Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menerima kunjungan hormat daripada Pertubuhan Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) baru-baru ini.

Kunjungan hormat diketuai oleh Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil bersama kakitangan.

Dalam sesi kunjungan hormat tersebut, Ketua Kluster Gempa Bumi dan Tsunami NDRC, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Noor Sheena Herayani Harith yang berada di Table Top Exercise (TTX) dan Field Training Exercise (FTX) Kundasang telah memberikan penerangan ringkas mengenai NDRC dan kejadian gempa bumi di Sabah.

Sheena berkata, peristiwa gempa bumi bermagnitud 6.0 yang berpusat di Gunung Kinabalu pada bulan Jun 2015 lalu membuka mata pelbagai pihak tentang kepentingan pengetahuan bencana gempa bumi serta persiapan dari aspek teknikal mahupun kesedaran awam sebelum, semasa dan selepas gempa bumi.

“NDRC UMS aktif menjalankan penyelidikan dan kesedaran awam berkaitan gempa bumi di Sabah.

“Ini merupakan salah satu fokus penyelidikan pusat ini, selain terlibat secara aktif bersama dengan beberapa Felo Penyelidik NDRC dalam penyediaan Malaysia National Annex to Eurocode 8: Design of structure of earthquake resistance-Part 1: General rules, seismic actions and rules for buildings,” katanya.

Tambah Sheena, standard ini juga diguna pakai dalam pembinaan bangunan di Malaysia sejak tahun 2017 lagi.

Katanya sejak tahun 2015, NDRC giat melaksanakan program kesedaran awam berkaitan gempa bumi melibatkan komuniti di beberapa daerah di Sabah seperti Ranau, Kudat, Lahad Datu, Kunak, Tawau, dan Semporna.

“Di samping itu, NDRC juga aktif dalam memberikan pendidikan gempa bumi di peringkat sekolah rendah dan menengah di Sabah semenjak tahun 2018 hingga kini,” ujar Sheena.

Sementara itu Khairul Faizi berkata, lawatan tersebut diadakan untuk mendapatkan maklumat komprehensif kejadian gempa bumi sebelum ini yang melanda negara khususnya negeri Sabah dan Borneo.

Tambah Khairul, Khidmat Malaysia akan menganjurkan program mega tahunan di Sabah pada pertengahan tahun hadapan.

“Program yang dikenali sebagai Himpunan Petugas Bencana Khidmat Malaysia (HEBAT) yang akan memasuki siri keenam ini bertujuan memberi latihan di lapangan kepada semua petugas dan sukarelawan seluruh negara dalam menghadapi bencana yang pelbagai,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairul berharap lawatan kerja Khidmat Malaysia ke NDRC kali ini dapat membuka lembaran baru dalam menjadikan Khidmat Malaysia agar lebih berkemahiran dalam mengendalikan bantuan untuk pelbagai jenis bencana termasuk bencana gempa bumi.

Katanya, Khidmat Malaysia akan sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak terutamanya NDRC dalam menjalankan tanggungjawab sosial agar dapat memberikan kesedaran dan pengetahuan berkaitan dengan bencana gempa

Hadir sama dalam kunjungan hormat ini, Setiausaha Khidmat Malaysia; Mohd Ashrul Hisyam Abdul Jalil, Pengarah Khidmat Malaysia Negeri Sabah; Sahar Abdul Majid serta Pegawai Penyelidik NDRC; Eldawaty Madran.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) sekali lagi memperkukuhkan kerjasama dalam mengembangkan keusahawanan digital melalui penganjuran program Kembara eUsahawan 2024: Zon Borneo yang berlangsung di UMS baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, hubungan yang erat antara MDEC dan UMS bermula sejak tahun 2018, apabila MDEC memberi peluang kepada pensyarah UMS untuk menjalani latihan dalam bidang keusahawanan digital.

“Hasil latihan ini telah diintegrasikan ke dalam kurikulum akademik UMS bagi mencipta asas yang kukuh dalam mendidik pelajar UMS mengenai keusahawanan digital.

“Usaha ini telah membuahkan hasil yang amat membanggakan apabila seramai 16,616 pelajar UMS telah dilatih dalam program eUsahawan dan berjaya mencatatkan jualan lebih daripada RM5.9 juta, dan pada tahun lalu sahaja, pelajar kita mencatat jualan lebih daripada RM664,000.

