KHAMIS, 21 DISEMBER – Agensi kerajaan dan swasta disarankan agar mengambil pelbagai inisiatif dalam memberi pendedahan dan pengetahuan khusus tentang dunia perniagaan bagi membantu siswa universiti menceburi bidang tersebut kelak.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Rasid Mail berkata, ini adalah bagi memastikan bakal graduan sentiasa peka akan perubahan dalam dunia sebenar serta lebih berdaya saing dalam pasaran modal insan.

“Di antara isu yang sering dibangkitkan masyarakat adalah kepekaan siswa-siswi terhadap perkembangan semasa dan realiti keadaan sebenar di luar sana, yang mungkin disebabkan oleh tumpuan para pelajar yang terlalu berfokuskan kepada hal ehwal akademik semata-mata.

“Dengan adanya program perkongsian ilmu misalnya, mereka berpeluang untuk bergerak selari dengan arus perkembangan semasa, sekali gus universiti mampu menghasilkan bakal graduan yang benar-benar berkualiti melalui penguasaan ilmu di samping peka terhadap perkembangan semasa dan mampu mengadaptasi diri dengan arus perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian sempena Majlis Perasmian Program “Sesi Perkongsian Amalan Baik Peraturan (GRP): Pemodenan Lesen Perniagaan Negeri Sabah” yang dibacakan oleh Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin di Dewan Kuliah Pusat 1, UMS pagi tadi.

Menurut beliau, inti pati sesi perkongsian amalan baik perniagaan tersebut amat relevan dengan keperluan siswa-siswi sebagai persiapan sebelum mereka terjun ke dunia perniagaan kelak.

Terdahulu, Pengarah Bahagian Pembangunan Produktiviti dan Daya Saing, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Dr. Haji Daud Talib ketika berucap menjelaskan, inisiatif penganjuran program tersebut adalah bagi membantu dan memberi panduan kepada komuniti perniagaan terutamanya mengenai maklumat, syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi apabila menjalankan sebarang aktiviti perniagaan.

“Adalah diharapkan agar pembentangan daripada pihak Kementerian Kewangan Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan SME Corp dapat memberi maklumat kepada siswa dan bakal usahawan mengenai inisiatif dan sokongan kerajaan kepada rakyat dalam menjalankan perniagaan.

“Semoga inisiatif ini juga dapat meningkatkan lagi tadbir urus dan kawal selia berkaitan pelesenan perniagaan, serta meningkatkan kepercayaan orang awam terhadap integriti serta ketelusan kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” ujar beliau.

Lebih 100 pelajar dan kakitangan UMS hadir pada program sehari tersebut.

RABU, 20 DISEMBER - Wacana Warisan 2017 yang berlangsung di Theatrette Ahmad Nisfu, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) pagi tadi mampu mengangkat martabat seni warisan tradisional Melayu dan Etnik Pribumi Sabah.

Wacana tersebut membariskan empat penyampai ceramah, iaitu Pensyarah Kanan FKSW, Dr Humin Jusilin yang mengupas topik Warisan Destar Iranun Sabah, pelajar Pascasiswazah UMS Salbiah Kindoyop yang membentangkan penyelidikan Kraf Tangan Dusun Tindal, Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Dr. Supyan Hussin yang membincangkan topik Warisan Silat di Alam Melayu, dan Profesor dari FKSW, Prof. Dr. Jacqueline Pugh Kitingan  bagi topik Muzik Gong Tradisional Etnik Pribumi Sabah.  

Ketua Unit Penyelidikan Warisan Borneo (BoHRU), Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Prof. Madya Dr. Low Kok On dalam satu kenyataan menjelaskan wacana tersebut dianjurkan adalah berdasarkan kepentingan kepada generasi muda khususnya dalam mengenali dan menghayati seni warisan turun-temurun Melayu dan etnik pribumi Sabah.

“Wacana ini antara lain memberi pendedahan terhadap warisan etnik pribumi Sabah seperti lagu rakyat Rungus, warisan destar Irranun, tarian Magunatip Murut dan banyak lagi.

“Di samping itu, ini juga adalah sebagai platform dalam mengabadikan warisan-warisan tersebut melalui rakaman suara dan video,”katanya.

Lebih 50 orang terdiri daripada penggiat seni, kakitangan dan pelajar UMS hadir pada program wacana anjuran bersama BoHRU; Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara; Majlis Profesor Negara - Chapter UMS; dan ATMA, UKM.

 

RABU, 20 DISEMBER - Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Excellent (E)  Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Exco Media dan Publisiti mengadakan Bengkel Penulisan Berita Akhbar di Bilik Taklimat dan Tayangan Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat baru-baru ini.

