RABU, 19 DISEMBER – Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) sedia untuk memperhalusi dan menambah baik struktur kokurikulum pembelajaran dan pengajaran yang sedia ada di fakulti tersebut dengan menyuntik elemen berkaitan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Demikian menurut Dekan FSSA, Prof. Dr. Baba Musta ketika merasmikan Retreat Akademik di Dewan Nantapuan 1, Grand Borneo Hotel, 1 Borneo baru-baru ini.

Menurut beliau, program Retreat adalah platform terbaik membincangkan hala tuju dan perancangan FSSA bagi mencapai hasrat tersebut.

“Penambahbaikan ini adalah bagi mempersiapkan pelajar dengan kemahiran-kemahiran tertentu apabila memasuki pasaran kerja kelak, serta bagi menarik penglibatan industri.

“Justeru, peluang bagi para ahli akademik untuk berkumpul pada Retreat ini adalah peluang terbaik bagi membincangkan objektif dan aktiviti akademik fakulti serta pendapat bagi menambah baik struktur kokurikulum sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pendaftar FSSA, Masri Judah berkata, Retreat ini secara tidak langsung menjadi platform kepada para ahli akademik untuk mencapai persetujuan bersama berkaitan persekitaran akademik di FSSA.

“Ini sekali gus memantapkan kurikulum program pengajian selaras dengan keperluan pasaran kerja semasa, serta meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran untuk menghasilkan pelajar yang berkualiti selari dengan aspirasi universiti,” ujar beliau.

Pada akhir program tersebut, Prof. Dr. Baba kemudiannya membentangkan resolusi Retreat akademik yang telah dipersetujui bersama oleh para peserta yang hadir.

Sumber : Kenny Uwai (FSSA)

               Mohd Redzuan B Abdullah (Foto)

RABU, 19 DISEMBER –  Projek Pemasangan Sistem Tadahan dan Penapisan Air Hujan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kemabong, Tenom yang dilaksanakan oleh 12 pelajar tahun akhir dari program Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini memberi sinar baru buat pelajar asrama sekolah tersebut yang mengalami masalah kekurangan bekalan air.

Ketua projek tersebut, Khor Tsu Jian berkata, “Project Hope” tersebut dijayakan hasil daripada tajaan oleh KHIND Starfish Foundation di bawah Project for Happiness dengan kerjasama Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (CICN) UMS.

“Projek ini merupakan inisiatif pelajar Kejuruteraan Awam UMS untuk  menyediakan bekalan air bersih bagi kegunaan harian sekali gus membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang telah sekian lama dihadapi oleh warga SMK Kemabong, terutamanya pelajar yang tinggal di asrama sekolah.

“Selain itu, projek ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran  dalam kalangan pelajar tentang aplikasi teknologi bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FKJ, Profesor Madya Dr Ismail Saad berkata, beliau menyokong penuh penganjuran projek seperti ini yang memberi peluang kepada siswa-siswi untuk mencipta idea bagi melaksanakan projek yang memfokuskan tentang pendidikan dan perlindungan alam sekitar.

“Projek ini bukan sahaja memberi impak kepada pelajar yang terlibat, bahkan juga kepada komuniti setempat.

“Projek seperti ini selaras dengan seruan Revolusi Industri 4.0 yang mengetengahkan aspek kreativiti, inovasi dan keusahawanan untuk melahirkan graduan yang berkebolehan dalam mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran mereka apabila berhadapan dengan situasi sebenar yang jauh lebih mencabar,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan program serta upacara penyerahan projek kepada warga SMK Kemabong.

Sementara itu, Pengetua SMK Kemabong, Lian Chee Foo berkata, pihak sekolah amat berbesar hati kerana pihak UMS telah memilih SMK Kemabong bagi melaksanakan projek yang memberi manfaat besar kepada sekolah tersebut.

“Saya turut gembira dan berbangga kerana salah seorang ahli kumpulan projek ini, Ekin Arot merupakan bekas pelajar SMK Kemabong, sekali gus menjadi contoh terbaik kepada pelajar sekolah ini.

