknik yang tepat pemindahan tesis kepada buku dapat dipercepatkan.
“Sebenarnya kita mempunyai jumlah manuskrip yang cukup banyak untuk diterbitkan menjadi buku sekiranya tesis-tesis pelajar dikembangkan menjadi buku.
“Tesis yang terhasil daripada graduan pasca sarjana dan ijazah doktor falsafah setiap tahun sudah tentu mampu memenuhi sasaran kementerian jika ia diterbitkan,” katanya.
Tambah beliau, adalah menjadi harapan Penerbit UMS untuk menerbitkan lebih banyak manuskrip sama ada daripada graduan mahupun pensyarah UMS, khususnya para peserta bengkel agar ia dapat mencapai sasaran yang ditetapkan oleh KPM.
Untuk rekod, sejak penubuhan Penerbit UMS, hampir 50 tesis pelajar dan pensyarah telah berjaya diterbitkan menjadi buku dan menerima bayaran royalti sebanyak RM 1,000, manakala beberapa buah naskah turut memenangi anugerah penerbitan di peringkat kebangsaan seperti Anugerah Buku Negara dan anugerah yang dianjurkan oleh Majlis Penerbit Ilmiah Malaysia (MAPIM).
Seramai 18 peserta terdiri daripada ahli akademik dan pelajar pascasiswazah daripada pelbagai latar menyertai bengkel yang berlangsung selama dua hari itu.



RABU, 28 OGOS - Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah telah menerima seramai 15 orang pelajar pascasiswazah baharu yang mendaftar bagi Semester 1 Sesi 2019/2020 pada 17 Ogos lalu.
RABU, 28 OGOS – Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melibatkan pihak industri bagi mendapatkan pandangan berkaitan kehendak pasaran masa kini dalam Bengkel Semakan Kurikulum Siri 3/2019 yang dianjurkan baru-baru ini.
JUMAAT, 23 OGOS – Pusat Penyelidikan Pelancongan Borneo di bawah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menandatangani surat hasrat dengan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Quest International University Perak (QIUP) dalam mengukuhkan kerjasama, penyelarasan dan mobiliti dalam bidang pelancongan dan kelestarian antara kedua-dua universiti.
JUMAAT, 23 OGOS – Aktiviti fizikal mampu membantu untuk mengubah dan memperbaiki tingkah laku kanak-kanak yang tergolong dalam golongan Orang Kelainan Upaya Intelektual (OKUi)