“Ini adalah satu pencapaian besar bagi UMS, mencerminkan usaha gigih dan dedikasi semua pihak yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian program tersebut yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

Kasim menambah, hasil kerjasama tersebut juga, MDEC telah melatih 53 pensyarah UMS, terutama dengan menjadikan pensyarah-pensyarah ini sebagai jurulatih modul eUsahawan Siswa yang berkualiti dan terus membimbing pelajar ke arah kejayaan keusahawanan digital.

Kerjasama ini terus melangkah ke hadapan, dengan UMS kini sedang dalam proses untuk diiktiraf sebagai eUsahawan Hab.

“Pengiktirafan ini diharap akan membuka jalan bagi UMS untuk menjadi pusat sokongan agenda digitalisasi ekonomi negara dalam kalangan komuniti tempatan, khususnya dalam membantu usahawan kecil dan sederhana mengembangkan perniagaan mereka di platform digital.

“eUsahawan Hab akan menjadi hab menyediakan kemahiran keusahawanan digital yang dinamik dengan pelbagai bimbingan dan latihan yang akan menguntungkan komuniti setempat serta memberi impak besar kepada UMS khasnya,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Naib Presiden Bahagian Pemerkasaan Industri Digital MDEC, Ir. Wan Murdani Wan Mohamad dan Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Sidah Idris

 

Pesta Buku Borneo 2024 (PBB 2024) akan diadakan pada 13 hingga 17 November di Kinabatangan Hall III, Sabah International Convention Centre, dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

PBB 2024 kali ini diadakan dengan tema “Borneo Membaca,” yang menggambarkan kepentingan membaca dalam pembangunan ilmu dan pendidikan di Borneo.

Objektif utama pesta ini adalah untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat Sabah dan meluaskan pasaran penerbitan di negeri ini. Dijangka beberapa buah sekolah di sekitar Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang dan Papar akan berkunjung ke PBB.

Pesta buku terbesar di Borneo ini terdiri dari lebih 90 reruai pempamer penerbit buku komersial dan akademik antarabangsa dan tempatan, pempamer alat bantu mengajar dan produk inovasi.

Selain Penerbit UMS sendiri selaku penganjur dan pempamer, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, PTS Publishing, Popular Book, MAPIM, FIXI, The Patriot, Naseehat dan banyak lagi penerbit dan pengedar buku terkenal turut menyertai pesta buku ini.

PBB turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik khusus untuk semua lapisan masyarakat. Antaranya ialah bicara buku, forum buku, pelancaran buku, bengkel STEM, persembahan teater, pertandingan mewarna, cabutan bertuah, kuiz dan sebagainya. Para pengunjung juga berpeluang bertemu dengan penulis tempatan dan menebus baucar buku Madani di pesta buku ini.

Menurut Penerbit UMS, pesta buku ini menyediakan platform terbaik bagi pembekal dan penerbit untuk memperkenalkan karya terbaru mereka kepada masyarakat, selaras dengan objektif untuk memartabatkan bahan bacaan ilmiah tempatan.

Masuk adalah percuma. Untuk maklumat terkini mengenai aktiviti dan acara sepanjang PBB 2024, orang ramai boleh merujuk ke laman Facebook rasmi Pesta Buku Borneo atau menghubungi Penerbit UMS untuk pertanyaan lanjut di talian 088-3204500.

 

Penguasaan bahasa asing khususnya bahasa Mandarin penting bagi memudahkan urusan profesional mahupun komunikasi seharian.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Shahril Yusof, program sedemikian yang pada masa ini dijalankan oleh Institut Confucius UMS (CI UMS) merupakan satu strategi bagi melatih para peserta kursus untuk menguasai bahasa tersebut dengan baik.

“Kursus yang dibuka kepada pelajar dan orang luar ini tidak hanya mempelajari aspek bahasa tetapi turut meliputi aspek seperti pengenalan kepada budaya masyarakat Cina dengan tempoh kursus selama 12 minggu.

“Kursus ini sebelum ini turut melibatkan penyertaan kakitangan dari agensi kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen yang mengawal pintu masuk negeri Sabah.