“Projek seperti ini juga akan memberikan suntikan semangat dan dorongan kepada siswa-siswi untuk tidak hanya fokus kepada pencapaian akademik, malah turut berbakti kepada masyarakat dan komuniti setempat,” ujar beliau.

Hadir sama pada program tersebut pensyarah kursus Kejuruteraan Alam Sekitar merangkap penasihat projek, Prof. Madya Dr. Nurmin Bolong dan Penolong Kanan Pentadbiran SMK Kemabong, Frances Stanis.

SELASA, 18 DISEMBER - Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan, Universiti Malaysia Sabah (ERDEC), telah mengadakan siri program perkongsian ilmu keusahawanan bersama Persatuan Ibu Tunggal Sabah (PITSA) baru-baru ini.

Bertemakan ‘Ke Arah Usahawan Wanita Berjaya’, program tersebut yang diadakan sebagai memenuhi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ERDEC mula dijalankan bersama Persatuan Ibu Tunggal Kota Marudu (PITKM) pada 31 Oktober lalu, diikuti dengan Persatuan Ibu Tunggal Gabungan Kota Kinabalu, Tambunan dan Bongawan pada 3 November, dan seterusnya Persatuan Ibu Tunggal Nur Kasih, Kota Kinabatangan pada 14 November.

Menurut Pengarah ERDEC UMS, Dr. Salmah Topimin, program ini merupakan sebahagian daripada perancangan program libat sama ERDEC bersama komuniti usahawan di negeri Sabah.

“Komuniti ibu tunggal ini telah dikenal pasti sebagai sebahagian daripada kumpulan sasaran yang signifikan dalam pembangunan keusahawanan di negeri ini.

“Walau bagaimanapun, hakikat bahawa kumpulan ini merupakan kumpulan usahawan yang mudah menerima pendedahan berkaitan aspek keusahawanan telah mendorong pihak ERDEC untuk membantu meningkatkan potensi kecemerlangan kerjaya keusahawanan mereka melalui perkongsian ilmu dan pengetahuan keusahawanan,” katanya.

Tambah beliau, pengendalian program di tiga kawasan terpilih tersebut menumpukan kepada gabungan ilmu keusahawanan teori dan praktikal serta mengikut kesesuaian cadangan topik yang diberikan oleh persatuan terbabit, dengan tenaga pengajar yang terdiri daripada para pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), UMS iaitu Dr. Noor Fzlinda Fabeil, Haslinda Hasan dan Ahmad Shakani Abdullah telah terlibat menjayakan program tersebut.

Dr. Salmah turut berharap agar penganjuran program tersebut dapat meningkatkan motivasi serta keupayaan keusahawanan di kalangan ibu tunggal di Sabah dan seterusnya mengukuhkan daya saing perniagaan dan ekonomi keluarga mereka.

“Saya turut menyarankan agar dilaksanakan satu kajian menyeluruh tentang potensi keusahawanan di kalangan kumpulan ibu tunggal di Sabah, dengan kaedah penyelidikan yang digunakan haruslah bersesuaian dengan kumpulan yang disasarkan bagi memahami cabaran dan hakikat yang dilalui oleh kumpulan usahawan ibu tunggal ini.

“Dengan kata lain, kaedah penyelidikan seharusnya memberi ruang kepada kumpulan sasaran tersebut untuk berkongsi pengalaman mereka, dan apa yang penting, melalui kajian itu, realiti sebenar daripada pengalaman keusahawanan mereka dapat didedahkan,” katanya.

Sementara itu, Presiden PITSA, Norhanida @ Bernadate Annol berkata, kursus sebegini amat diperlukan oleh ahli-ahlinya sebagai penyuntik semangat dan galakan kepada mereka dalam menjalankan aktiviti perniagaan dan seterusnya membantu untuk mengukuhkan sumber pendapatan.

“Sebilangan besar daripada ahli-ahli PITSA tidak mempunyai pendapatan tetap dan berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk memantapkan ekonomi keluarga mereka.

“Penglibatan mereka sebagai peniaga kecil-kecilan dalam bidang jahitan, penyediaan makanan, peruncitan dan pemprosesan makanan kering dan basah amat memerlukan pelbagai bentuk sokongan seperti kewangan, prasarana fizikal, peralatan dan latihan keusahawanan bagi membantu kelangsungan perniagaan mereka, pendedahan daripada program ini amat membantu mereka untuk mengembangkan daya keusahawanan mereka,” ujar beliau.