Pengarah bengkel tersebut, Nur Huda Izzati Izal berkata, penganjurannya antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan berkaitan etika kewartawanan dan teknik penulisan akhbar dalam kalangan pemimpin pelajar khususnya pelajar Kolej Kediaman E.

“Selain itu, bengkel ini sekali gus bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pemimpin pelajar khususnya pelajar Kolej Kediaman E,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada bengkel tersebut.

Menurut Nur Huda, bengkel tersebut menyaksikan penyertaan seramai 20 pelajar yang terdiri daripada barisan wakil Pemimpin Kolej Kediaman E, Majlis Ketua-ketua Sekretariat, Majlis Ketua-ketua Blok, dan Majlis Ketua-ketua Kelab.

"Bengkel sehari itu  disampaikan Penolong Pegawai Penerangan Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat UMS, Salbinous Saribun," tambahnya.

Hadir sama, Timbalan Pengetua Kolej Kediaman E, Mohd Hilmey Saili.

SELASA, 19 DISEMBER – Program Perkongsian Universiti-Keluarga (PUPUK) yang telah dimulakan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah sejak tahun 2006 terus menjadi wadah bagi pelajar perubatan UMS untuk berinteraksi dengan masyarakat di kawasan pedalaman Sabah.

Profesor Perubatan FPSK, Prof. Dr. Zainal Ariffin Mustapa berkata, program ini melibatkan jalinan berterusan antara universiti, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kerajaan Negeri Sabah dan penduduk setempat dalam menjayakan program kesihatan masyarakat.

“Program ini merupakan satu aktiviti kurikulum untuk pelajar perubatan dan kejururawatan, yang antara lain turut bertujuan untuk menjalinkan hubungan silaturahim antara pihak universiti dengan masyarakat desa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu Majlis Penyerahan Keluarga Angkat Program PUPUK di Dewan Pusat Pendidikan dan Perubatan Desa (PPPD) Sikuati, Kudat yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Kudat, Sapdin Ibrahim baru-baru ini.

Menurut Prof. Zainal, program pada kali ini menyaksikan seramai 100 pelajar tahun satu FPSK telah diagihkan kepada 30 keluarga di Kampung Pinawantai, Matunggong, Kudat.

Sementara itu, Sapdin dalam ucapannya merakamkan penghargaan terhadap pihak pengurusan UMS di atas pemilihan daerah Kudat untuk Program PUPUK sejak program tersebut bermula lebih sedekad lalu.

“Saya percaya program ini telah memberikan impak yang positif kepada penduduk dari pelbagai kampung di sekitar Kudat sejak pelaksanaannya.

“Diharapkan agar program ini akan terus diadakan di daerah ini untuk kebaikan masyarakat di luar bandar khususnya di daerah Kudat dan kawasan sekitarnya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Pinawantai, Suntiam Mantagilir melahirkan rasa bersyukur dan bertuah kerana kampung beliau dipilih untuk pelaksanaan program PUPUK pada kali ini.

“Melalui program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pengetahuan dan penjagaan kesihatan diri dan keluarga kepada penduduk kampung,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohd. Saffree Jeffree dan penyelaras Program PUPUK, Prof. Madya Dr. Naing Oo Tha.

SELASA, 19 DISEMBER – Kontinjen Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya mempertahankan kejuaraan Sukan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Sabah Piala Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching apabila mengungguli temasya sukan tersebut dengan menjuarai tujuh daripada lapan acara yang dipertandingkan.

Beraksi di gelanggang sendiri, kontinjen pasukan UMS yang membariskan 87 atlet dan pegawai sukan ternyata gah apabila menjuarai acara Futsal Wanita, Bola Tampar Pantai Wanita, Bola Keranjang Lelaki dan Wanita, Bola Sepak, Bola Jaring dan Sepak Takraw.

Naib johan keseluruhan disandang oleh kontinjen Politeknik Kota Kinabalu yang memenangi satu pingat emas menerusi acara Bola Tampar Pantai Lelaki, manakala UMS Kolej Antarabangsa Labuan (UMSKAL) mendapat tempat ketiga dengan pungutan pingat keseluruhan dua perak dan satu gangsa.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Tony Azman dalam satu acara di UMS Arena, Ahad lalu, yang turut dihadiri Pengarah Pusat Sukan UMS, Mohd Asyraaf Fong Abdullah.

Seramai 767 atlet mewakili 20 kontinjen IPT dari seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menyertai temasya sukan yang berlangsung selama dua hari tersebut.