JUMAAT, 01 FEBRUARI - Sekumpulan pelajar Ekonomi Kewangan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan program lawatan sambil belajar ke Hong Kong dan Macau, baru-baru ini.  

Pengarah program, Sal Farhannishah Abd Rahman berkata, program yang turut dikenali sebagai Global Outreach Program itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang dunia luar serta perbezaan budaya dan ekonomi antara negara.

“Dalam program ini, para pelajar telah berpeluang melawat Universiti of Hong Kong, Hong Kong Monetary Authority (HKMA) Currency Museum dan Universiti of Macau.

“Kami juga dapat melihat sendiri kemudahan universiti, suasana kampus serta berinteraksi dengan pelajar di universiti-universiti yang dilawati,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Farhannishah, pelbagai pengetahuan telah ditimba sepanjang empat hari tiga malam program itu berlangsung.

Beliau berkata, antara yang menarik termasuklah kunjungan ke HKMA Currency Museum yang memberi kefahaman mendalam tentang sejarah dan fungsi HKMA sebagai autoriti kewangan kepada Hong Kong yang juga merupakan antara pusat kewangan antarabangsa terpenting di dunia.

“Program ini telah memberi pelbagai manfaat kerana mendedahkan kami kepada suasana kehidupan, pembelajaran dan ekonomi luar negara,” jelasnya.

Dalam pada itu,  Pensyarah Kanan Program Ekonomi Kewangan FPEP UMS, Dr. Rafiq Idris berkata, program tersebut memberi pendedahan antarabangsa kepada para pelajar di samping membina keyakinan dan keupayaan dalam teknik berkomunikasi.

“Program sebegini juga mampu membuka mata pelajar tentang budaya asing, kerancakan ekonomi di negara luar dan melihat bagaimana sektor-sektor tertentu seperti pendidikan dan pelancongan menyumbang kepada pendapatan sesebuah negara,” jelas beliau yang turut mengiringi rombongan pelajar sepanjang lawatan itu berlangsung.

 

RABU, 30 JANUARI – Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melancarkan Buku Festschrift bertajuk  Borneo Dari Kepelbagaian Perspektif dalam satu majlis di Theatrette Ahmad Nisfu, FKSW, baru-baru ini.

Dekan FKSW, Dr. Marsitah Mohd Radzi ketika berucap pada majlis itu berkata, Buku Festschrift tersebut adalah sebuah terbitan dedikasi yang menyanjung sumbangan seorang ilmuwan yang menyumbang kepada penulisan ilmu warisan pribumi Sabah, Prof. Dr. Low Kok On.

“Penulisan Festschriff ini merupakan bukti pengiktirafan rakan sekepakaran, murid dan rakan seperjuangan terhadap sumbangan kesarjanaan tokoh yang diangkat dalam bidang ilmunya.

“Borneo memang terkenal dengan flora dan fauna yang unik dan tersendiri, malah ia juga makmal sosial bagi pengkaji masyarakat pelbagai etnik, dan penerbitan buku ini menonjolkan tentang keberagaman ilmu, tanpa ada sempadan mengasingkan antara disiplin,” katanya.

Jelas Dr. Marsitah, aspek sosial, politik dan budaya dalam masyarakat dibicarakan di dalam buku tersebut dengan bertanggungjawab oleh sebarisan ilmuwan dan pengkaji serius dari pelbagai disiplin ilmu.

“Sesungguhnya, di bahu para ilmuwan tergalas tanggungjawab untuk membangunkan korpus ilmu berasaskan kearifan tempatan, dan atas kesedaran inilah, bagi memastikan identiti manusia peribumi tidak samar dan menghilang dalam peta dunia, wadah penyuburan budaya ilmu melalui penulisan buku sebegini sangat signifikan bagi mengangkat keternampakan fakulti dan universiti secara global,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, warga FKSW turut meraikan persaraan Prof. Dr. Low Kok On, yang menurut Dr. Marsitah akan terus memainkan peranan menerajui Institut Confucius walaupun selepas persaraan.

 

SELASA, 29 JANUARI –  Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) dengan kerjasama Tabung Haji Travel Kota Kinabalu menganjurkan Kursus Umrah 2019, di Masjid UMS, baru-baru ini.

Penyelaras Program, Md. Nazrie Petir berkata, kursus Umrah itu antara lain bertujuan memberi pendedahan dan panduan ibadat umrah kepada bakal Jemaah Umrah.

“Kursus ini juga bagi memberi pendedahan kepada para peserta berkaitan pengurusan dan persediaan awal sebelum berangkat ke Tanah Suci.

“Selain itu, ia bagi memberi kefahaman tentang jenis dan cara pelaksanaan Umrah dengan mempelajari teori dan praktikal ibadah serta hukum-hukum yang berkaitan dengannya,” katanya.

Menurut Nazrie, kursus itu diharap akan melahirkan Jemaah Umrah yang mempunyai ilmu pengetahuan mantap dan dapat melaksanakan ibadat Umrah dengan sempurna serta membantu mendapat Umrah yang mabrur.