Program sehari tersebut melibatkan lebih 120 peserta dalam kalangan ibu tunggal yang berpeluang mendapat ilmu berkaitan teknik mengenal pasti masalah, merancang strategi perniagaan, teknik pemasaran berkesan, merekodkan kewangan dan penyediaan masakan barat sepanjang berlangsungnya program tersebut.

 

SELASA, 18 DISEMBER – ‘Program Beauty and Smart Workshop’ anjuran Jawatankuasa Mahasiswa (JAKMAS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama pelajar-pelajar Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) baru-baru mampu memberi manfaat terhadap meningkatkan keyakinan diri peserta.

Menurut penyelaras program, Norain Abdul Razak, program ini bertujuan membentuk keterampilan dan imej serta meningkatkan keyakinan diri siswa-siswi.

“Program ini juga memberi peluang kepada peserta menjurus ke arah keusahawanan serta memupuk semangat untuk sentiasa kelihatan anggun, kemas dan bergaya dengan sendirinya dapat membentuk etika dan moral dalam diri mahasiswa,” katanya.

Bertempat di Dewan Karisma Kolej Kediaman Tun Mustapha, program tersebut diisi dengan tiga slot ceramah menarik iaitu ceramah ‘Keterampilan Diri dan Keusahawanan’ oleh Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Sabah, Mohd. Juhar Harun; ceramah ‘Keushawanan’ oleh Usahawan Dewan Perniagaan Usahawan Sabah, Sharifah Yong Nadia Omar Salleh; dan Bengkel Solekan oleh Mustaknir Musa.

Program sehari itu yang melibatkan seramai 33 siswa-siswi KKTM yang terdiri daripada barisan JAKMAS, Majlis Sekretariat KKTM serta Kelab Publisiti KKTM mendapat maklum balas positif daripada peserta yang memperoleh pengetahuan baru berkaitan etika pemakaian yang sesuai serta tatacara penjagaan kulit yang betul.

Turut hadir pada majlis tersebut pengarah program, Nur Kasmini Ahmad.

 

SELASA, 18 DISEMBER – UMS Investment Holdings Sdn. Bhd. melebarkan sayapnya dalam bidang e-Pelancongan di Negeri Sabah melalui pelancaran laman sesawang COMETOSABAH.COM yang dilancarkan dalam satu majlis di Klagan Regency Hotel, 1Borneo baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Kumpulan UMS Investment, Datuk Ag. Buhtaman Ag. Mahmun, usaha ini adalah kesinambungan terhadap penglibatan UMS Investment melalui subsidiarinya, UMS Eco Tours and Discovery Sdn. Bhd. (UETD) yang diberi kepercayaan untuk menjalankan pengurusan dan operasi UMS Eco Campus Visitor Information Centre (EVIC) di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta pakej-pakej pelancongannya.

“Laman sesawang COMETOSABAH.COM secara dasarnya adalah sebuah platform atas talian yang memaparkan produk-produk pelancongan di Sabah serta menyambungkan negeri Sabah kepada dunia luar.

“Sehingga kini, platform tersebut telah dilihat oleh lebih 4 juta pengguna melalui carian di Google, dan ini membolehkan kami untuk menarik lebih banyak syarikat atau pemain industri pelancongan untuk bersama-sama menggunakan platform ini untuk manfaat bersama,” katanya dalam ucapan perasmian sempena majlis pelancaran tersebut.

Tambah beliau, laman sesawang tersebut akan terus diisi dengan pelbagai maklumat tambahan berkaitan produk pelancongan di Sabah seperti destinasi menarik, tarikan istimewa untuk pelancongan, hotel-hotel atau perancangan perjalanan untuk pelancong.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengarah Bukan Eksekutif UMS Investment, Datuk Haji Mohamed Zulfikar Ahmad; wakil Lembaga Pelancongan Sabah, Walter John; Pengurus Besar Kumpulan UMS Investment, Yusak Yumboris; dan wakil daripada hotel-hotel sekitar Kota Kinabalu.