“Justeru, saya percaya ini mampu memberi satu kelebihan kepada petugas barisan hadapan seperti pegawai imigresen dan kastam untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan khususnya dengan pelancong asing dari China,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan penyampaian Sijil Tamat Kursus Bahasa Mandarin 2024 di Galeri Majlis UMS.

Pada majlis tersebut, seramai 53 orang peserta berjaya menamatkan kursus, yang terdiri daripada kakitangan dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), Syarikat SBH Kibing Solar, pelajar dan pensyarah UMS.

Turut hadir dalam majlis tersebut Pengarah CI, UMS, Dr. Chiew Tung Moi (Malaysia) dan Profesor Madya Dr. Huang Yuehua (China).

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS), melalui Pusat Jaminan Kualiti (CQA), telah menganjurkan Konvensyen Kumpulan Penggerak Inovasi (KKPI) 2024 baru-baru ini sebagai usaha menggalakkan budaya inovatif dan kreatif atau “KREANOVA” dalam kalangan pegawai pentadbiran dan pelaksana universiti, selaras dengan usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

Bertempat di Galeri Majlis, Bangunan Canselori, konvensyen dua hari itu menarik penyertaan sebanyak 36 kumpulan dari pelbagai jabatan, fakulti, pusat, institut, dan bahagian di UMS.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (HB KIK), Pengurusan Lean (Lean Management), serta Poster Projek Inovasi (A3 Projek).

Menurut Pengarah CQA, Prof. Ir. Dr. Zainal Zakaria, usaha membudayakan inovasi dalam kalangan pegawai amat penting untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan universiti.

“Para pegawai pentadbiran dan pelaksana adalah tulang belakang organisasi, justeru inisiatif seperti ini sangat penting untuk merangsang pemikiran inovatif yang mampu membawa kesan besar kepada mutu penyampaian perkhidmatan di UMS.

“Dapat dilihat inisiatif inovasi ini memberi impak positif terhadap penjimatan kos dan kecekapan pengurusan UMS.

“Data menunjukkan 36 projek inovasi yang dipertandingkan telah menyumbang kepada penjimatan kos operasi universiti sebanyak RM58,230.60 atau purata RM4,479.20 setiap projek, selain bilangan aduan yang diterima juga menurun dari 1,819 kepada 383, membuktikan peningkatan kecekapan yang dicapai,” katanya dalam ucapannya sempena konvensyen tersebut.

Beliau turut berharap agar kejayaan melalui projek KREANOVA ini dapat memberi manfaat lebih luas kepada komuniti UMS dan organisasi lain.

“Harapan agar projek yang dihasilkan dalam konvensyen ini tidak hanya meningkatkan kualiti perkhidmatan jabatan masing-masing tetapi juga dapat dikongsi bersama seluruh komuniti UMS dan organisasi luar.

“Semoga budaya inovasi ini menjadi inspirasi kepada warga UMS secara keseluruhan,” ujar beliau.

Pada konvensyen tersebut, kumpulan Titans dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) mengungguli kategori HB KIK apabila meraih juara dengan projek Smart Kit Cycle.

Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Syzygium Tech dari Fakulti Pertanian Lestari (FPL) dengan projek Alat Mencabut Ubi Kayu, manakala kumpulan ServIQ dari Pusat Pentaran Ilmu dan Bahasa (PPIB) memenangi tempat ketiga melalui projek E-Kaunter: Fleksi dan Mudah.

Dalam kategori Pengurusan Lean, kumpulan i-Xam dari Bahagian Perkhidmatan Akademik (BPA) dinobatkan sebagai juara dengan projek Pengisian Maklumat Peperiksaan Akhir Secara Dalam Talian.

Kumpulan ProFit dari FSSA dan kumpulan Fteam dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga melalui projek Preparation of Meetings (ProMeets) dan Tempahan Penginapan Hotel Secara Dalam Talian.

Kategori Poster Projek Inovasi (A3 Poster) menyaksikan kemenangan kumpulan Syzygium Tech dari FPL, diikuti kumpulan CAED Smart Tech dari Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA) di tempat kedua dan kumpulan i-Star dari BPA di tempat ketiga.