Kursus sehari itu telah dihadiri seramai 80 peserta dari luar dan dalam UMS.   

Ia dikendalikan tiga penceramah iaitu Pegawai Tabung Haji Travel, Tuan Haji Nordin Suan, Guru Agama Tabung Haji Travel, Ustaz Anizan Mohd. Haris dan Pensyarah Institut Perguruan Gaya Kota Kinabalu, Tuan Haji Mohd. Syahir Hj. Ismail.

Turut hadir pada program itu ialah Timbalan Pengurus Tabung Haji Travel Kota Kinabalu, Tuan Haji Hidam Tori dan Pegawai Hal Ehwal Islam PIUMS, Mohammad Fazri Abdul Hamid.

SELASA, 29 JANUARI - Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional Universiti Malaysia Sabah (PPUMS) mengukuhkan jalinan silaturahim bersama pegawai pengurusan dan profesional daripada jabatan dan agensi kerajaan di Negeri Sabah melalui penganjuran kejohanan sukan, baru-baru ini.

Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof berkata, matlamat utama penganjuran sukan tersebut adalah untuk menarik minat golongan profesional melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan sukan. Penganjuran sukan ini yang dikelolakan oleh PPUMS di bawah kepimpinan Azmi bin Jumat selaku Presiden, telah menarik minat persatuan pegawai pengurusan dan profesional di negeri Sabah untuk menyertainya.

“Saya percaya penganjuran sukan antara persatuan pegawai pengurusan dan profesional ini yang julung kalinya diadakan juga dapat mengasah kembali bakat-bakat sedia ada khususnya dalam acara-acara sukan yang dipertandingkan.

“Aktiviti seumpama ini juga diharap dapat meningkatkan sekali gus mengekalkan kesihatan fizikal dan mental para peserta yang mengambil bahagian,” ujarnya ketika merasmikan penutupan kejohanan itu.

Menurut Vina, selain mencapai matlamat penganjuran, kejohanan tersebut diharap dapat mengekalkan hubungan silaturahim dalam kalangan para pegawai pengurusan dan profesional khususnya di sekitar di negeri Sabah.

“Bagi saya apa yang lebih signifikan di sini ialah kejayaan menganjurkan acara ini sebagai manifestasi dari semangat setia kawan dan semangat muafakat serta kesungguhan untuk mencapai sesuatu tujuan yang sama-sama dikongsi oleh jawatankuasa penganjur untuk menjadikan penganjuran kejohanan ini sebagai acara yang berjaya dan boleh dibanggakan,” katanya.

Pada kejohanan tersebut, sebanyak enam acara sukan dipertandingkan iaitu bola tampar, bola jaring, tenis, ping pong, bola sepak dan badminton yang disertai oleh ahli-ahli daripada PPUMS, Persatuan Pegawai-pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah, Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Cawangan Sabah, serta Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Sabah.

Turut hadir, di majlis tersebut ialah ACP Zabidi Md. Zain Pengerusi Persatuan Pegawai Polis DiRaja Malaysia Kontinjen Sabah,  Dayang Salwah Pangiran Abdul Razak Pengerusi Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Sabah dan Georgie Abbas wakil Presiden Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Cawangan Sabah.

SELASA, 29 JANUARI - Pasukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih tempat kedua pada Pertandingan Akhir Huawei ICT Malaysia 2018-2019 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut kenyataan UMS, kejayaan itu diperoleh melalui tiga pelajar dari Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) iaitu Liew Chun Khai, Lynnett Lim Weng Khey dan Tan Yee Leng serta seorang pensyarah FKI yang juga tutor pasukan, Dr. Tan Soo Fun.

“Melalui kemenangan ini membolehkan pasukan UMS meraih hadiah empat buah telefon Huawei Nova 3 berserta wang RM2,000.

“Kesemua mereka terlebih dahulu berjaya melepasi peringkat awal pertandingan yang berlangsung pada 13 -14 Disember 2018 dan turut dipilih mengikuti Program Pentauliahan Profesional Huawei ICT Associate (HCIA) serta latihan persiapan peringkat akhir,” demikian menurut kenyataan itu yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Teoh Nie Ching.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Pencapaian Cemerlang Huawei ICT Academy Malaysia kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kamarudin D Mudin sebagai pengiktirafan prestasi cemerlang UMS dalam pembangunan bakat ICT.

Pertandingan tersebut antara lain bertujuan memupuk bakat ICT tempatan dan membangunkan pemimpin ICT generasi yang akan datang di Malaysia selain mempromosikan daya saing ICT negara, inovasi dan kreativiti, yang menjadi asas untuk membina ekonomi berasaskan pengetahuan.

Pertandingan akhir menyaksikan tujuh pasukan dari tujuh universiti bersaing iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UNITEM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Taylor dan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR).

Hadir sama Dekan FKI, Prof. Madya Dr. Ag Asri Ag Ibrahim dan Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Noor Hapipah Samat.